Pemuda Parti Sosialis Malaysia merupakan sayap pemuda Parti Sosialis yang menumpukan perhatian kepada isu-isu dan hal ehwal lain yang berkaitan dengan anak muda. Pemuda PSM kini menumpukan perhatian kepada penentangan penswastaan pendidikan yang semakin berleluasa pengaruhnya dan juga menggerak ke arah pendidikan percuma di Malaysia. Pemuda PSM juga bersolidariti dengan pelbagai isu-isu dan perjuangan anak muda yang menentang penindasan sistemik.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh Pemuda PSM termasuklah menganjurkaan perbincangan bersama kumpulan aktivisme yang lain mengenai pendidikan percuma serta menjalankan beberapa kelas ideologi dan juga acara Sekolah Marxisme. Ahli-ahli Pemuda PSM juga telah menyertai program kebangsaan, protes, forum, berbahas bersama PSM dan juga kumpulan-kumpulan yang lain.

Ini termasuklah penglibatan ahli-ahli Pemuda yang telah berkempen pada Pilihan Raya ke-14, penyerahan memorandum #Justice4Kogi dan juga pengedaran risalah anti-rasis bagi mempromosikan projek anti-rasis PSM. Ahli-ahli Pemuda juga telah mengambil bahagian dalam kes berkenaan masalah pekerjaan dan juga telah mengambil bahagian dalam demonstrasi bersama rakyat di Tanah Tinggi Cameron.

 

Selain itu, antara penglibatan Pemuda PSM bersama kumpulan-kumpulan lain termasuklah Debat Pendidikan Percuma, forum “Death In Custody” dan protes Mansuh AUKU.