Imbas kembali 2023: PSM dan perjuangan rakyat marhaen

Imbas kembali 2023: PSM dan perjuangan rakyat marhaen

Pada penghujung tahun 2023 dan ambang tahun baharu 2024 ini, marilah kita imbas kembali sepintas lalu sebahagian daripada perjuangan rakyat marhaen di Malaysia dan juga aktiviti yang penting untuk Parti Sosialis Malaysia (PSM) sepanjang satu tahun yang lalu ini.

1. Kempen Pencen Warga Emas Sejagat

PSM melancarkan kempen menuntut pelaksanaan skim Pencen Warga Emas Sejagat, dengan cadangan memberi pencen bulanan RM500 kepada semua penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas yang tidak mempunyai apa-apa pencen kerajaan atau pencen swasta pada masa ini. PSM telah mengadakan siri aktiviti untuk membawa perhatian kepada orang ramai mengenai kempen ini, termasuk pengutipan tandatangan di tempat awam, pengumpulan tandatangan petisyen dalam talian, sebaran media sosial dan perbincangan meja bulat bersama masyarakat sivil.

2. PSM ambil bahagian dalam PRN 2023

PSM mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 dengan meletakkan 4 orang calon di Selangor: Sivaranjani Manickam bertanding untuk kerusi DUN Meru, Sivarajan Arumugam bertanding untuk kerusi DUN Kota Damansara, S. Arutchelvan bertanding untuk kerusi DUN Kajang dan Darren Ong bertanding untuk kerusi DUN Dengkil. Walaupun PSM kalah di semua kerusi yang ditandingi seperti yang dijangkakan, PSM masih mampu mengadakan kempen pilihan raya yang penuh bersemangat dengan penglibatan sukarelawan yang memberangsangkan demi memajukan usaha kita membina sebuah alternatif politik yang bersifat pembebasan dan progresif dalam jangka panjang. PRN 2023 juga menyaksikan PSM mengadakan kerjasama pilihan raya julung kali dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

3. Bantah CPTPP

PSM meneruskan usaha bersama dengan masyarakat sivil untuk menuntut pada Kerajaan Malaysia supaya mengkaji semula penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang boleh membawa impak negatif kepada rakyat marhaen di negara kita.

4. Perjuangan petani Perak untuk mengekalkan kawasan pertanian pengeluaran makanan

Walaupun sudah berulang kali menyeru pada Kerajaan Negeri Perak untuk mengekalkan kawasan pengeluaran makanan yang diusahakan oleh petani-petani kecil selama berpuluh-puluh tahun, malah isu ini juga dibawa kepada perhatian Ahli-ahli Parlimen dan Perdana Menteri sendiri di mana kawasannya juga terlibat, petani-petani kecil di kawasan Mukim Hulu Kinta, Daerah Kinta, Perak, masih menghadapi ancaman pengusiran paksa. Pada 24 Oktober 2023, apabila pasukan penguatkuasa tanah Negeri Perak melakukan pengusiran paksa terhadap petani-petani kecil yang dikatakan menduduki tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di kawasan Kanthan, 4 orang telah ditahan polis, sementara seorang aktivis PSM dicederakan. Chong Yee Shan, aktivis PSM yang dicederakan oleh pegawai penguatkuasa tanah kerana cuba mempertahankan tanah pertanian pengeluaran makanan dihancurkan sewenang-wenangnya, kemudiannya telah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya. PSM bertekad untuk terus memperjuangkan isu ini, kerana ia bukan sahaja berkaitan dengan mata pencarian petani-petani kecil, malah berhubung rapat dengan keterjaminan makanan bagi seluruh masyarakat Malaysia.

5. Kesatuan pekerja pembersihan hospital dapat pengiktirafan dan terus berjuang

Selepas perjuangan pekerja-pekerja pembersihan hospital selama 3 tahun yang penuh kegigihan, keberanian dan kesungguhan untuk mempertahankan hak kesatuan mereka, Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) akhirnya diiktiraf sebagai wakil pekerja pembersihan yang bekerja dengan syarikat Edgenta UEMS Sdn Bhd, sebuah syarikat yang memegang kontrak untuk kerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan di Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. NUWHSAS masih terus lantang bersuara dan mengadakan pelbagai aksi untuk mempertahankan hak serta kebajikan pekerja-pekerja pembersihan di hospital.

6. Pengawal keselamatan hospital dipulihkan kerja selepas berprotes di Kementerian Kesihatan

4 orang pengawal keselamatan di Hospital Ipoh yang berani dan tegas dalam memperjuangkan hak mereka, sehingga mengadakan aksi protes di Kementerian Kesihatan, akhirnya berjaya dipulihkan kerja mereka selepas lebih 9 bulan diberhentikan kerja secara tidak adil. Mereka juga menang kes tuntutan bayaran gaji kerja lebih masa di Mahkamah Buruh.

7. Perjuangan perumahan

Aktivis-aktivis telah terlibat dalam beberapa perjuangan masyarakat untuk hak perumahan sepanjang setahun yang lalu, termasuk isu pengusiran Kampung Koskan Tambahan, isu ancaman pengusiran Kampung Sri Makmur, isu perumahan bekas pekerja Ladang Glenmarie, isu perumahan bagi pekerja ladang di 5 buah ladang di kawasan Kuala Selangor dan Hulu Selangor, isu perobohan rumah berbumbung asbestos di Ladang Padang Meha, dan perjuangan bekas pekerja Ladang Kamiri dan Changkat Salak untuk lot tanah perumahan yang akhirnya membuahkan hasil. Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML) juga menyerahkan memorandum pada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Perak untuk menggesa kerajaan-kerajaan negeri berkenaan menggubal enakmen supaya mewujudkan skim perumahan pekerja ladang.

8. Bantah projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong

Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong meneruskan pelbagai usaha untuk menyeru pada kerajaan supaya membatalkan projek ladang hutan di Hutan Simpan Kledang Saiong, Daerah Kuala Kangsar, Perak. Jaringan Selamatkan Hutan Simpan Kledang Saiong juga menganjurkan satu sesi perbincangan meja bulat mengenai penambahbaikan urus tadbir dan pengurusan hutan negara pada 27 Mei 2023 di Kuala Lumpur dengan penyertaan yang menggalakkan daripada masyarakat sivil yang prihatin pada hutan di negara kita.

9. Pengawal keselamatan Kedutaan AS menuntut keadilan kerana pemberhentian kerja tidak sah

Subramaniam a/l Letchimanan, seorang pengawal keselamatan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur yang diberhentikan kerja pada tahun 2008, telah menang kesnya di Mahkamah Perusahaan pada 27 April 2023, apabila Pengerusi Mahkamah Perusahaan mengarahkan Kedutaan AS untuk membayar pampasan sebanyak RM66,000 kepada Subramanian. Namun, kerajaaan AS masih berdegil untuk menghalang keadilan buat Subramaniam dengan memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan.

10. Masyarakat Orang Asli Pos Lanai menuntut hak tanah adat

Perbicaraan bagi kes masyarakat Orang Asli Pos Lanai menuntut hak tanah adat dan menghalang kemusnahan tanah adat mereka daripada ancaman pencerobohan berterusan telah diadakan pada pada bulan April 2023 di Mahkamah Tinggi Temerloh.

11. Solidariti antarabangsa

PSM telah mengadakan beberapa aksi solidariti antarabangsa pada tahun 2023, termasuk penyerahan memorandum kepada Pejabat Perwakilan Kesatuan Eropah di Malaysia dan Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Kuala Lumpur pada 15 Mac 2023 dengan gesaan untuk gencatan senjata serta rundingan damai demi menghentikan perang di Ukraine; protes di hadapan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur pada 7 September 2023 untuk menyatakan bantahan terhadap keganasan yang semakin meningkat di Manipur; protes di hadapan Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2023 untuk menuntut pembebasan dua orang pengamal media progresif di India dan menghentikan serangan terhadap kebebasan media di negara itu; dan penyertaan dalam aksi bersolidariti dengan rakyat Palestin. PSM juga mengutip sumbangan untuk bantuan mangsa gempa bumi di wilayah Rojava pada bulan Februari 2023.

12. PSM sarankan reformasi PERKESO 

PSM menyerahkan satu memorandum kepada PERKESO pada 25 Oktober 2023 untuk mengemukakan cadangan-cadangan reformasi terhadap sistem perlindungan sosial yang disediakan oleh PERKESO supaya semua pekerja yang mencarum pada PERKESO mendapat perlindungan tetap yang lebih baik.

**********

Selain itu, aktivis-aktivis PSM juga menyertai pelbagai aksi lain seperti Perarakan Wanita pada 12 Mac 2023, sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2023, protes terhadap keputusan pihak pendakwaan membuat permohonan dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi, protes membantah projek lebuh raya PJD Link, dan sebagainya.