Dr. Kumar: Terlalu banyak kuasa di tangan menteri Sumber Asli

17 July 2008

Dr. Kumar di Parlimen - terlalu banyak kuasa di tangan menteri Sumber Asli
Debat terhadap Rang Undang Geologi (Suatu Akta Baru)

Saya terima hakikat bahawa kita memerlukan suatu rang undang-undang untuk mengawal bidang geologi, tetapi saya tidak selesa dengan bentuk rang undang yang dibentangkan di Dewan ini.

Rang undang-undang di hadapan kita memberi terlalu banyak kuasa pada Menteri Sumber Asli dan berkurangan dalam "Check and balance".

Seksyen 6 dalam rang undang Geologi ini menyatakan bahawa ahli Lembaga Geologi akan dilantik oleh Menteri sendiri. Walaupun Institut Geologi, suatu badan profesyional ahli geologi, boleh mengesyorkan calon untuk Lembaga Geologi, Menteri Sumber Asli tidak dikehendaki mematuhi syor daripada para ahli geologi. Ini harus dibandingkan dengan amalan Malaysian Medical Council ataupun Jemaah Doktor Malaysia di mana 40% daripada keahlian Jemaah tersebut dipilih oleh doktor-doktor sendiri melalui pilihan pos. Mengapa suatu sistem yang sama tidak dapat diamalkan untuk penubuhan Lembaga Geologi.

Seksyen 10 dalam rang undang Geologi memberi kuasa untuk Menteri Sumber Asli untuk "Pada bila-bila masa membatalkan pelantikan mana-mana anggota Lembaga tanpa memberikan apa-apa sebab bagi pembatalan itu". Pada pandangan saya Seksyen 6 dan seksyen 10 memberi terlalu banyak kuasa pada Menteri Sumber Asli.

Selain daripada ini, prosedur untuk menggantungkan atau membatalkan pendaftaran seorang ahli geologi, tidak munasabah. Seksyen 33 dalam rang undang geologi memberi kuasa pada Lembaga Geologi untuk membatalkan pendaftaran seorang ahli geologi. Ini mewujudkan suatu situasi di mana Lembaga Geologi menjadi Pendkwah dan juga Pengadil. Langsung tiada "separation of powers".

Bukan setakat ini sahja, seorang ahli geologi yang dikenakan tindakan disiplin oleh Lembaga Geologi hanya boleh merayu kepada Menteri seperti diperuntukkan di bawah seksyen 48 yang menyatakan "keputusan Menteri - - - adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah".

Seksyen-seksyen yang saya telah sebut tadi membuktikan bahawa langsung tiada "separation of powers" ataupun proses "check and balance". Terlalu kuasa ditumpukan pada Menteri Sumber Asli. Dewan ini diminta meluluskan suatu rang undang yang baru. Saya pohon "lets do it right the first time itself." Oleh itu saya pohon rang undang ditarik balik dan diubahsuai supaya isu-isu yang saya telah membangkitkan tadi dapat dikendalikan.

Dato yang DiPertua, saya tidak dapat menyokong rang undang geologi dalam bentuk yang sedia ada.

Kumar Devaraj
MP Sungai Siput