Aduan Polis (No.rreport:MANTIN/004222/13) oleh Penduduk Kampung Hakka, Mantin, Negeri Sembilan!

Aduan Polis (No.rreport:MANTIN/004222/13) oleh Penduduk Kampung Hakka, Mantin, Negeri Sembilan!

28 November 2013

ADUAN POLIS (No.Laporan: MANTIN/004222/13

Tarikh                          :  28 November 2013

Aduan dibuat oleh      : Penduduk Kampung Hakka, Mantin, Negeri Sembilan

Aduan berkenaan        : Keselamatan Penduduk Kampung Hakka selepas insiden penembakan di Pejabat Pemaju

Kami mewakili kepentingan 45 penduduk asal Kampung Hakka Mantin dan  membuat aduan polis pada hari ini selepas kami mendengar tentang satu kejadian tembakan di hadapan pejabat Mega 9 pada awal pagi Rabu (27 November). Kami mendapat tahu berita tentang tembakan ini melalui orang ramai dan pihak media yang memanggil kami untuk mendapatkan respon daripada kami tentang kejadian tersebut. Kami terkejut dan bimbang selepas mendengar berita tersebut.

Kami Jawatankuasa Tindakan Penduduk Kampung Hakka telah mengadakan satu mesyuarat tergempar pada 27hb. November 2013 dan sebulat suara membuat keputusan untuk membuat aduan polis demi keselamatan kami dan untuk menjaga kepentingan kami.

Kami membuat aduan polis ini kerana terkejut dan kesal dengan insiden penembakan yang berlaku di Pejabat Pemaju Mega 9 yang mana merupakan Pemaju yang sama yang terlibat dalam pertelingkahan tanah yang melibatkan kami.

Kami membuat aduan polis ini kerana

1.         Bimbang akan keselamatan penduduk ekoran daripada insiden ini dan mahukan Keselamatan Penduduk kampung Hakka dijamin. Jawatankuasa kami juga telah mengambil keputusan untuk menubuhkan satu pasukan keselamatan  untuk mengawal keselamatan penduduk terutamnya pada waktu malam untuk membuat rondaan kerana kami cukup bimbang dengan insiden ini dan amat risau akan keselamatan kami dan keluarga kami. 

2.         Kami juga berasa kesal dengan kenyataan wakil pihak Pemaju seperti yang tertulis dalam akhbar NST (27 November 2013) dimana Jurucakap Pemaju berpendapat insiden ini mungkin ada kaitan dengan pihak penduduk yang tidak puas hati dengan keputusan mahkamah dan dengan pampasan yang diberi setakat ini. Kami merasakan ini adalah satu tuduhan fitnah dan mesti disiasat oleh pihak polis yang nuetral. Kami ingin menyatakan bahawa pihak penduduk mempunyai satu Stay Order dari Mahkamah Rayuan dimana rumah kami tidak boleh dirobohkan sehingga kes didengar di Mahkamah Rayuan. Selain daripada itu, wakil pihak penduduk melalui Dewan Perhimpunan Cina Negeri Sembilan ada membuat rundingan dengan pihak Pemaju pada hari Ahad lalu iaitu pada 24 November 2013 dimana kami telah hadir. Hasil perbincangan adalah amat positif dimana pihak pemaju sedia mendengar tuntutan kami dan sedia untuk berbincang untuk mencari satu penyelesian. Oleh yang demikian tindakan penembakan ini seolah olah satu tindakan untuk sabotaj rundingan yang sedang berlaku antara kami dengan pihak Pemaju dan tidak masuk akal jika dikaitkan dengan kami.

3.         Kami amat berharap penyiasatan kes aduan ini diambilalih oleh satu pasukan khas dari Bukit Aman kerana sebelum ini, kami telah membuat banyak aduan polis dimana kami tidak puashati dengan tindakan IPD Nilai yang membantu Pemaju Mega 9 melaksanakan perobohan di Kampung Hakka. Hanya satu siasatan yang neutral dan professional dari satu pasukan khas dari Bukit Aman dapat menyiasat kes ini secara telus dan tanpa prasangka.

4.         Kebelakangan ini Penduduk Kampung Hakka mendapat sokongan yang begitu baik dari orang ramai dan Ngo-ngo masyarakat  yang lain. Kami juga khuatir insiden ini mungkin satu muslihat jahat untuk mengurangkan sokongan rakyat kepada kami.

5.         Akhir sekali kami membuat aduan polis kerana kami amat khuatir ini merupakan satu tindakan untuk mengusir penduduk keluar daripada tanah Kampung Hakka. Untuk pengetahuan, kami selama ini  telah menjalankan satu perjuangan untuk mempertahankan Kampung kami dan tidak pernah terlibat dalam apa-apa perbuatan jenayah.

Kami amat berharap aduan kami disiasat oleh Pihak polis yang nuetral dengan secepat mungkin agar kebenaran sebenarnya akan timbul.

Tanah & Perumahan