Institut-Institut Pengajian Tinggi (IPTS) dikehendaki memohon kepada beberapa pihak di Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mewujudkan kursus-kursus kejururawatan dan perubatan. Untuk kursus perubatan, izin Jemaah Perubatan Malaysia (Malaysian Medical Council) juga harus diperolehi.
Tetapi malangnya pihak-pihak berkenaan di kedua-dua Kementerian tersebut tidak melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna seperti boleh diperhati oleh dua contoh yang dihuraikan di bawah –
Kes kuota keterlaluan untuk kursus kejururawatan
Walaupun keperluan jururawat di sector swasta adalah hanya lebih kurang 2000 orang setahun, 61 buah IPTS telah diizinkan mengambil lebih daripada 12,000 pelajar jururawat pada tahun 2010 dan lebih daripada 8000 ribu pelajar pada tahun 2011. Kerelaan pihak-pihak berkenaan meluluskan kuota yang sebegini besar telah menyebabkan lambakan jururawat dan kadar pengangguran yang tinggi di kalangan mereka.
Hampir kesemua pelajar kejururawatan mendapatkan pinjaman PTPTN sebanyak lebih kurang RM 55,000 seorang. Daripada jumlah ini lebih daripada RM 25,000 merupakan untung bersih IPTS. Ini merupakan untung bersih sebanyak RM 200 juta untuk kemasukan 8000 pelajar!
Kebenaran pada Lincoln University College (LUC) untuk mewujudkan kursus perubatan“off-shore” di Ukraine
LUC baru diberi izin mendaftarkan 300 pelajar perubatan ke University di Ukraine setiap tahun. Antara perkara yang pelik dalam kes ini adalah
- Ketiga-tiga University Ukraine yang berkaitan tidak diiktirafkan oleh MMC
- Masih ada beberapa orang graduan daripada University-university ini yang masih tidak dapat meluluskan peperiksaan “Medical Qualifying Examination” yang dikehendaki untuk graduan perubatan daripada kolej yang tidak diiktirafkan.
- Walaupun pelajar kedoktoran yang dihantar oleh LUC ke Ukraine akan dididik mengikut suku pengajian (Syllabus) yang dipakai di university di Ukraine, mereka akan diberi ijazah LUC yang diiktirafkan oleh kerajaan Malaysia.
- Yuran pada pelajar yang terus berdaftar di university di Ukraine adalah RM 120,000 untuk kursus selama 6 tahun. Tetapi jika pelajar didaftarkan melalui LUC, yuran meningkat ke RM 190,000.
- LUC akan mendapat untung RM21 juta setiap tahun daripada program ini.
Kes-kes seperti ini telah menimbulkan keraguan di kalangan rakyat terhadap keberkesanan Kementerian Kesihatan, Jemaah Perubatan Malaysia (MMC) dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam mengawal dan mengendalikan IPTS-IPTS berkaitan yang merupakan syrikat-syarikat gergasi dengan untung sebesar beberapa juta setahun. Wujudlah prasangka di kalangan sebahagian orang umum bahawa pegawai-pegawai kerajaan yang dipertanggungjawab dengan mengawal IPTS-IPTS telahpun dipengaruhi oleh IPTS-IPTS yang kaya ini.
Kemungkinan penawanan pihak yang harus mengawal ataupun “regulatory capture” telah dan sedang berlangsung di arena Pendidikan Swasta harus diteliti dan cara-cara untuk mengurangkannya dikenalpasti.
Oleh itu, saya ingin mengusulkan bahawa satu Suruhanjaya Di Raja Khas ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini.
