IPOH - Tiga penduduk di Kampung Pinang B, Pusing, meminta Kerajaan Negeri membantu mereka menyelesaikan masalah tiada penempatan selepas mereka tidak lagi boleh mendiami kampung berkenaan.
Seorang penduduk, Sen Chee Yew, 56, berkata, dia merupakan generasi kedua yang tinggal di kampung berkenaan sejak 90 tahun lalu.
“Kami hanya mahu tanah untuk membina tempat tinggal baru untuk menggantikan yang lama. Jika diusir kami mungkin hidup merempat akibat tiada rumah yang sempurna,” katanya yang bekerja sebagai tukang kayu.
Manakala dua orang penduduk yang turut mengalami nasib yang sama, Wan Swee Ying, 62, dan Shak Keaw, 73, turut bersedih apabila mereka terpaksa berpindah dari tanah yang sudah didiami hampir 100 tahun itu.
Semalam, Pesuruhjaya Kehakiman, Harminder Singh Dhaliwal menolak rayuan ketiga-tiga penduduk tersebut untuk terus mendiami kawasan berkenaan dengan kos dan mengikut perintah Mahkamah Sesyen yang sudah dikeluarkan sebelum ini.
Dalam keputusan itu, Harminder turut membenarkan pemaju NCC Kredit Development Sdn Bhd (NCC Development) untuk meminta ketiga-tiga penduduk terbabit supaya pindah daripada rumah masing-masing.
Bagaimanapun, peguam bela bagi ketiga-tiga penduduk itu, K Thirumangai berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung perkara ini dalam masa terdekat.
Sementara itu, jurucakap penduduk kampung, K Kunasekaran berkata, masalah tanah ini bermula apabila pemaju ingin menjalankan kerja pembangunan di Kampung Pinang B, Pusing.
Berikutan itu, beliau bersama 14 keluarga terbabit mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar pada September 2011 dan Januari lalu bagi membincangkan perkara tersebut.
Dalam perbincangan itu, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Batu Gajah bersetuju menawarkan satu lot kediaman di Rancangan Penempatan Tersusun (RPT) Kampung Pinang Tambahan bagi 14 penduduk terbabit.
“Namun, pada 22 November tahun lalu, kami dimaklumkan kawasan kolam yang ditawarkan tidak sesuai untuk dijadikan penempatan semula.
“Tetapi, PDT dan Kerajaan Negeri akan cuba mengadakan perbincangan dengan pemaju supaya permohonan 0.8 hektar tanah diberikan kepada 14 penduduk untuk dijadikan lot perumahan atau menyediakan penempatan di Gunung Hijau yang terletak berhampiran kampung itu,” katanya.
