Cameron Highlands: khazanah negara yang perlu dilindungi

Press Clipping

Tinjauan wakil NGO, Green Clean World (GCW) baru-baru ini bersama-sama wakil daripada Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang serta wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Cameron Highlands tidak menolak kemungkinan berlakunya bencana alam sekitar, jika tiada tindakan drastik diambil oleh pihak berkuasa termasuklah daripada Kerajaan Persekutuan dan Negeri terhadap pembangunan lereng bukit yang dilihat tidak terkawal. 

“Pemantauan yang dilakukan oleh kami dari Ringlet ke Blue Valley jelas menunjukkan kerja-kerja pembangunan dilereng bukit sedang rancak dijalankan oleh pihak tertentu di sana”, ujar Zulkefly Mohamad Omar selaku AJK PAS Pusat/Pengerusi Lajnah Alam Sekitar merangkap Pengerusi GCW.

Beliau menekankan betapa pentingnya seluruh pihak yang berkepentingan di Cameron Highlands bangkit untuk sama-sama membantu di dalam usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar di sana untuk mengelak berlakunya lagi tragedi yang tidak diingini khususnya kerosakan harta benda awam dan nyawa manusia.

“Pada tahun 1961, 16 orang terkorban dalam Tragedi Ringlet dan pada tahun 2011 pula, 7 orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang. Sepatutnya kejadian ini menjadi pengajaran berharga buat kita, terutamanya Kerajaan Umno-BN sama ada peringkat Negeri dan Persekutuan. Mereka sepatutnya mengambil inisiatif segera untuk mengawal dan mencegah pembangunan lereng bukit yang dilihat tidak terkawal itu. Namun, tinjauan kami beberapa hari yang lalu membuktikan sebaliknya, seolah-olah kerakusan mengejar keuntungan ekonomi dijadikan keutamaan mereka berbanding pemuliharaan alam sekitar,” ujar Zulkefly.

Zulkefly juga kecewa dengan kondisi sungai di sana khususnya di Tringkap yang dipenuhi sampah sarap walaupun papan tanda “Cintailah Sungai Kita” terpampang jelas di sebelah sungai itu.



 

“Jelas wujud kelemahan dari aspek pemantauan dan penguatkuasaan pihak tertentu khususnya Kerajaan Negeri Pahang. Pencemaran sungai khususnya di negeri Pahang seharusnya dapat dielakkan,” ujar Sdr.Zulkefly dengan nada kecewa.

Menurut Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, Andansura Rabu (gambar), pencemaran sungai bukan sahaja berlaku di Cameron Highlands, tetapi juga di Sungai Bentong yang disyaki berpunca daripada salah sebuah kilang di Kawasan Industri Bentong. Malah, insiden yang sama telah dilaporkan di Sungai Semantan Temerloh yang telah menyebabkan kematian hampir 1 tan metrik ikan patin, kelah, baung, lampam, tengalan dan talapia. Pencemaran sungai ini juga berlaku di Sungai Tanum di Kuala Lipis sehingga menjejaskan sumber air bersih penduduk di Kampung Chegar Perah.

“Jelas, Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh Dato’ Sri Adnan Yaakob sentiasa memandang remeh aspek pemuliharaan alam sekitar termasuklah keselamatan dan kesihatan rakyat Pahang kerana rakus dengan projek ekonomi semata-mata. Berlaku banyak ketirisan dari aspek kelulusan projek di Pahang. Lihatlah sahaja kepada insiden banjir lumpur yang berlaku di Maran tahun lalu akibat pecahnya takungan air lombong bijih besi di kawasan tadahan yang diluluskan,” ujar Andansura.



 

Menurut Pengerusi NGO People’s Green Coalition (PGC), Dr T Jayabalan, yang juga seorang Pakar Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, terdapat 1,200 sungai, aliran, dan mata air di Cameron Highlands. Kajian awal ke atas sungai dan kawasan tadahan air yang dibuat jelas menunjukkan peningkatan tahap pencemaran e-coli dan salmonella Hal ini membuktikan berlakunya pembangunan ekonomi yang tidak seimbang serta pengabaian pihak tertentu terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan penduduk serta pemuliharaan alam sekitar. Isu pelepasan sisa buangan manusia terus ke sungai serta penggunaan racun dan baja kimia merupakan punca utama kepada pencemaran itu.

Di sebalik pembangunan lereng bukit yang tidak terkawal dan pencemaran sungai, penduduk Cameron Highlands dikejutkan pula dengan pembangunan Loji Rawatan Termal Sisa Pepejal (Insinerator) di Blue Valley pada tahun 2009. Projek ini mendapat bantahan meluas penduduk melalui Jawatankuasa Anti-Insinerator Cameron dan Majlis Perwakilan Rakyat Cameron(MPRCH). Bantahan ini kerana kesan secara lansung pusat Insinerator itu terhadap kesihatan penduduk setempat serta pekerja pusat itu khususnya pendedahan kepada pembebasan metals, dioxin dan bahan pencemar lain ke udara, tanah dan tumbuh-tumbuhan serta organisma, serta sungai yang mengalir di bawah tapak incinerator itu.

Suresh Kumar, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands, menegaskan bahawa pendedahan gas yang mutagenik itu mampu merosakkan DNA manusia dan seterusnya menyebabkan kanser. 

“Projek insinerator ini sudah siap sepenuhnya tetapi masih belum operasi. Hal ini jelas merupakan satu projek yang tidak selamat dan membazir apabila wujud alternatif yang lebih selamat dan murah.”

“Malah kelulusan Kajian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) yang diluluskan jelas bercanggah dengan fakta sebenar dan tidak memenuhi syarat-syarat kelulusan yang telah ditetapkan Jabatan Alam Sekitar. Pihak kami juga kecewa dengan sikap angkuh menteri yang bertanggungjawab kerana tidak memberikan maklum balas yang sewajarnya kepada wakil penduduk walaupun satu surat rasmi bantahan telah pun di sampaikan kepada wakil kementerian semenjak tahun 2010 lagi,” ujar Suresh dengan nada kecewa.

Kenyataan Suresh Kumar ini disokong oleh Zulkefly yang pernah memimpin bantahan penduduk Broga bersama-sama S Arutchelvan (PSM) dan Ronnie Liu (DAP) terhadap pusat insinerator di sana sehinggalah berjaya dibatalkan pada tahun 2006.

Lawatan wakil GCW baru-baru ini bersama-sama wakil dari Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, serta wakil PSM Cameron Highlands, berakhir di lokasi Projek Hidroelektrik Ulu Jelai di antara Pos Betau dan Ringlet. Projek ini melibatkan kawasan seluas 388 hektar serta 2.5 peratus kawasan tadahan hujan meliputi pembinaan dua Terowong Pengalihan Air, Empangan Susu, Stesen Janakuasa Bawah Tanah, Terowong Tenaga, Lapangan Suis, Bangunan Kawalan dan Jalan Masuk. 

Satu pemandangan yang menyedihkan apabila hutan dan sebahagian bukit terpaksa dikorbankan untuk memberi laluan kepada projek yang bernilai RM 2.15 Billion itu.

Zulkefly menegaskan bahawa masa hadapan alam sekitar di Cameron Highlands kini diambang kehancuran jika keadaan seperti ini berterusan. Umum mengetahui betapa pentingnya penggantungan sektor pelancongan dan pertanian tehadap kestabilan elemen Alam Sekitar ini kepada penduduk setempat dan pengaruhnya kepada ekologi di sekelilingnya. 

Malah kesan buruk daripadanya mampu memberi kesan secara langsung kepada Negara kerana Cameron Highlands adalah ‘public interest’ atau kepentingan umum di peringkat nasional. Rakyat Malaysia adalah ‘stakeholder’ kepada Cameron Highlands dan tanggungjawab itu terletak di bahu semua pihak khususnya pembuat dasar khususnya Kerajaan Umno-BN yang gagal melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka untuk memelihara Khazanah Negara yang unik ini.

(Artikel ini adalah susulan pendedahan PAS pada 28hb Jun yang lalu bagaimana beberapa keluarga di Cameron Highlands terpaksa tidur di khemah selama 32 hari. Artikel tersebut boleh dicapai di http://bm.harakahdaily.net/ index.php/ berita-utama/11315-32-hari-tidur-di-khemah-bimbang-dihempap-batu)

(Liputan susulan berkenaan isu incinerator dan isu pencemaran sungai di Cameron Highlands akan dipaparkan selepas ini)

Penulis adalah setiausaha Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang dan AJK Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat