Rakyat atau Lynas? Nyawa atau keuntungan?

Gambar oleh Choo Chon Kai

26 February 2012

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kerajaan BN untuk memutuskan yang mana diutamakan -  Rakyat marhein Malaysia atau syarikat kapitalis dari Australia?  Nyawa atau keuntungan semata-mata?

Kemusykilan ini timbul kerana sejak awal lagi PSM mendapati pihak Kerajaan cuba membuat perkara yang berkaitan dengan Projek Lynas secara tergesa-gesa. Ini termasuk kajian impak terhadap alam sekitar, pembinaan kilang dan sehinggalah Kilang Lynas diberikan Lesen Kendalian Sementara (TOL) pada 1 Februari 2012. Semua ini dijalankan secara tidak telus dan tidak melibatkan penduduk. Gabungan Membantah Lynas dan aktivitis alam sekitar pula telah banyak membuat bantahan dan mengemukakan alasan yang saintifik mengapa Lynas harus dihalang di Malaysia. Tetapi nampaknya pihak Kerajaan terus berdegil dan mahu meneruskan Projek Lynas ini. Mengapa?

PSM berpendapat ini adalah satu lagi usaha kerajaan kapitalis BN di mana projek Lynas ini hanya akan menguntungkan segelintir orang sahaja ini di negara ini?

  1. Dilaporkan Kilang Lynas ini akan mewujudkan 350 peluang pekerjaan. Tetapi jika kilang ini beroperasi ia akan membahayakan nyawa lebih 600,000 penduduk di Gebeng, Kuantan dan kawasan sekitarnya.
  2. Syarikat Lynas diberi pelepasan cukai selama 12 tahun dan dijangka Lynas akan membuat keuntungan sebanyak RM8 bilion setahun.  Negara akan kehilangan cukai berjuta ringgit dan ini tidak masuk akal sama sekali. Jadi, sudah tentu poket sesetengah pihak yang menjadi penuh kerana membenarkan perjanjian berat sebelah ini.
  3. Industri rare-earth (kilang Lynas) akan menghasilkan sisa buangan yang mengandungi Thorium, sejenis bahan radioaktif. Kerajaan Australia tidak mahu sisa ini dihantar balik  ke Australia. Jadi, rakyat Malaysia akan menjadi mangsa kerana sisa ini mengambil masa yang  lama untuk dilupuskan. Hayat separahnya adalah 12 bilion tahun! Ini telah dibuktikan di Bukit Merah apabila Syarikat Mitshubishi Chemical memproses nadir bumi rare earth - menyebabkan beberapa kes luekimia, kecacatan anggota dan kematian.

Banyak lagi kepincangan atau persoalan yang dilemparkan kepada pihak Kerajaan yang sehingga kini tidak dapat memberikan jawapan yang menyakinkan. Tetapi bagi PSM kelulusan pada Lynas merupakan satu lagi keputusan yang akan mengancam kesihatan dan nyawa rakyat biasa demi keuntungan syarikat besar.

Kebanyakan bencana alam yang berlaku sekarang adalah akibat ketamakkan sistem kapitalis untuk meraih keuntungan dengan cepat. Banyak kejadian seperti banjir, hakisan dan tanah runtuh bukanlah bencana alam. Tetapi ia berpunca daripada logik sistem kapitalis yang melaksanakan ‘pembangunan tanpa mengambilkira kepentingan orang awam. Kilang Lynas ini bukanlah sesuatu yang diperlukan oleh rakyat Malaysia. Apa yang diperlukan sekarang adalah tindakan untuk mengurangkan pencemaran alam demi menyelamatkan bumi berikutan kejadian perubahan iklim, pemanasan dunia, pembebasan gas karbon dioksida yang berlebihan dan sebagainya. Apa yang diperlukan sekarang adalah pelaburan dalam industri tenaga alternatif  seperti solar, air, angin dan ombak yang jauh lebih selamat dan bersih. Industri ini juga boleh menjana peluang pekerjaan. Malangnya keperluan seperti ini tidak akan diberi keutamaan dan jika adapun ia dikawal oleh syarikat multinasional atau negara kuasa besar seperti Amerika juga demi keuntungan.

PSM menggesa pihak Kerajaan BN untuk belajar dari pengalaman lepas di Bukit Merah. Bantahan rakyat menyebabkan kilang tersebut ditutup pada tahun 1992 setelah terbukti ia mengancam nyawa. Jelaslah Kilang Lynas ini tidak selamat dan ianya dibawa ke Kuantan kerana Syarikat Lynas enggan mematuhi syarat-syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Australia.

Oleh itu, PSM menuntut pihak Kerajaan menghentikan semua operasi berkaitan dengan Lynas. Sebaliknya adakan referendum (pungutan suara) dan biar rakyat putuskan sama ada mereka memerlukan Lynas atau tidak. Keputusan rakyat jelata lebih penting dari keputusan segelintir golongan koprat yang tamakkan keuntungan.

Disediakan oleh,
Biro Alam Sekitar
Parti Sosialis Malaysia

Alam Sekitar