Local Council Elections

Local Council Elections

Kerajaan Tempatan merupakan peringkat ketiga dalam komponen sistem pentadbiran kerajaan di negara kita, iaitu selepas Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Kerajaan tempatan termasuk Dewan/Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah.

Sesebuah kerajaan tempatan bertangungjawab ke atas pengurusan setempat dan penting untuk memastikan pembangunan mampan setempat, menjaga alam sekitar dan menyediakan kemudahan sosial untuk penduduk setempat. Kerajaan tempatan berurusan secara harian dengan rakyat.

Kerajaan tempatan mempunyai peranan dan tugas-tugas seperti:

  • perancangan tempatan;
  • mengeluarkan lesen (seperti lesen penjaja, lesen untuk premis perniagaan dan sebagainya);
  • merancang dan menyediakan kemudahan awam;
  • membina bangunan, perumahan dan unit-unit perniagaan (sepertipasar, gerai-gerai dsb);
  • mengurus dan mengawal lalulintas;
  • mengutip hasil cukai seperti cukai pintu;
  • berkuasa meluluskan atau menolak pelan untuk sesuatu projek pembangunan.

Namun, rakyat Malaysia tidak mempunyai hak untuk memilih kerajaan tempatan dan wakil rakyat di peringkat majlis tempatan melalui pilihanraya sejak tahun 1960-an apabila pilihanraya tempatan digantung sehingga kini.

Kenapa perlunya pilihanraya tempatan?

Pilihanraya tempatan dapat menjamin kebertanggungjawaban kerajaan tempatan terhadap rakyat setempat. Dengan adanya pilihanraya tempatan, ahli-ahli majlis tempatan akan bertanggungjawab terus kepada pengundi, dan bukannya kerajaan negeri yang melantik mereka tanpa proses demokrasi.

Oleh sebab ahli-ahli majlis tempatan sekarang ini dilantik oleh parti-parti pemerintah di negeri masing-masing, ini menyebabkan kebanyakan ahli majlis hanya melakukan tugas mereka sebagai budak suruhan kepada kerajaan negeri, bukannya rakyat tempatan yang sepatutnya menerima perkhidmatan mereka. Dengan adanya pilihanraya tempatan, ahli-ahli majlis tempatan akan bertanggungjawab terus kepada pengundi, dan bukannya kerajaan negeri yang melantik mereka tanpa proses demokrasi. Para pengundi juga boleh menukar ahli majlis yang tidak melaksanakan tugasnya secara baik melalui proses pengundian.

Dengan adanya pilihanraya tempatan, pihak berkuasa tempatan akan menjadi lebih peka dan lebih bertanggungjawab kepada kepentingan rakyat setempat, kerana sekiranya kerajaan tempatan tidak menjalankan tugas secara baik, ia akan ditukar dalam pilihanraya tempatan yang akan datang.

Sejarah ringkat pilihanraya tempatan di Malaysia

Pilihanraya kerajaan tempatan pertama kali diperkenalkan di Georgetown, Pulau Pinang pada tahun 1857, tetapi dimansuhkan pada tahun 1913, kemudiannya dipulihkan semula pada tahun 1951, apabila Ordinan Majlis Tempatan diwujudkan pada tahun 1950.

Ordinan Majlis Tempatan 1952 mewujudkan majlis tempatan untuk kawasan luar bandar.

Pada tahun 1958, pilihanraya tempatan telah dijalankan untuk majlis bandaraya, majlis perbandaran dan majlis daerah.

Pilihanraya tempatan yang terakhir dijalankan pada tahun 1963 sebelum semua pilihanraya tempatan digantung apabila darurat diumumkan pada September 1964, semasa berlakunya Konfontrasi dengan Indonesia.

Suruhanjaya Di-Raja Penyiasatan ke atas Pihak Berkuasa di Semenanjung Malaysia ditubuhkan pada tahun 1965 dan dipimpin oleh Athi Nahappan. Dalam laporan yang diterbitkan pada Disember 1968, Suruhanjaya Di-Raja telah menyarankan bahawa setiap ibu kota di Semenanjung Malaysia patut ditadbir oleh pilhak berkuasa tempatan yang terdiri daripada wakil yang dipilih oleh rakyat, dan ini patut diperluaskan ke tempat lain juga. Namun, saranan daripada laporan tersebut tidak dipeduli oleh Kerajaan pada masa itu.

Akta Kerajaan Tempatan 1976 telah menggantungkan semua pilihanraya tempatan.

Pada masa kini, semua Yang Di-Pertua Majlis Tempatan atau Datuk Bandar dan Ahli Majlis Tempatan dilantik oleh Kerajaan Negeri tanpa pilihanraya.

Bolehkah Kerajaan Pakatan Harapan mengembalikan pilihanraya tempatan?

Janji 25 dalam Buku Harapan (Manifesto Pakatan Harapan semasa PRU-14), berkenaan dengan “memperkukuh peranan dan kuasa pihak berkuasa tempatan”, menyatakan bahawa:

“Pakatan Harapan komited untuk memperkukuhkan demokrasi setempat. akauntabiliti pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada masyarakat setempat akan dipertingkatkan agar mereka menjadi lebih bertanggungjawab kepada penduduk setempat dan Akta Kerajaan Tempatan 1976 akan dipinda untuk memastikan hasrat ini tercapai. Pertubuhan-pertubuhan masyarakat sivil setempat akan diberi tempat untuk menyuarakan pandangan mereka secara terus dalam PBT.”

Walaupun tidak tertulis dengan jelasnya bahawa Pakatan Harapan akan mengembalikan pilihanraya tempatan, tetapi Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin telah mengatakan bahawa pilihanraya bagi memilih datuk bandar mungkin dapat dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun. Ini merupakan satu petanda yang baik bahawa Pakatan Harapan akan berusaha mengembalikan pilihanraya tempatan.

Pengembalian pilihanraya tempatan sebenarnya bukannya satu perkara yang baru untuk parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan. Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah meletakkan pengembalian pilihanraya tempatan dalam manifesto mereka.

Di negeri Pulau Pinang, selepas Pakatan Rakyat mengambilalih kuasa pentadbiran pada tahun 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengambil langkah untuk memulihkan pilihanraya tempatan. Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dalam meluluskan Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012, tetapi pilihanraya tidak dapat diadakan kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan memberi komitmen untuk melaksanakan pilihanraya. Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemudiannya menyaman Kerajaan Pusat dan SPR ke Mahkamah Persekutuan, namun Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan untuk mengadakan pilihanraya di Pulau Pinang dalam satu keputusan pada Ogos 2014.

Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat juga pernah merancang untuk mengadakan pilihanraya tempatan secara berperingkat.

PRU-14 telah menyaksikan kemenangan besar Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan dan di banyak buah negeri. Harapan untuk memulihkan undi di peringkat Kerajaan Tempatan telah kembali semula. Seruan untuk pilihanraya tempatan juga semakin kuat, daripada masyarakat sivil sehinggalah wakil rakyat Pakatan Harapan.

Bagaimana pulihkan pilihanraya tempatan?

Penghalang utama untuk mengadakan pilihanraya tempatan adalah Akta Kerajaan Tempatan 1976. Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan tajuk “Peruntukan berhubungan dengan pilihanraya kerajaan tempatan terhenti mempunyai kesan” menyatakan bahawa, “walau apapun yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, semua peruntukan berhubungan dengan pilihanraya kerajaan tempatan hendaklah terhenti berkuatkuasa atau mempunyai kesan”.

Oleh itu, bagi membolehkan pilihanraya tempatan dapat dikembalikan, Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 perlu dimansuhkan. Sementara itu, Seksyen 9 dan 10 akta yang sama ini, berkenaan dengan kuasa kerajaan negeri memberi arahan kepada kerajaan tempatan dan juga perlantikan ahli majlis, perlu dipinda sekiranya ingin memulihkan pilihanraya. Pindaan terhadap Akta Kerajaan Tempatan 1976 hanya memerlukan majoriti lebih 50% dalam Dewan Rakyat. Pakatan Harapan sekarang ini telah menguasai lebih 50% kerusi dalam Dewan Rakyat dan sepatutnya pindaan terhadap Akta ini dapat diluluskan dengan mudah.

Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012 juga boleh dijadikan contoh rujukan untuk negeri-negeri yang ingin menggubal enakmen untuk membolehkan pelaksanaan piihanraya tempatan.

Walau bagaimanapun, beberapa isu berkaitan dengan pilihanraya tempatan seperti logistik perjalanan pilihanraya, sistem pengundian yang digunakan, senarai pengundi dan sebagainya perlu diselesaikan seboleh mungkin sebelum mengadakan pilihanraya. Sekiranya perlu mendapatkan input yang bernas untuk membolehkan pilihanraya tempatan diadakan dengan licinnya, Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan boleh melakukan usaha memungut pendapat daripada masyarakat sivil; ataupun Dewan Rakyat menubuhkan Jawatan Pemilihan Parlimen untuk memungut pendapat daripada seluruh rakyat Malaysia.

Kembalikan pilihanraya tempatan

Malaysia telah melangkah ke era baru dengan kejatuhan rejim UMNO-BN yang menjadi penghalang kepada perkembangan demokrasi di negara kita. Oleh itu, ruang untuk rakyat menentukan nasib kita bersama melalui proses demokrasi sepatutnya terbuka luas. Pemulihan pilihanraya tempatan merupakan satu langkah yang penting untuk memperluaskan ruang demokrasi dan memperdalamkan proses pembaharuan masyarakat kita.

Institusi demokrasi di negara kita hanya akan disempurnakan dengan adanya pilihanraya kerajaan tempatan.