Sistem kapitalis Malaysia diwarisi daripada golongan kolonial oleh golongan elit Malaysia.

Kita perlu menjadikan aset-aset negara yang diswastakan pada zaman Mahathir seperti air, tanah dan tenaga kerana mereka adalah milik orang Malaysia bukannya kapitalis tempatan dan luar. Ini senang dilakukan kerana kebanyakan aset ini dikawal oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Syarikat-syarikat ini patut terbuka kepada kawalan demokratik warga Malaysia dan perlu melaksanakan polisi buruh dan alam sekitar yang baik.

Pendapatan Petronas perlu dilabur dalam dana kekayaan berdaulat sebagai dana pencen untuk
generasi akan datang dan negeri-negeri penghasil petroleum bukannya dihabiskan oleh pemimpin-pemimpin tidak bertanggungjawab. Kita perlukan sektor kesihatan awam, perumahan, pendidikan, pengangkutan termasuk lebuh raya yang telah diswastakan kepada kapitalis kroni. Perusahaan kecil dan sederhana, petani dan nelayan patut diberi sokongan yang mencukupi untuk membangunkan pengeluaran industri dan makanan tempatan.

Ketidaksamarataan pendapatan di Malaysia semakin teruk dengan tiadanya sistem kebajikan yang baik untuk warga Malaysia. Majoriti pekerja tidak mendapat gaji yang mencukupi untuk bersara, lebih-lebih lagi yang diberhentikan kerja. Sebagai contoh, 78% daripada pekerja yang berusia 54 tahun tidak mempunyai jumlah asas untuk bersara dalam akaun KWSP. Lebih-lebih lagi, 65% daripada mereka yang berusia 54 tahun mempunyai kurang daripada RM 50000 sebagai simpanan.
Ketidaksamarataan pendapatan perlu ditangani dengan sistem cukai progresif kepada orang yang berpendapat tinggi, kekayaan mereka dan harta. Undang-undang cukai yang efektif juga perlu digubal supaya tiada kelemahan yang membolehkan golongan maha-kaya tidak membayar cukai. Kita juga tidak mahu cukai regresif seperti GST yang membebankan orang miskin.
Kapitalisme global berada dalam krisis. Negara kapitalis tidak dapat membayar hutang mereka dan syarikat-syarikat gergasi mendapat perolehan yang lebih daripada KDNK sesetengah negara. Ini telah menyebabkan golongan 1% teratas memiliki kekayaan yang lebih daripada 99% yang lain. Agihan ini yang tidak seimbang telah menyebabkan kekurangan permintaan yang menyebabkan masalah-masalah ekonomi seperti pertumbuhan rendah, pengangguran tinggi dan kecenderungan menyebabkan kemelesetan ekonomi berterusan.
Liberalisasi perdagangan dan pelaburan rentas sempadan menyebabkan ketidaksamarataan yang teruk dalam pendapatan serta agihan kekayaan yang tidak seimbang. Tambahan lagi, sumber semula jadi dan penghidupan golongan berpendapatan rendah dihancurkan. Kita sepatutnya mengamalkan ‘Semangat Bandung’ antara negara-negara Asia, Afrika dan Amerika Latin supaya kekayaan negara tidak pergi kepada syarikat kapitalis yang mengambilnya dan kita yang tertinggal dengan pencemaran air, udara dan lain-lain.
    1. Polisi Ekonomi Yang Progresif
      1. Mendapat semula aset awam daripada penswastaan, hentikan penswastaan aset awam dan demokratikkan GLC;
      2. Menolak usaha kapitalisme korporat transnasional untuk melemahkan kedaulatan kebangsaan melalui perjanjian perdagangan bebas
      3. Mengawal selia transaksi kewangan dan spekulasi untuk memastikan ekonomi kebangsaan tidak terjejas
      4. Memiliknegarakan utiliti awam seperti air dan tenaga
      5. Melaburkan keuntungan Petronas, cukai atas petroleum dan syarikat gas serta bayaran lesen dalam dana kekayaan berdaulat sebagai dana pencen untuk generasi akan datang
      6. Menguatkan sektor kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan awam termasuk lebuh-lebuh raya
      7. Melaksanakan pelan utama untuk tanah persekutuan dan negeri supaya boleh digunakan untuk keperluan awam dan mana-mana penjualan kepada sektor swasta perlu dibuat dengan harga yang berpatutan
      8. Membahagi lebih banyak peruntukan daripada sumber gas dan minyak kepada negeri yang menghasilkannya dan memastikan rekod pengeluaran dan pelaburan Petronas telus dan bertanggungjawab kepada parlimen dan orang ramai
      9. Sistem pengurusan kekayaan masyarakat yang adil dalam ekonomi yang mempunyai peningkatan ekonomi dan implementasi automasi dan robotik luas menyebabkan pengangguran dan kekurangan pekerjaan. Apa yang boleh dilakukan termasuk pemendekan minggu kerja dan/atau sistem pendapatan asas dijamin