BN dan kerajaan tidak seharusnya panik kerana bendera Najib diturun selama 5 minit

22 December 2011

Parti Sosialis Malaysia (PSM) terasa amat lucu dan terperanjat  bahawa satu insiden tidak sampai 5 minit menurunkan dan menaikan semula bendera Najib di hadapan PWTC boleh mendapat reaksi yang begitu kuat dari UMNO dan juga jentera kerajaan. Reaksi yang begitu kuat ini seolah-olah mengambarkan bahawa Kerajaan Najib berada dalam satu landasan yang cukup tidak stabil dan mengalami krisis keyakinan dalaman.

Apa yang dilakukan oleh mahasiswa tersebut sememangnya satu protes simbolik yang tidak mencederakan sesiapa mahupun  satu satu aktiviti jenayah. Tindakan mahasiswa tersebut tidaklah seteruk berbanding dengan pelbagai insiden pencabulan hak asasi yang lain seperti meletupkan manusia, menayangkan video lucah kepada umum atau menahan seorang tanpa bicara. Apa yang dilakukan boleh disifatkan sebagai hak untuk meluahkan perasaan secara aman iaitu satu hak perlembagaan yang dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Negara.

PSM meminta YB Perdana Menteri tidak terpesong dari isu asas yang dibangkitkan oleh golongan mahasiswa iaitu isu kebebasan akademik dan pemansuhan AUKU. Kami juga tidak faham bagaimana satu insiden sekecil ini boleh diletupkan sebegitu besar seolah-olah ia adalah satu ancaman kepada negara dan pemerintahan hari ini. Terdapat jauh lebih banyak isu seperti isu ekonomi dan kesejahteraan rakyat yang harus difokus buat masa ini.

Dikeluarkan oleh
S. Arutchelvan
Setiausaha Agung