ISU KAMPUNG HAKKA : RESPON KEPADA MB NEGERI SEMBILAN DAN PEMAJU MEGA 9

9 November 2013

RESPON KEPADA KENYATAAN MB YAB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMMAD BIN HAJI HASAN DAN PEMAJU MEGA 9 DATO NG KEK KIONG MENGENAI ISU KAMPUNG  HAKKA

 

1.         Adakah tanah Kampung Hakka  ini telah dijual oleh Kerajaan Negeri kepada Pemaju Mega 9 Sdn Bhd ?

 
Mengikut jawapan yang diberi di Dewan Undangan Negeri  dalam soalan Lisan hari pertama 1 Oktober 2013 oleh pihak Kerajaan Negeri adalah Kerajaan Negeri tidak pernah menjual Kampung Hakka Mantin kepada pemaju dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai jumlah nilai jualan tanah Kampung Hakka kerana proses jualan tidak pernah berlaku.
 
Akan tetapi pada bulan Nov 2013, dalam akhbar Sinar bertarikh 3.11.2013 dimana Akhbar memetik kenyataan Menteri Besar dimana dinyatakan juga tanah ini telah dibeli oleh sebuah Syarikat untuk pembangunan komersil.   
 
Kedua-dua kenyataan ini sangat bertentangan dan agak keliru manakala pada 21.10.2013 apabila wakil penduduk kampong mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri  YB Dato’ Haji Mat Ali Bin Hassan pula menyatakaan Kg Hakka tidak dijual kepada mana-mana pihak.
 
Dalam pertemuan tersebut apabila SU Kerajaan Negeri ditanya samada ada sebarang syarat pembangunan dikenakan memandangkan kawasan itu ada masyarakat yang menduduki, SU Kerajaan Negeri mengatakan bahawa jika Kerajaan Sekarang , maka mereka tidak akan membenarkan dan menuduh kesalahan kepada Kerajaan terdahulu. Apabila ditanya penjelasan, beliau mengatakan dia bermaksud siapa yang menjaga pada masa itu iaitu pada pandangan kami adalah Menteri Besar terdahulu.
 
Carian yang dibuat di Pejabat Tanah pula mengatakan  tanah ini dipindah milik kepada Pemaju Mega 9 oleh Majlis Perbandaraan Nilai pada tahun 2005 dan Mega 9 telah mendaftarkan tanah ini pada 2005 serta mencagarkan tanah ini kepada CIMB pada tahun yang sama.
 
Kami berasa kenyataan yang diberi oleh MB seolah-olah memihak pihak Pemaju dan langsung tidak ambilkira kebajikan Penduduk Kg Hakka. Kerajaan Negeri juga tidak ikhlas dan cuba menggunakan hujah teknikal untuk memberi gambaran seolah-olah mereka tidak jual tanah ini kepada pihak pemaju.
 
Walauapapun, kami cukup sedar sudah tentu ada pihak yang mendapat keuntungan hasil pengambilan tanah kampong Hakka kepada pihak swasta,
 

2.         Mengikut kenyataan Mb, adakah 90% penduduk telah mengambil tawaran yang diberi oleh Pemaju Mega9 dan hanya 5 hingga 6 keluarga sahaja enggan menerimanya?

 
Sebenarnya Pemaju Mega 9 telah mengagihkan tanah ini kepada dua fasa iaitu fasa satu dan fasa 2. Penduduk yang berada dalam fasa satu adalah sebanyak  27 keluarga dan seramai 12 keluarga masih lagi tidak bersetuju atau menerima sebarang gantirugi yang diberi oleh pemaju.
 
Untuk fasa dua, terdapat  33 rumah yang berada bersama JK manakala ada juga penduduk lain masih ada.
 
Justeru itu kenyataan bahawa hanya 5 atau 6 adalah satu kenyataan yang tidak  bertanggungjawab.
 
Namun kami tidak menafikan bahawa ada penduduk yang keluar kerana telah menerima pampasan yang sedikit kerana mereka takut jika tidak mereka akan diambil proceeding mahkamah dan langsung tidak akan dibayar sebarang pampasan. Ugutan ini pernah dibuat oleh Pemaju.

Pihak pemaju juga telah menghubungi penduduk secara berasingan dan meminta mereka untuk keluar. Tidak ada satu proses penjelasan kepada orang ramai yang diambil oleh pihak Kerajaan Negeri mahupun Pemaju.
 
Sepatutnya Kerajaan Negeri tidak menjual tanah ini kepada pihak swasta sehingga isu perumahan penduduk selesai.
 

3.  Dalam kenyataan yang sama, MB menyatakaan bahawa penduduk diberi pilihan oleh Pemaju yang mana siapa mampu boleh beli rumah dengan potongan harga menarik manakala yang tidak mampu, boleh tinggal disitu seumur hidup

 
Setahu kami, tiada sebarang tawaran yang diberi oleh Pemaju Mega 9 seperti kenyataan MB. Sehingga kini tiada siapa pun dari Pihak pemaju tampil ke hadapaan untuk berbincang dengan penduduk Kampung  dan jadi dari manakah YAB Menteri Besar dapat informasi sebegini.  
 
Kalau benar kenyataan MB, Kami dapat terima tawaran ini kerana kesemua penduduk kampung di sini memang tidak mampu membeli rumah dan mereka juga meminta tanah mereka dikekalkan.
 
Kami juga tidak anggap potongan harga yang ditawarkan menarik kerana penduduk akan kehilangan tempat penginapan mereka. Penduduk juga telah membelanjakan banyak wang untuk membangunkan kawasan tersebut yang sebelum ini adalah kawasan perlombongan. Justeru itu, Pemaju sepatutnya membayar pampasan yang setimpal dengan kehilangan sebuah rumah dan pampasan tambahan. Membayar RM 12,000 bukan satu potongan harga yang menarik.
 
Jadi kami berharap Dato Seri Utama dapat merealisasikan kenyataan beliau secepat mungkin dengan mendapatkan rumah percuma kepada setiap keluarga Kg Hakka.
 

4.         Pengarah Pemaju Mega 9 Dato Ng Kek Kiong mengeluarkan Kenyataan bahawa semasa perobohan yang belaku pada 31.10.2013 terhadap 20 buat unit rumah dan Satu dewan, semuanya kosong dan hanya terdapat Ular, Tikus serta Penagih dadah sahaja.

 
Untuk pengetahuan pihak Media, pada hari perobohan, lebih 50 pegawai polis hadir pada hari perobohan rumah kami. Kami tidak rasa untuk usir keluar ular, tikus serta penagih dadah perlu lebih 50 anggota polis, tidak termasuk pekerja-pekerja Pemaju.
 
Jika benar kenyataan Dato Ng kami berasa aneh kerana tak ada seorang penagih dadah pun kena tahan. Penduduk kampong, aktivis dan YB yang kena tahan pun kesemuanya ujian air kenjing negative untuk dadah.
 
Kami harap pihak media sendiri boleh menilai kenyataan ini kerana pada hari tersebut ramai juga pihak media hadir untuk memberi liputan. Kenyataan ini langsung tidak masuk akal dan hanya satu penghinaan dan memutarbelitkan situasi.
 

5.  Mengikut kenyataan Dato Ng Kek Kiong, ada pihak yang membawa setinggan professional dan OKU dimana mereka boleh mendapat RM 500 jika mereka menangis hadapan Media.

 
Kami mencabar Dato Ng untuk buktikan kanyataan tersebut. Kami berasa agak kelakar terhadap kenyataan tersebut kerana dia sendiri mengatakan ada golongan OKU tinggal di Kg Hakka sekarang pula mengatakan OKU dibawa oleh pihak ketiga.
 
Di Negara Britain, dulu ada satu undang-undang dimana seorang yang menetap di satu rumah untuk 12 tahun  boleh mendapat hak tanah tersebut . Kesemua mereka yang rumah diroboh pada 31hb. Oktober 2013 pernah menetap untuk lebih 50 tahun dan mereka juga mendapat bekalan air dan letrik dari kerajaan dan bayar cukai pintu. Bagaimana mereka boleh dikatakan professional squatter.
 
Pada hari perobohan, setiap rumah yang dirobohkan, didalamnya ada penduduk turun temurun.
Dato Ng juga harus mengeluarkan SD atau kenyataan video mana-mana penduduk yang pernah menerima RM 500 untuk menangis. Kami rasa kenyataan Dato Ng cukup tidak sensitive dan amat menghina.
 

6.         Beliau berkata penduduk yang tidak membawa kes ke Mahkamah adalah tidak layak untuk mendapat tawaran yang beliau tawarkan ?

 
Sebenarnya penduduk tidak membawa Mega 9 ke mahkamah tetapi Mega 9 yang membawa penduduk ke Mahkamah. Penduduk tiada pilihan kecuali mempertahankan diri mereka. Mega 9 adalah Plaintiff manakala penduduk adalah Defenden. Ini dengan jelas mengatakan bahawa Mega 9 mengugut bahawa jika mereka tidak keluar, maka mereka tidak akan dapat sebarang tawaran.
 
Maka Mega 9 sebenarnya bukan sahaja membawa penduduk kampong Hakka ke Mahkamah, mereka juga ugut penduduk untuk tidak mempertahankan diri mereka di Mahkamah.
 

7.         Pihak pemaju berkata mereka hanya berunding dengan Jawatankuasa yang ada kuasa (authorized) ?

 
Pihak Jawatankuasa Penduduk yang dipilih oleh penduduk telah menghantar surat kepada pemaju Mega meminta rundingan pada 11hb. Oktober 2013 walaupun sebelum ini banyak pihak termasuk DAP dan lain-lain cuba mengadakan rundingan dengan pemaju.

Pemaju mengatakan beliau berunding dengan satu Jawatankuasa . Adakah Jawatankuasa yang dimaksudkan oleh Pemaju telah diberi pengiktirafan oleh Penduduk untuk berunding. Tidak ada sekali pun, Pemaju mengatakan perbincangan atau rundingan dengan semua penduduk untuk menjelaskan tawaran beliau.
 
Mengikut penduduk hanya  pernah sekali sahaja seorang wakil dari Pemaju menyuruh penduduk  mendaftar nama dalam buku rekod mereka untuk mengambil kiraan penduduk. Rekod ini diambil dimana penduduk yang tidak ada nama, tidak akan diberi pampasan. Nampaknya Pemaju menggunakan informasi ini untuk memanupulasi media dan penduduk.
 
Itu sahaja, sehingga kini tiada sebarang rundingan dilakukan oleh pihak pemaju.  Kami mendapat tahu bahawa mereka hanya menawarkan RM 1500 ribu hingga RM 7500 ribu melalui satu surat yang dihantar kepada penduduk. Selain itu ada ditawarkan diskaun hanya RM 3,000 jika hendak beli rumah dan RM 5,000 diskaun , jika hendak beli kedai.
 
Untuk mencari satu penyelesaian kepada isu ini, kami menyarankan

1.         Pemaju berdialog terus dengan penduduk atau wakil penduduk yang diberi mandat oleh penduduk yang masih menetap di Kampung Hakka.
 
2.         Sebelum rundingan tersebut, pihak Pemaju dan Penduduk melantik pihak Nuetral yang dipersetujui bersama samada penduduk yang membuat tuntutan ini adalah penduduk asal atau profesional squatter seperti yang didakwa.
 
3.         Kami juga meminta semua kerja-kerja pengusiran paksa, kerja-kerja pembangunan dihentikan sehingga rundingan penyelesaian tamat.
 
Kenyataan dibuat Oleh

Parti Sosialis Malaysia bersama
Jawatankuasa Tindakan Penduduk Kampung Hakka

Tanah & Perumahan