Polis Arau tak tentu arah – Kenyataan 112 hanyalah gimik pihak atasan

Polis Arau tak tentu arah – Kenyataan 112 hanyalah gimik pihak atasan

5 September 2011

Hari ini (5/9/2011), sembilan ahli PSM telah disuruh hadir ke Balai Polis Arau, Perlis untuk diambil kenyataan 112 berikutan penahanan mereka semasa mengedarkan risalah Udahlah tu… Bersaralah , salah satu aktiviti kempen Parti Sosialis Malaysia. Adalah diketahui umum, seramai 30 ahli PSM ditahan semasa kempen tersebut dan kesemua mereka telah didakwa di mahkamah selepas direman hampir 10 hari di Pulau Pinang dan 6 yang lain pula ditahan di bawah Akta Ordianan Darurat 1969 selama hampir sebulan.

Jesteru, pemanggilan semula pihak polis Arau ini untuk isu yang sama adalah sangat janggal dan ketidakpuashatian pihak PSM telah diberitahu secara rasmi kepada pihak polis dan media. Pada hari ini, PSM Perak telah pergi ke balai tersebut dengan membawa satu bas ahli dan penyokong termasuk yang sembilan tersebut. Kami sangsi pihak polis Arau juga akan terikut-ikut dengan fenomena ‘arahan atasan’ dan membuat kerja-kerja yang tidak professional. Sembilan ahli PSM yang dipanggil ialah Dr Kumar, M. Sukumaran, A. Letchumanan, Choo Chon Kai, R Saratbau, Subramane, P.Indra, S.Thivyakumar dan M.Ravindran. Turut hadir ialah ahli-ahli Parti PAS Perak untuk memberi sokongan dan rakan-rakan petani dari sekitar Chemor dan Sg Siput.

Sebaik sahaja kami sampai di situ, Dr Kumar dipanggil oleh Ketua Bahagian Siasatan  untuk berbincang dan memberitahu pemanggilan sembilan ahli PSM ialah prosedur biasa yang perlu disempurnakan dan bukannya akibat tekanan pihak atasan. Tujuh ahli dewasa dipanggil untuk memberi kenyataan 112 dan dua lagi remaja bawah 21 tahun pula dikatakan tidak perlu diambil kenyataan mereka. Ahli PSM yang diambil kenyataan telah memberitahu kepada polis bahawa mereka telah mengambil keputusan untuk memberitahu semua yang diperlukan di mahkamah kerana mereka telah didakwa untuk isu tersebut.

Akhirnya, pihak polis mengucapkan terima kasih kerana kerjasama yang diberikan dan ahli-ahli PSM juga gembira kerana pihak polis bertindak secara professional tanpa sebarang provokasi walaupun pemanggilan ini langsung tidak berkaitan. Ahli-ahli PSM merasa tindakan polis Aru ini pastinya adalah akibat campurtangan pihak atasan polis dan ahli politik yang masih tidak puas hati dengan keteguhan PSM menghadapi segala tekanan parti pemerintah dan semakin mendapat sokongan rakyat Malaysia. Mereka berkata sudah bersedia untuk apa jua yang mungkin kerana percaya tiada yang melebihi kuasa rakyat.

Hidup Rakyat. Hidup Perjuangan
Karti

EO6, Udahlah Bersaralah