Ucapan Dr Kumar Terhadap Pindaan Pada Akta Perubatan 1971

Ucapan Dr Kumar Terhadap Pindaan Pada Akta Perubatan 1971

15 June 2012

Terima kasih Tuan Speaker memberi saya peluang untuk berbahas Pindaan Akta Perubatan.

Saya terima baik cadangan dalam pindaan ini untuk meningkatkan bilangan ahli anggota Majlis Perubatan Malaysia dari 11 dalam Akta asal ke 17 dalam pindaan ini seperti terkandung dalam Seksyen 3A (1) e, f, dan g.
 
Pada amnya Tuan Speaker saya setuju dengan perkara-perkara yang dibawa dalam Pindaan ini. Tetapi masalah yang saya hadapi dengan Pindaan ini adalah perkara-perkara yang tidak dikendalikan.
 
Tujuan asal Akta Perubatan adalah untuk menjamin kualiti doktor-doktor kita. Untuk memastikan doktor-doktor kita mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi kita harus mula dengan proses latihan mereka – di peringkat kolej-kolej perubatan.
 
Perkara ini lebih relevan sekarang berbnding dengan 1971 kerana penglibatan sektor korporat dalam pendidikan doktor-doktor kami. Dalam tahun 1971, hanya ada 3 kolej dan semua di bawah kerajaan. Sekarang kita ada 33 kolej atau universiti yang menawar kursus kedoktoran, dan 22 daripada kolej ini adalah kolej swasta. Wajah bidang pendidikan doctor sudah tukar banyak.
 
Oleh itu adalah lebih penting sekarang untuk memastikan kolej dan universiti perubatan mencapai standard minima dari segi bilangan dan kualiti pensyarah mereka, pendedahan klinikal untuk pelajar-pelajar mereka, dan juga kuota pengambilan pelajar supaya latihan lanjutan sebagai houseman tidak dikompromi oleh pengeluaran terlalu ramai graduan yang menbanjiri hospital-hospital awam kita di mana latihan sebagai houseman dilaksanakan.
 
Tetapi dalam pindaan ini kuasa Majlis Perubatan untuk meregulasikan kolej dan universiti perubatan dikurangkan lagi. Mengapa?
 
Pada hari Isnin kami diberi buku biru ini yang bertajuk Satu Akta untuk meminda Akta Perubatan 1971. Pada hari Selesa pula kami diberi kertas putih ini yang bertajuk “Pindaan dalam Jawatankuasa Rang Undang-Undang Perubatan (Pindaan)2012”.
 
Mari kita semak pindaan terkini – iaitu pindaan pada pindaan. Fasal 3 dalam buku biru berbunyi “institusi latihan yang diiktirafkan” ertinya institute latihan perubatan yang diiktiraf dan diakreditasi oleh majlis.”
 
Pindaan yang di bawah dalam kertas putih berbunyi “institusi latihan yang diiktirafkan” ertinya beri pendidikan tinggi sebagai yang ditakrifkan di bawah seksyen 2 Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007”
 
Nampaknya kuasa untuk mengiktiraf dan akreditasi kolej perubatan telah diambil dari Majlis Perubatan dan dipindah ke bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
 
Fasal 7 juga dipindah dua kali. Dalam buku biru Fasal 7 menyatakan bahawa di bawah 4A (2) (h) Antara kuasa Majlis adalah untuk mengiktirafkan dan mengakreditasi institusi latihan.
 
Kertas putih memindahkan 4A (2) (h) ke “mengiktiraf dan mengakreditasi kelayakan perubatan berdasarkan syor jawatankuasa Teknikal Bersama yang ditubuhkan di bawah Akta Agensi Kelayakan Malaysia 2007”
 
Fasal 37 lebih menarik lagi. Dalam kertas putih, perenggan 36(2)(bb) dipotong sama sekali. Dalam buku biru seksyen ini berbunyi –sila rujuk muka surat 42 -  “ pembentukan Jawatankuasa Pendidikan Perubatan yang hendaklah mempunyai fungsi am menggalakkan standard pendidikan yang tinggi dan menyeleraskan pendidikan perubatan pada semua peringkat”.
 
Besar kuasanya yang ingin diberi pada Majlis Perubatan untuk menjaga standard pendidikan di kolej-kolej perubatan. Tetapi seksyen ini dimansuhkan.
Tuan yang dipertua, mungkin saya salah tafsir, tetapi pada saya nampaknya ada persaingan antara dua Kementerian untuk mengendalikan kolej-kolej perubatan. Turf war! Dan nampaknya Kementerian Kesihatan telah kalah dalam rebutan untuk kuasa ke atas kolej-kolej swasta! Mungkin Menteri Kesihatan akan menerangkan perkara ini pada kita semua apabila beliau menggulung!
 
Mengapakah semua ini penting pada rakyat? 
 
Tuan Speaker izinkan saya mengingatkan dewan ini terhadap kisah Lincoln Universiti Kolej. Pada tahun 2012 Lincoln U C ini telah dapat izin kerajaan untuk menjalankan kursus perubatan off shore di 3 buah kolej Ukraine – kuota yang diluluskan adalah 300 pelajar setahun. Masalahnya adalah 3 kolej Ukraine ini tidak diiktirafkan oleh Majlis Perubatan. Dalam schedule 2 Akta Perubatan 1971 ada senarai 373 buah kolej perubatan di luar negeri yang diiktirafkan oleh Majlis Perubatan.
 
Jadi jika seorang pelajar Malaysia pergi dan belajar di kolej-kolej Ukraine ini apabila dia balik ke Malaysia dia tidak akan diberi lesen sementara untuk bertugas sebagai houseman. Dia dikehendaki menduduki suatu peperiksaan khas yang dianjurkan oleh Majlis Perubatan dan mesti lulus peperiksaan ini sebelum beliau diberi lesen sementara. Pada masa ini masih ada 50 orang graduan daripada 3 kolej Ukraine ini yang masih belum lulus peperiksaan ini.
 
Keizinan yang diberi untuk LUC adalah untuk menghantar pelajar perubatan ke tiga kolej ini untuk belajar di situ selama 6 tahun, dan selepas mereka graduate dari situ mereka diberi Ijazah LUC sendiri yang diiktirafkan oleh kerajaan. Belajar di sana, pakai fasiliti mereka, pakai pensyarah mereka. Tetapi degree LUC.
 
Yang lebih menarik adalah struktur yuran. Pelajar yang pergi terus ke kolej di Ukraine dikenakan bayaran RM 120,000. Jika pergi melalui LUC, yuran naik ke RM 190,000. Peningkatan RM 70,000! Jika didarab dengan 300 pelajar baru setahun jumlahnya adalah RM 21 juta!
 
Inilah masalah yang kita menghadapi sekarang – regulasi dan kawalan terhadap kolej-kolej perubatan tidak sebaik dan berkesan.
 
Tuan Speaker Malaysia dengan bilangan penduduk 27 juta mempunyai 33 kolej perubatan. Britain dengan population 67 juta hanya ada 32 kolej. 5 tahun dahulu kita hanya ada 1200 orang houseman setiap tahun. Tahun lalu bilangan houseman telah meningkat ke 3500 sehingga latihan yang diberi mereka terjejas.
 
Kaedahnya kita mendidik doctor-doktor baru telah berubah secara yang drastic dalam 40 tahun yang lalu. Pada 1971, pendidikan doctor baru adalah dibawah kerajaan. Langsung tiada motif keuntungan. Sekarang 22 daripada 33 kolej perubatan di Malaysia adalah milikan swasta. Dan mereka kenakan yuran sebanyak antara RM 250,000 dan RM 500,000 se orang pelajar.
 
Dalam keadaan seperti ini, adalah amat penting Majlis Perubatan diberi mandate yang lebih kuat untuk mengawasi dan mengawal kolej-kolej perubatan. Tetapi dalam Pindaan ini kita nampak kuasa Majlis Perubatan dikurangkan. Kita nampak ada suatu turf war – satu persaingan untuk mendapat kuasa memberi lesen pada kolej-kolej perubatan swasta.
 
Dalam keadaan seperti ini, apakah tanggungjawab suatu parlimen yang world class tuan speaker? Ini bukan perkara remeh. Ini melibatkan kualiti doktor-doktor kita dan akan membawa kesan pada kualiti rawatan rakyat biasa di Malaysia pada masa depan.
 
Tuan Speaker, saya ingin cadang menghantar Akta Pindaan ini ke suatu jawatankuasa pilihan khas untuk meneliti isu kawalan yang berkesan terhadap kolej-kolej perubatan. Saya harap syor ini akan dapat sokongan ahli-ahli parlimen di sini.

Sumbangan Kewangan

Dalam memberi sokongan kepada PSM, saudara/saudari memberi sokongan kepada usaha membina Malaysia yang lebih saksama melalui proses demokrasi. PSM tidak mempunyai apa-apa sokongan hebat dari korporat. PSM hanya ada sokongan dan komitmen rakyat biasa.

Nama Akaun: Parti Sosialis Malaysia
No. Akaun: 512080337313
Bank: Maybank
Cawangan Bank: Subang Perdana, Subang, Selangor, Malaysia
Swift Code: MBBEMYKL
Contact: sivarajan.a@gmail.com

Satu lagi cara untuk memberi sumbangan kepada kami adalah dengan memberi wasiat.