Perbahasan Terhadap Titah Diraja, tiga isu - Rakyat, Lincoln Universiti College dan Lynas

Perbahasan Terhadap Titah Diraja, tiga isu - Rakyat, Lincoln Universiti College dan Lynas

19 March 2012

Terima kasih Dato Speaker mengizinkan saya mengambil bahagian membahaskan Titah Di Raja oleh Seri Paduka Baginda yang Di Pertuan Agung.

Saya ingin menfokuskan 3 isu.

Yang pertama adalah slogan Barisan Nasional yang berbunyi "Rakyat didahulukan". Baru minggu lalu, pada hari Rabu sekumpulan orang seramai 25 orang datang daripada Cameron Highlands untuk menyerahkan surat rayuan kepada Perdana Menteri. Mereka mewakili 3 kumpulan.

Sektor pertama adalah peneroka bandar yang menduduki tanah kerajaan selama 30 tahun ke atas tetapi menghadapi masalah pengusiran. Contoh spesifik kumpulan ini adalah En Elumalai a/l Saminathan. Bapa beliau telah membina rumah di tanah kerajaan dekat Ringlet pada tahun 1970. Bapanya telah memohon untuk geran dan selepas 1990, En Elumalai juga telah memohon geran tanah. Tetapi gagal. Tetapi pada tahun 2005, tanah itu diberi kepada seorang peniaga besar yang mempunyai beberapa rumah dan kedai. Peniaga ini sekarang sedang memajukan tanah itu dan sedang cuba mengusir En Elumalai daripada rumahnya.

Sektor kedua adalah pekebun kecil yang mengusahakan tanah kerajaan. Satu contoh kumpulan ini adalah Pn Mariayee a/p Govindasamy yang telah mengusahakan tanah sebesar 2 ekar sejak tahun 1970. Walaupun beliau telah memohon TOL terhadap tanah ini beliau masih belum mendapatkannya.

Sektor ketiga yang diwakili dalam rombongan itu adalah peniaga gerai kecil. Contohnya adalah gerai daripada Kea Farm yang telah menjalankan gerai-gerai di situ selama 17 tahun. Usaha mereka telah menjadikan kawasan Kea Farm satu tempat yang terkenal untuk jual-beli sayur dan bunga. Malangnya, tanah mereka telah diberi pada satu syarikat besar bernama Signature Holding dan peniaga kecil dikehendaki berpindah.

Ketiga-tiga kumpulan ini telah mengadu kepada Menteri Besar kerana Pegawai Tempatan tidak ambil berat terhadap rayuan mereka. Sejak Mac 2010, 12 surat telah dikirim ke Menteri Besar Pahang. Mereka juga telah pergi ke Kuantan untuk merayu pada Menteri Besar. Tetapi masalah mereka masih berterusan. Sampai sekarang belum diselesaikan.

Apakah gunanya slogan yang berbunyi "Rakyat didahulukan"? Adalah pengalaman rakyat akar umbi bahawa kaum korporat yang didahulukan. Elit kaya yang diutamakan. Bukan rakyat biasa.

Saya mahu tanya Menteri Pertanian. Adakah Kerajaan sedar bahawa lebih daripada setengah daripada pekebun kecil Cina di negara kita sedang mengusahakan tanah kerajaan. Walaupun mereka telah mengerjakan tanah itu selama 40 tahun ke atas dan ada ramai yang telah memohon berulang kali untuk geran tanah, mereka masih tidak mempunyai geran terhadap tanah yang mereka usahakan. Dalam istillah Pejabat Tanah mereka adalah "setingga". Apakah pelan induk Kementerian Pertanian untuk menangani masalah ketiadaan geran di kalangan pekebun kecil? 

Saya juga ingin bertanya Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan apakah dasar kerajaan terhadap peneroka-peneroka bandar yang masih berada di bandar-bandar kita. Pendekatan yang telah dipakai di Lembah Kelang jelas telah gagal dan mewujudkan "urban slum" di rumah-rumah pangsa kos murah di merata tempat.

Saya juga bertanya kedua Menteri, adakah menteri ingin memberi nasihat dan garis panduan ke Pegawai Kerajaan Tempatan di Cameron Highlands untuk membantunya menyelesaikan isu-isu peneroka bandar dan pekebun kecil di kawasan Camerons.

Saya juga ingin meminta Perdana Menteri menjelaskan pada kita, apakah pendekatan beliau apabila sekumpulan rakyat akar umbi datang ke Parlimen untuk menyerahkan Memorandam padanya kerana isu-isu mereka tidak dilayani dengan betul oleh pegawai tempatan dan kepimpinan Negeri. Adakah PM sedia campur tangan jika pendekatan "Rakyat didahulukan" tidak diamalkan oleh kerajaan negeri? 

Saya harap kita akan dapat jawapan untuk semua soalan ini.

Sekarang Tuan Speaker saya ingin mengalih ke isu yang kedua ia-itu Lincoln Universiti College (LUC).

Saya telah menerima matlumat bahawa LUC ini telah diberi izin oleh Kerajaan untuk melaksanakan satu kursus "off campus" di bidang kedoktoran di 3 buah Universiti di Ukraine ia-itu Ternopil State University, Denylo Halytsky Luiv National Medical University dan Ivano Frankivsk National Medical University. Ini bukan program "twinning" Tuan Yg Pertua. Dalam twinning, pelajar perubatan belajar di kampus di Malaysia selama 2 atau 3 tahun dan selepas itu pergi ke Universiti luar negara untuk menghabiskan pelajaran mereka. Dalam kursus "off-campus" LUC ini, segala 6 tahun yang dikehendaki untuk belajar menjadi doktor adalah di Universiti di Ukraine.
 

Saya difahamkan bahawa LUC teklah diberi kebenaran untuk menghantar 300 pelajar perubatan setiap tahun mulai tahun ini. Yang pelik adalah tiga buah universiti di Ukraine masih belum diiktirafkan oleh Majlis Kedoktoran Malaysia (Malaysian Medical Council). Ada 300 graduate rakyat Malaysia daripada 3 University Ukraine ini yang menunggu mengambil peperiksaan MQE ataupun "Medical Qualification Examination". Tetapi pelajar kedoktoran yang pergi ke 3 university Ukraine melalui LUC, tidak dikenakan mengambil peperiksaan MQE kerana mereka akan dapat Ijazah daripada LUC yang diiktiraf oleh MMC. 
 
Adakah fakta ini semua benar. Saya harap Menteri Kesihatan dan Menteri Pengajian Tinggi akan beri jawapan lengkap pada isu ini.  
 
Tuan Yang Di Pertua, yang lebih pelik lagi, yuran belajar 6 tahun di kolej di Ukraine, adalah RM 130,000 seorang jika pelajar itu masuk University Ukraine secara direct. Tetapi ijazzahnya tidak di iktirafkan dan pelajar itu harus mengambil MQE sebelum didaftarkan sebagai pengamal perubatan di Malaysia. Tetapi jika pelajar itu masuk ke University Ukraine melalui LUC, beliau dikenakan bayaran sebanyak RM 200,000 untuk kursus yang sama dan akan keluar dengan ijazzah yang diiktirafkan oleh MMC.
 
Untung bersih RM 70,000 daripada seorang pelajar. Jika didarab 300 pelajar, RM 21 juta setahun.
 
Ini membawa kita ke satu isu umum. Adakah sistem regulasi untuk kolej dan universiti swasta berfungsi dengan efisyen? Kita sekarang ada 2 atau 3 orang pegawai kanan di Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi dengan gaji bulanan sebanyak RM 15,000 yang dibertanggungjawabkan meregulasikan gergasi-gergasi korporat yang boleh menambahkan untung bersih sebanyak RM 21 juta setahun daripada kelulusan hanya satu projek. Ini seolah melantik seorang pelajar Darjah Satu sebagai monitor untuk satu kelas Tingkatan Enam. Bolehkah dia mengawal situasi?
 
Apakah mekanisme "check and balance" yang wujud sekarang untuk memastikan badan-badan yang mengendalikan kolej-kolej swasta dapat melaksanakan peranan mereka secara betul?
 
Saya juga difahamkan bahawa seorang pegawai eksekutif tinggi di LUC adalah bekas Ketua Jururawat Malaysia yang baru bersara daripada Kementerian Kesihatan Malaysia. Dan ini bukan kes yang terpencil. Ada ramai pegawai kerajaan tinggi yang menjadi pegawai eksekutif dalam kolej-kolej swasta dan datang balik ke kementerian lama mereka untuk memohon lesen, keizinan dan lain. Bekas Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican juga sekarang adalah Pro Kansellor dan Chairman MAHSA University. Apakah kesan trend ini terhadap peranan dan fungi badan-badan yang meregulasikan kolej-kolej swasta? Adakah ia-nya menyebabkan "undue influence"? 
 
Saya harap dua Menteri yang berkenaan akan respon pada poin-poin ini.
 
Saya ingin ke isu ke tiga sekarang - Lynas.
 
Tahun lalu kerajaan kita telah menjemput IAEA ataupun International Atomic Energy Agency datang ke Malaysia untuk meneliti samada operasi Lynas selamat atau tidak. Nampaknya kerajaan kita beranggap IAEA ini adalah satu badan yang bebas dan sikap berkecuali. 
 
Tetapi ini satu tanggapan yang salah. IAEA ditubuhkan untuk mempopularkan pemakaian kuasa nuklear untuk menjana elektrik. Memang reaktor nuklear jauh lebih merbahaya berbanding sebuah kilang seperti Lynas. Satu pihak yang sedang menggalakkan pembinaan reaktor nuklear memang akan meluluskan kilang seperti Lynas. 
 
Adakah Kementerian Kesihatan dan Kementerian Tenaga sedar bahawa jangkaan-jangkaan yang dipakai oleh IAEA untuk menentukan risiko sinaran radiasi sedang dipertikaikan? Di Negara Jerman, kadar kanser leukaemia di kalangan kanak-kanak yang bermastautin dalam radius 5 km di keliling reaktor nuklear adalah dua kali lebih daripada kadar am untuk kanak-kanak Jerman. Dan kadar leukaemia untuk kanak di kawasan berdekatan Reaktor Sellafield di England adalah 3 kali lebih tinggi daripada jangkaan IAEA.
 
Insiden kanser yang berlebihan telah mengkhuatiri kerajaan UK dan mereka telah tubuhkan satu Jawatankuasa Khas untuk mengaji perkara ini. Laporan daripada j/kuasa ini yang dinamakan Laporan Cherrie, membangkitkan isu "internal emitter". Wujudnya 3 jenis sinaran radioaktif - alpha, beta dan gamma. Bagi satu punca radiasi di luar badan, hanya sinaran gamma yang boleh menembusi badan manusia dan menyebabkan kerosakan pada DNA sel-sel kita. Tetapi katakan debu halus daripada bahan radioaktif disudut masuk ke paru-paru ataupun dimakan, dan katakan atom Thorium itu pecah bila di dalam badan kita dengan mengeluarkan sinaran alpha sudah tentu kerosakan pada DNA akan berlaku kerana sinaran itu amat dekat dengan tisu kita.
 
Adakah Menteri Kesihatan dan Menteri Tenaga sedar agar hipothesis ini?
 
Inlah sebabnya, saya khuatir membaca surat khabar STAR 10/2/2012. Saya baca keratan "Lynas says that residue from its rare earth plant will be safe and can be used to build roads. Its managing director Datuk Mashal Ahmad said the firm had succeeded in lowering the radiation level to below 1 Becquerel per gram. Therefore it can be used for commercial application, and so there is no need to have a permanent disposal facility."  
 
Tuan Speaker, ikut standard IAEA, bahan-bahan yang mempunyai radioaktiviti lebih daripada 1 Becquerel per gram disifatkan sebagai radioaktif. Sisa buangan pepejal daripada Lynas mempunyai radioaktiviti 6.4 Becquerel per gram. Jadi ia-nya diiktirafkan sebagai radioaktif. Tetapi, jika 1 kg sisa ini di campur dengan 9 kg simen, radioaktiviti yang ada itu akan jadi 0.64 Becquerel segram saja ia-itu di bawah paras untuk tafsiran "radioaktif".
 
Saya mahu tanya Menteri berkenaan, adakah Menteri tahu kerajaan Australia pernah meluluskan kilang seperti Lynas tetapi dengan syarat sisa buangan pepejal dihanta untuk ditanam balik di lombong asalnya. Mengapa standard yang begitu berbedza di antara Australia dan Malaysia. Kerajaan Australia menetapkan satu standard yang tinggi untuk menjaga kesihatan rakyat. Tetapi di Malaysia kita rela menurunkan standard. Kerana Malaysia boleh. Sinaran radiasi tidak akan membawa kesan buruk pada orang kita. Kita bukan "sissy" seperti rakyat Australia. Ta perlu kawalan yang begitu rapi.
 
Akhirnya saya mahu tanya Perdana Menteri, apakah sebab kita tidak boleh membatalkan projek Lynas ini. Jika mereka telah memperolehi kelulusan kerajaan negeri Pahang dengan menipu bahawa sisa buangan bukan radioaktif, kita boleh batalkan projek. Ta perlu membayar pampasan pada mereka kerana ada unsur menipu. Mebgapa jalan ini tidak diambil?  Saya harap Perdana Menteri boleh memberi jawapan pada soalan ini.