Bantuan pendidikan semakin terhakis

Bantuan pendidikan semakin terhakis

17 February 2012

Pada pagi ini , wakil Pejabat ADUN Kota Damansara, Sivarajan , Vani dan Mohan dari PSM telah turun ke Sekolah Tamil RRIM di Sg Buloh . Lawatan tersebut adalah untuk menyerahkan beg sekolah sumbangan Kerajaan Negeri Selangor . Sebanyak 100 buah beg sekolah telah diberikan kepada 100 orang pelajar yang memerlukan bantuan.

Kami juga agak terperanjat apabila dimaklumkan oleh pihak sekolah bagaimana , Kementerian Pendidikan Kerajaan Pusat telah mengurangkan bantuan RMT, Rancangan Makanan Tambahan kepada pelajar . Pihak guru memberitahu bahawa dulu seramai 200 pelajar menikmati bantuan tetapi kini hanya 50 pelajar sahaja yang mendapat RMT kerana pemotongan bajet dari Kerajaan Pusat . Perkara ini amat menyedihkan , kerana terdapat ramai lagi daripada isi rumah yang berpendapatan rendah di Ladang RRI ini yang mungkin tidak mampu menyediakan sarapan yang mencukupi kepada anak-anak mereka . Kini makanan disekolah tidak dapat diharapkan kerana  bantuan RMT telah dikurangkan.

Bagaimana kah pelajar -pelajar ini akan menumpukan perhatian di bilik darjah dengan perut yang lapar?

Peralihan polisi Kerajaan Pusat yang semakin lama semakin menghakis kemudahan sosial yang disediakan kepada rakyat amat jelas kelihatan di sini.

Wakil Pejabat ADUN juga telah meminta suatu agaran bajet kos sarapan makanan untuk 100 pelajar dikemukakan segera dengan tujuan untuk membuat permohonan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menanggung kos tersebut . Adalah diharapkan kelaparan para pelajar ini dapat di atasi.

Pejabat ADUN juga semasa lawatan ini memberikan kepastian bahawa Dr.Nasir Hashim ADUN Kota Damansara akan menanggung kos untuk rawatan anai-anai untuk bangunan sekolah RRIM ini . Sekolah in yang berusia lebih 80 tahun berada dalam keadaan jangkitan anai anai yang agak teruk dan memerlukan rawatan segera. Justeru itu , walaupun sekolah tersebut mungkin akan dipindahkan dalam masa 2 tahun ini kerana pembangunan induk Stesen RRIM ini , tetapi keselamatan pelajar dalam masa terdekat ini amatlah penting .