KEMPEN NASIONAL PERUMAHAN 2019- Rumah Adalah Hak ,Bukannya Komoditi !

KEMPEN NASIONAL PERUMAHAN 2019- Rumah Adalah Hak ,Bukannya Komoditi !

Its Beginning! 01 Okt 2019

    Kini Malaysia meraikan kejatuhan regim Barisan Nasional dan rakyat mengharapkan satu negara yang bernafas baru yang mengimpikan keperluan asasi rakyat dijamin dengan sewajarnya.

    Perumahan merupakan satu keperluan asasi rakyat dan selama ini rakyat tidak menikmati tawaran perumahan yang selesa mampu milik / sewa kerana menjadi alat perniagaan yang menguntungkan kaum pemodal. Dibawah Kerajaan BN, pengaruh pemaju dan pemodal hartanah adalah amat kuat dimana pihak Persekutuan dan juga Kerajaan Negeri mengariskan polisi mengikut kehendak mereka.

    Malangnya, selepas lebih 100 hari memegang kuasa, kita juga lihat, bagaimana kepimpinan Pakatan Harapan gagal memansuhkan polisi dan perundangan pro pemaju/pelabur ini dan masih bergerak seolah-olah ingin mengekalkan penguasaan mereka. Walaupun, Kerajaan PH masih baru di Putrajaya, tetapi cara mereka menangangi beberapa masalah perumahan menimbulkan persoalan kepada rakyat.  Diantaranya ialah ;

    • Isu kenaikan harga rumah, adakah mereka mengikut rentak pemaju yang menganggap rumah sebagai komoditi untuk dijual ataupun melihat perumahan itu sebagai suatu hak rakyat.
    • Kuota binaan rumah kos rendah RM42,000 bagaimana pula? Kini seolah2 pemaju tidak perlu bina lagi rumah jenis ini disesebuah plot pembangunan bercampur.
    • Apakah polisi Kerajaan Negeri terhadap peneroka bandar? Adakah mereka dilayan sebagai penceroboh dan setinggan ataupun mengiktrifkan usaha mereka membangunkan tanah dan kampung mereka?
    • Bagaimana Kerajaan akan membantu penyelengaraan rumah flat kos rendah? Apa sudah jadi dengan 200juta yang diperuntukkan dalam bajet 2018 dibawah Tabung Penyelengaraan 1Malaysia

    Parti Sosialis Malaysia PSM tahun ini akan melancarkan kempen perumahan bertemakan ‘Perumahan untuk Semua’ memandangkan banyak masalah perumahan dan krisis perumahan untuk rakyat biasa masih berlaku pada masa kini, antara lainnya.

    1. Harga rumah di bandar-bandar dan bandar raya kita telah meningkat kesan daripada spekulasi tanah dan hartanah

    Peningkatan harga rumah sejak sedekad yang lalu memang sesuatu yang tidak masuk akal. Rakyat biasa dengan gaji minimum tidak mampu untuk membeli rumah biasa yang baru bina. Harga biasa untuk rumah teres sudah melangkaui RM 250,000 di bandar-bandar kecil dan melebihi RM 500,000 di bandar-bandar besar di Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang. Seorang pekerja biasa dengan gaji minima RM 1000 tidak mampu melepasi had kelayakan bank untuk pinjaman perumahan ini. Dan Kerajaan baru membuat jenaka bodoh dengan menaikan gaji minima sebanyak RM50 baru-baru ini. Adalah jelas, kegagalan kaum pemerintah untuk mengiktiraf perumahan sebagai hak asasi dan mengambil alih fungsi penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran (baca=untuk keuntungan) adalah punca utama rakyat berpendapatan biasa tidak mampu memiliki rumah.

     

    • Rumah marhain dilelong

     

    Saban hari, kita melihat bagaimana rumah marhain dilelong kerana ketidakmampuan mereka membayar balik pinjaman perumahan. Pihak bank tiada tanggungjawab social untuk melihat kesan sosio-ekonomi masa kini terhadap rakyat biasa yang dihimpit dengan kenaikan harga barangan, gaji yang tidak mencukupi, pemberhentian kerja dan beban-beban lain. Pihak bank melihat satu-satunya solusi untuk pinjaman tidak berbayar ialah milelong rumah tersebut. Kerajaan melalui Bank Negara tidak keras dalam menetapkan regulasi secukupnya untuk menekan pihak bank menyelesaikan krisis peminjam termasuk menawarkan skim penstrukturan semula dan skim pembayaran statik minima untuk tempoh tertentu.

     

    • Pengusiran paksa peneroka bandar dan pekerja ladang masih berlaku sehingga ke hari ini.

     

    Baru-baru ini, Kg Padang Jawa diambang pengusiran paksa dan ini berlaku walaupun tapuk pemerintahan sudah bertukar. Akta Kanun Tanah Negara kita adalah berdasarkan sisten Torrens yang tidak mengenal hak ekuiti. Maksudnya, barang siapa pemilik geran hak milik, maka si dia adalah pemilik mutlak tanah dan bukannya penghuni kawasan tersebut walaupun sudah menduduki tanah tersebut sejak bergenerasi. Maka, pihak pemodal yang kaya dengan senang dapat membeli tanah peneroka dan menjadi pemilik bergeran. Mereka selalu mendapat perintah mahkamah untuk pengosongan tanah dan rakyat kebanyakan yang menduduki kawasan teroka terpaksa diusir keluar. Kerajaan negeri tidak mengendahkan seruan supaya mewujudkan satu enakmen yang mewajibkan peneroka bandar yang diusir keluar secara automatik ditawarkan perumahan atau lot tanah alternatif.

     

    • Masalah flats kos rendah.

     

    Jawatankuasa flats iaitu Joint Management Body (JMB) terpaksa menghadapi pelbagai kerumitan terutamanya dalam mengutip wang penyelenggaran daripada penghuni flats. Ini menyebabkan keadaaan flats yang tidak terjaga dan uzur. Selain itu, wang yang dikutip ini tidak mencukupi untuk menampung kos sekiranya berlaku kerosakan besar seperti bumbung bocor dan penyelenggaran bangunan. Kemudahan asas di flats kos rendah juga merupakan satu lagi masalah. Kebanyakan flats tidak mempunyai tempat membuang sampah yang baik, tiada dewan serbaguna untuk menjalankan aktiviti, taman permainan yang uzur, tempat letak kereta yang tidak mencukupi dan pejabat untuk JMB beroperasi. Selain itu, penghuni flats kos rendah juga mengalami kesusahan dalam mendapatkan hak milik strata kerana isu perundangan yang rumit

     

    • Pekerja Estet

     

    Pekerja ladang ditawarkan perumahan sementara di kawasan perladangan dan akan diusir keluar selepas mereka bersara. Ini dikenalpasti sebagai salah satu punca kewujudan penempatan peneroka bandar dan kerajaan masih membisu untuk melaksanakan Skim Perumahan Masyarakat Ladang yang dibawa oleh Tun Razak pada awal 70an. Syarikat gergasi perladangan seperti Sime Darby ialah syarikat GLC (syarikat berkaitan kerajaan) ialah dikawal oleh kerajaan dan sepatutnya tiada masalah untuk melaksanakan polisi perumahan untuk pekerja ladang.

     

    • Penindasan terhadap Pekerja migran, pelarian dan pemohon suaka

     

    Perumahan untuk pekerja migran dan pelarian adalah tanggungjawab kita dalam ertikata kemanusiaan. Malangnya seringkali perkhidmatan perumahan untuk mereka tidak pernah dititikberatkan dan diabaikan oleh majikan mahupun kerajaan. Pekerja migran dihimpit beramai-ramai di rumah kedai dan kini pula ada usaha untuk menghalau mereka dari rumah sewaan PPR.

    Selaras dengan prinsip-prinsip Deklarasi Hak Asasi Manusia Manusia Sejagat serta Perlembagaan Persekutuan, kami, menuntut kerajaan memberi tumpuan kepada perkara-perkara berikut yang menjejaskan kesejahteraan rakyat dan ketidaksamarataan semakin membesar:

    1. Perumahan Mampu Milik / Sewa untuk semua 
    • Mengubal satu polisi perumahan negara yang memastikan  perumahan yang sesuai dan di konsultasikan dengan semua lapisan masyarakat. 
    • Mengambilalih tanggungjawab menyediakan rumah pertama untuk rakyat dibawah naungan kerajaan dan seterusnya mengawal spekulasi harga rumah. Kerajaan seharusnya mengeluarkan perkhidmatan perumahan rakyat daripada pasaran dan menekankan bahawa ia bukannya satu perniagaan untuk keuntungan.
    • Perumahan untuk golongan miskin mesti ada jaminan pinjaman bank yang munasabah dengan faedah yang amat rendah oleh pihak berkuasa supaya rakyat mampu beli rumah kos rendah yang di tawarkan kepada mereka.
    • Insurans rumah MRTA adalah diwajibkan untuk semua rumah yang dijual.
    • Sediakan skim perumahan mampu sewa untuk membolehkan masyarakat yang paling terpinggir juga mampu hidup berbumbung dengan kadar sewa yang paling minimum.

    2. Iktiraf Peneroka Bandar dan Hentikan Pengusiran Paksa

     

    • Kerajaan harus mengiktiraf peneroka bandar dan perkampungan yang diduduki oleh mereka dan sekiranya tanah tersebut adalah hak milik kerajaan, maka hak milik tanah tersebut sepatutnya ditawarkan kepada penduduk dan bukannya dijual kepada pemaju untuk keuntungan.
    • Wujudkan satu Enakmen / Akta di mana Kerajaan Negeri / Pusat harus menyediakan skim perumahan atau lot tanah alternatif secara automatik sekiranya peneroka terpaksa diusir keluar kerana pembangunan kerajaan.
    • Untuk pembangunan swasta pula, kos perumahan peneroka harus dikongsi bersama oleh pemaju sebagai ganti rugi dan projek pembangunan swasta tersebut harus ditunda sehingga pemaju menunaikan kos tersebut.
    • Skim Perumahan Sendiri Tun Abdul Razak untuk pekerja Ladang harus digubal sebagai undang-undang. 

    3. Hentikan kekejaman pihak Bank terhadap golongan miskin

    • Wujudkan satu Skim Insurans Pinjaman iaitu pembeli perlu dikehendaki membayar sejumlah wang (katakan 10% daripada jumlah pembayaran balik pinjaman) kepada kumpulan wang simpanan yang boleh digunakan untuk membantu memenuhi bayaran balik pinjaman bulanan jika keluarga terbabit mengalami kerugian dalam pendapatan. Skim insurans pinjaman akan membantu mengurangkan kadar kelalaian melunaskan hutang yang disebabkan oleh kemelesetan ekonomi
    • Skim Tabung Pemberhentian Kerja yang diperjuangkan oleh PSM/Jerit harus dilaksanakan sepenuhnya kerana ia turut membantu kaum pekerja yang kehilangan kerja untuk meneruskan bayaran pinjaman perumahan mereka.
    • Maka, dalam keadaan krisis ekonomi , pembeli harus ditawarkan penstrukturan pembayaran balik pinjaman yang lebih fleksible (baca= kurang daripada yang dibayar sebelum ini) untuk satu tempoh tertentu (setahun contohnya). Tempoh ini mampu membantu pembeli bertahan dengan dana daripada skim insurans pinjaman atau tabung pemberhentian kerja.

    4. Majlis Perbandaran Tempatan mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah.

    • Penghuni Flat Kos Rendah hanya membayar dua jenis cukai iaitu cukai Tanah (setahun sekali) dan cukai Pintu ( 6 bulan sekali) sepertimana rumah teres kos rendah.
    • Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihan corridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dalam kawasan flat dan jalanraya dalam kawasan flat.

    5. Cukai hartanah yang progresif dan strategik

    • Kami mencadangkan cukai progresif dan strategik ke atas hartanah, terutamanya pemilik rumah mahal, rumah  kedua, ketiga dan keempat serta cukai nilai tanah primer dan cukai keuntungan modal ke atas penjual hartanah primer.
    • Wang yang dikumpul hasil daripada cukai ini boleh disalurkan untuk membina perumahan mampu milik. Kami juga mencadangkan cukai ke atas hartanah tak berpenghuni dan hartanah yang sebahagiannya tak dihuni (under-occupancy tax). ‘Under-occupancy tax’ akan mengurangkan spekulasi harga rumah, dan mengurangkan kelonjakan permintaan dalam pasaran perumahan.

    6. Kita harus iktiraf titisan peluh pekerja migran dan membantu masyarakat pelarian

    • Kita harus sedar pekerja migran turut membantu membangunkan negara ini sementara masyarakat pelarian pula ditindas di negara asal dan memerlukan sokongan kita.
    • Sediakan skim perumahan mampu sewa untuk pekerja migran dan pelarian

    Kita sedar tuntutan-tuntutan ini adalah sangat penting dan rakyat jelata berhak untuk ditawarkan perumahan yang tidak berpaksikan keuntungan kaum pemodal.  Pihak kapitalis dan kerajaan boneka pemodal selalunya menentang idea-idea perumahan untuk rakyat biasa yang tidak menguntungkan mereka. Namun, kerajaan baru harus sedar perumahan selesa mampu milik / sewa adalah hak asasi rakyat dan harus menjadi tanggungjawab kerajaan. Kemudahan perumahan rakyat biasa tidak harus dijadikan komoditi untuk keuntungan golongan pemodal. Keluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran.

    Rumah Adalah Hak Rakyat, Bukannya Komoditi untuk Diniagakan

     

    Disediakan oleh ;
    Karthiges
    Biro Perumahan dan Peneroka PSM