Perlindungan dan Tanggungjawab Kementerian Perumahan - Dr. Jeyakumar Devaraj

26 November 2013

Kem Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan

 

Terima kasih Dato Pengerusi.

 

Ada beberapa perkara yang saya ingin menyentuh. Yang pertama adalah di bawah butiran 010200, berkaitan Rumah Pangsa Kos Rendah.

 

Pada takat ini, pengendalian rumah-rumah pangsa kos rendah masih kurang memuaskan. Jawatankuasa pengurusan menghadapai banyak masalah dalam mengutipkan yuran bulanan. Hanya RM 30 atau RM 40 sebulan. Jika seorang tidak bayar, kos dapat bantuan guaman untuk menghadapkan pemilik flat itu ke Mahkamah, adalah amat berat dari segi kewangan. Dan bila minoriti yang tidak bayar dibiar, orang lain yang dulu bayar juga hentikan bayaran mereka. Oleh itu jawatankuasa pengurusan menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat jaga rumah pangsa itu dengan sempurna. Kebersihan merosot, lampu koridor tidak menyala, lif yang rosak tidak dibaiki. Akhirnya, rumah pangsa itu merupakan "urban slum" dan ini menimbulkan pelbagai masalah sosial di kalangan rakyat.

 

Saya ingin mengesyorkan kaedah yang dipakai di Singapura dipakai di sini untuk rumah-rumah pangsa kos murah dengan unit berharga RM 100,000 ke bawah. Untuk appartment mewah, sistem yang sedia dipakai boleh diteruskan, tetapi untuk rumah pangsa kos rendah, pengurusan harus ditanggungjawabkan kepada Kerajaan Tempatan. Ini akan menimbulkan "economies of scale" kerana staff boleh menyelenggara beberapa buah rumah pangsa, dan oleh itu kosnya penyelenggaraan boleh dikawal.

 

Saya harap Kementerian boleh kaji perkara ini dan ambil tindakan yang sewajar kerana pada takat ini beribu-ribu keluarga miskin sedang duduk dalam "urban slum"ini.

 

Isu kedua yang saya ingin membawa adalah di bawah butiran 010500, undang-undang. Wujudnya satu kumpulan miskin di bandar-bandar kita yang memiliki rumah mereka tetapi tidak memiliki tanah tapak rumah mereka. Mereka membayar sewa tanah pada pemilik tanah itu. Mereka dipanggil "ground tenants" dalam Bahasa Inggeris, penyewa tanah. Masalahnya adalah, bila arus pembangunan sampai ke kawasan mereka, seorang pemaju akan membeli tanah di mana rumah mereka terletak dan terus mengusir mereka. Pada takat ini langsung tiada perlindungan di sisi undang untuk penduduk ground tenant ini.

 

Bolehkah unit undang-undang di Kementerian Perumahan mengkaji Kanun Tanah Negara untuk mencari cara ubahsuainya supaya memberi perlindungan pada penduduk ground tenant ini?

 

Saya juga mahu Kementerian Perumahan dan Kerajaaan Tempatan mengkaji samada Kerajaan Persekutuan boleh berkerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membantu kumpulan ini. Di Kg Kapor, di Karai, Sg Siput, 150 keluarga sedang menduduki tanah yang dimiliki oleh 5 orang. Bolehkah kerajaan perseketuan menyediakan satu dana untuk membantu kerajaan negeri untuk memakai Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil tanah ini dan memecahkan geran supaya semua pemilik rumah di Kg Kapor dapat geran tanah untuk rumah mereka. Premium yang dicaj boleh dikumpulkan dengan dana kerajaan dan dibayar pada 5 orang pemilik itu sebagai pampasan untuk pengambilan tanah.

 

Saya harap Kementerian Perumahan akan mengkaji kaedah ini. Menteri sendiri telah menyatakan bahawa 1.7 juta keluarga di Malaysia tidak memilik rumah mereka sendiri. Jika kampung-kampung seperti Kg Kapor dibiar, lama kelamaannya semua keluarga di sana akan kehilangan rumah mereka apabila "pembangunan" sampai ke kawasan mereka. Ambillah Kg Kapor sebagai satu pilot projek untuk kaedah ini. Kita boleh jadikannya satu kampung heritage. You would be most welcome in Sg Siput!  

 

Poin ketiga saya adalah di bawah butiran 040 000, Perumahan Negara. Dalam pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri, skim "MyHome" telah diumumkan di mana subsidi sebanyak RM 30,000 akan diberi untuk tiap rumah yang dibina  dengan syarat rumah-rumah ini harus dijual dengan hargaRM 45,000 ke atas. Ikut pengumuman Perdana Menteri, 10,000 unit akan dibina dalam tahun 2014.

 

Saya mengalu-alukan rancangan ini. Di Sg Siput ada beberapa ratus keluarga yang tidak memiliki rumah mereka sendiri. Ada 4 kumpulan - peneroka bandar, ground tenants, keluarga yang menyewa rumah dan juga keluarga yang telah kehilangan rumah mereka ditarikbalik dan dilelong oleh bank. Saya ingin memohon bahawa daripada 10,000 unit yang dicadangkan untuk tahun 2014, 200 unit dibina di Sg Siput. Ada tanah kerajaan yang kosong. Saya harap kerajaan akan melaksanakan projek ini di Sg Siput, dan tolong memastikan hanya mereka yang langsung tiada rumah diberi peluang mengambil bahagian dalam rancangan ini.

 

Sekarang saya ingin alih ke butiran 070 000, Perancangan Bandar. Saya ingin membawa isu Banjir Kilat. Ini satu kejadian yang sedang jadi lebih kerap dan serius. Dan ia-nya dikait dengan corak pembangunan kita.

 

Apabila hujan jatuh ke atas hutan atau atas kawasan kadang, nisbah air hujan yang masuk ke dalam sungai dalam 6 jam pertama adalah hanya 20% kerana banyak air hujan itu diresap ke dalam tanah ataupun ditakung di kolam dan kawasan tanah paya. Tetapi selepas kawasan itu dibangunkan sebagai taman perumahan ataupun kawasan perindustrian, banyak permukaan tanah disimen, dan kolam dan tanah paya ditambak. Oleh itu, 80% hingga 90% air hujan terus ke longkang dan ke sungai dalam 6 jam selepas hujan. Inilah sebabnya banjir kilat berlaku secara kerap.

 

Saya sedar Kementerian Kerajaan Tempatan telah mengenakan beberapa langkah untuk mengawal masalah banjir kilat. Seperti menjadikan padang permainan kawasan tadahan air semasa hujan lebat. Seperti mengekalkan sebahagian daripada tasek dan kolam di kawasan itu. Tetapi adakah garis panduan Kementerian dipatuhi oleh Pemaju dan Kerajaan Tempatan?

 

Saya ingin syor Kementerian melaksanakan "spot check" terhadap beberapa bandar untuk memastikan mereka mematuhi langkah-langkah untuk mengawal banjir kilat.

 

Akhir kali, butiran 050 100. Saya ingin menyentuh penswastaan tugas-tugas kerajaan tempatan ke pihak kontraktor.Umpamanya di Sg Siput, pengutipan sampah, pembersihan longkang, pemotonagn rumput semua diswastakan. Aalasannya adalah kaedah ini lebih efisyen dan menjimatkan budget Majlis Perbandaran.

 

Tetapi pengalaman kita di Sg Siput mengecewakan. Di banyak taman-taman, longkang langsung tidak dibersihkan untuk tempoh berbulan-bulan. Hanya jika kita komplain baru longkang itu akan dibersihkan. Jadi saya mahu Kementerian buat satu kajian - siapakah pihak yang beruntung daripada penswastaan ini. Adakah ia-nya membawa faedah kepada Majlis Tempatan dan pihak penduduk? Ataupun adakahnya satu cara untuk pihak yang rapat dengan kerajaan tempatan memperolehi untung yang besar?

 

Berkaitan adalah isu pilihanraya tempatan. Jika Ahli Majlis dipilih oleh rakyat tempatan Ahli-Ahli akan menjadi lebih responsif pada kehendak dan padangan rakyat. Jika kerajaan tidak mahu buka Majlis 100% untuk pilihraya, mungkin kaedah di mana 16 daripada 24 ahli majlis dibuka untuk dipilih manakala 8 orang yang baki itu dilantik oleh kerajaan untuk memastikan ahli dengan kepakaran tertentu juga berada dalam Majlis.

 

Saya harap Kementerian akan mengkaji semua syor ini.

 

Terima kasih.          

 

26/11/2013

Ahli Parlimen Sungai Siput

Dr. Jeyakumar Devaraj