Pengumuman PM terhadap gaji minima pada hari adalah satu lagi ejekan menghina kepada kaum pekerja untuk menyelamatkan regim Barisan Nasional pada pilihanraya akan datang dan pada masa yang sama tidak menyinggung hati kaum majikan.
Gaji minima ini tidak mendapat restu kaum majikan sehinggakan persatuan majikan pernah mengugut untuk melangkah mayat mereka sebelum mengimplementasi gaji minima ini. Tetapi, tekanan demi tekanan daripada kaum pekerja melalui kesatuan, organisasi dan parti politik meletakkan BN di persimpangan jalan untuk terpaksa melaksanakannya. Tindakan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mengimplementasi gaji minima untuk pekerja kerajaan negeri juga satu tamparan dan tekanan hebat untuk pengumuman hari ini.
Tetapi, perlukah kita bergembira dengan pengumuman ini. Sudah pasti tidak. Sejarah menunjukkan sebarang usaha yang memihak kepada kaum pekerja akan dilambat-lambatkan sehingga tidak pernah dilaksanakan termasuk perlaksanaan skim perumahan untuk pekerja oleh Tun Abdul Razak, gaji minima untuk pekerja ladang, gaji pokok untuk pekerja keselamatan dan sebagainya. Manakala apa juga tindakan yang menyebelahi kaum majikan akan dilaksanakan serta-merta termasuk pengkontraktoran buruh (baca=sudah dimulakan sebelum pindaan akta), pindaan akta kerja, cubaan pengimplementasian perjanjian FTA dan GST, kenaikan harga rumah dan sebagainya.
Walaupun tempoh masa 6 bulan diminta untuk pengimplementasian gaji minima ini, pengecualian untuk pekerja domestik seperti pembantu rumah atau pekebun atau kerja-kerja sekaitannya adalah mengecewakan dan meragukan. Ini kerana contohnya pekerja pekebun (gardener) telah dikontrakkan dan ini menyebabkan jaringan keselamatan mereka tidak terjamin. Puluhan kes dimana majikan kontrak tidak membayar caruman Perkeso dan KWSP berlaku. Gaji asas yang ditawarkan hanyalah disekitar RM 350 (berdasarkan gaji pekebun di sekolah di Sg Siput) berserta puluhan syarat yang menindas. Minggu lalu sahaja 4 pekerja kebun di Hospital Sg Siput telah dihentikan kerja oleh pihak kontraktor mereka dan kontraktor baru pula hanya mahu mengambil pekerja asing dari negara India. 4 pekebun ini tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian kontrak dengan kontraktor sebelum ini walaupun mereka bekerja lebih 3 tahun di sini. Mereka juga tidak dipotong Perkeso. Kes mereka akan difailkan di Pejabat Buruh
Inilah nasib pekerja-pekerja swasta bawahan ini walaupun mereka bekerja di bangunan kerajaan. Jadi mengapakah mereka dikecualikan daripada skim gaji minima ini? Pada masa dahulu, para pekebun ini adalah pekerja kerajaan. Walaupun gaji tidak seberapa, kemudahan-kemudahan lain seperti pencen dan pinjaman perumahan memberikan mereka satu jaringan keselamatan. Namun kerakusan Kerajaan BN mengimplementasi polisi-polisi neo-liberal termasuk penswastaan sektor-sektor buruh yang ditanggung oleh Kerajaan termasuk pengawal keselamatan dan pekebun bangunan kerajaan, pekerja majlis perbandaran dan sebagainya telah memberi kesan yang teruk kepada layar bawahan sistem sosial negara kita.
Cukupkah gaji minima RM 900/800 ini ? Tidak. Satu kalkulasi minimum perbelanjaan keluarga SEBULAN dengan suami isteri dan tiga orang anak termasuk pembayaran pinjaman perumahan (RM 500 jika harga rumah ialah dibawah RM80,000), pendidikan dan pengangkutan bas untuk anak-anak (RM200), pembelian barangan makanan basah dan kering (RM 400), pembayaran bil-bil air, elektrik, telefon, astro (RM300), petrol/pengangkutan ke kerja (RM200 dengan andaian penggunakan motosikal atau bas), masalah kesihatan/insurans (RM50) = jumlahnya ialah RM1650. Ini belum lagi dikira untuk mereka yang ada datuk, nenek dan saudara di rumah, sekurang-kurangnya satu kereta, anak yang sedang menuntut di pengajian tinggi dan banyak lagi. Sudah pasti ramai marah dengan kiraan saya yang kecil ini tetapi jika pengiraan yang minimum pun sudah menjangkau dua kali ganda gaji minima yang diumumkan, apakah NASIB kaum pekerja kita?
Jika kaum majikan tidak berkokok membantah untuk skim gaji ini, maka mereka menerima kenyataan Kerajaan BN tidak serius dalam perlaksanan skim gaji ini dan Ternyata, pengumuman hari ini hanyalah gula-gula pilihanraya. Pakej untuk kaum majikan dalam bentuk pengkontrakan buruh tidak menjadi akibat tekanan dan manakala janji gaji minima yang sepatutnya dimula setahun lagi diheret sehingga ke hari ini dan penungguan untuk 6 bulan lagi serta perlanjutan tambahan atas permintaan majikan adalah tidak masuk akal. Lebih-lebih lagi pengecualian beberapa sektor buruh yang tidak dinyatakan secara jelas memperkuatkan lagi pandangan bahawa pengumuman hari ini hanyalah satu gimik politik dan ejekan menghina Kerajaan BN terhadap kaum pekerja negara ini.
Mari bersama membantah dan menuntut gaji minima yang lebih adil. Hidup Pekerja
Kartiges
PSM Sg Siput