Dr Nasir bimbang undi pecah

Press Clipping

PETALING JAYA: Calon PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara Dr Mohd Nasir Hashim bimbang sikap segelintir akar umbi PAS yang masih berdegil menyokong Ridzuan Ismail sebagai calon akan membawa kepada perpecahan undi.

Sekaligus ini memberi laluan kepada calon Barisan Nasional (BN) Halimaton Saadiah Bohan menang kerusi tersebut semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 Ahad ini.

“Kita berpecah dari segi undi. Mungkin kali ini di Kota Damansara kita menang tipis. Kalau saya kalah saya tak boleh dipersalahkan,” katanya kepada FMT.

Hampa dengan sikap penyokong PAS yang cuba mengganggu ceramah Pakatan Rakyat semalam di Seksyen 7 Kota Damansara, beliau mendakwa tindakan provokasi malam semalam didalangi kelompok kecil yang mempunyai kepentingan individu.

“Puak ni masih berdegil. Mereka masih tetap berkempen, dari mana duit tu datang? Kerana kuasa anda korbankan prinsip, agama, dan persahabatan,” katanya.

Ceramah Dr Nasir dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali diganggu kira-kira 20 pemuda, dipercayai ahli PAS yang masih menyokong Ridzuan sebagai calon kerusi N39.

Kejadian berlaku ketika Mustafa sedang berucap menjelaskan isu sebenar mengenai pertindihan kerusi antara dua parti terlibat.

Suasana dilaporkan semakin tegang apabila Mustafa dilihat enggan menjawab desakan ahli PAS terbabit dan terus menghentikan ucapannya serta meninggalkan kawasan ceramah.

Dr Nasir bagaimanapun berkata beliau menghargai kerjasama pimpinan PAS Pusat termasuk Mustafa yang sudi hadir menjelaskan perkara sebenar kepada jentera dan akar umbi.

Langgar arahan

Beliau berkata dirinya tidak menyalahkan keseluruhan parti PAS, sebaliknya terhadap segelintir kumpulan tertentu yang masih berdegil dan melanggar arahan pimpinan pusat.

Sedangkan Mustafa pada Sabtu lalu sudah mengumumkan PAS menarik diri dari bertanding untuk memberi laluan kepada calon PKR serta mengarahkan jenteranya menyokong Dr Nasir.

“Kami gembira Mustafa datang menjelaskan keadaan sebenar. Tentang hal provokasi itu saya tak boleh nak marahkan sesiapa kerana ini hal dalaman mereka dengan parti sendiri,” katanya.

Disebabkan polemik ini, Dr Nasir berhasrat untuk terus ‘bersara’ daripada dunia PRU dan mahu fokus kepada kerja Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Kemungkinan ini PRU terakhir saya. Bukan merajuk tapi ini had saya, sekarang umur dah 66 tahun. Kalau menang saya akan terus komited sebagai wakil rakyat, tapi kalau kalah tidak mengapa saya tetap gembira.

“Parti (PSM) tahu tentang hal ini tapi mereka masih minta saya bertanding untuk satu lagi penggal,” katanya.

Pengerusi PSM itu yakin pengundi akan membuat pilihan yang baik kerana beliau sudah membuktikan prestasinya yang terbaik semasa menjadi penyandang kerusi tersebut semasa tempoh penggal lalu.

Katanya, beliau tidak bimbang dengan isu pertindihan ini kerana masih ada jentera PAS yang menyokong beliau dan jentera PKR untuk memenangkan Pakatan Rakyat.

“Ahli PAS yang menyokong saya dan jentera itu sudah faham dan menerima dengan terbuka arahan parti,” katanya.