KENYATAAN AKHBAR 19 April 2014: SAMBUTAN HARI BUMI 2014; SELAMATKAN BUMI LAWAN KAPITALIS!

19 April 2014

Parti Sosialis Malaysia (PSM) meletakkan Alam Sekitar sebagai salah satu tunjang daripada  3 tunjang utama  perjuangannya.  PSM sentiasa mendahulukan Kepentingan rakyat, demokrasi  tulen dan pemuliharaan alam sekitar. Isu alam sekitar adalah isu global yang kian menghantui setiap manusia di dunia ini. kita dikejutkan dengan perubahan iklim global yang ketara di mana pemanasan bumi semakin meningkat, ais di kutub utara dan kutub selatan semain cair dan meningkatkan paras air laut, musim hujan yang berpanjangan dan banjir besar serta kemarau yang berpanjangan.

 

Menurut  Pertubuhan Meteorologi Dunia, 13 daripada 14 tahun-tahun paling panas direkodkan berlaku dalam abad ke 21. Angola, Bostwana, Namibia, China dan Brazil adalah antara Negara-negara yang menderita akibat kemarau yang berpanjangan. Sejak dua bulan kebelakangan ini Malaysia telah mengalami kejadian kemarau yang cukup panjang yang menyebabkan hutan terbakar dan krisis air di seluruh Malaysia. Perubahan iklim dunia juga telah menyebabkan berlakunya bencana alam yang cukup dashyat seperti Ribut Haiyan yang melanda Filipina, Ribut paling dashyat yang melanda di El Reno Oklahoma Amerika, musim hujan lebat  berpanjangan yang menyebabkan banjir besar di sempadan India-Nepal. Malaysia juga telah mengalami cuaca sejuk dan musim hujan lebat yang berpanjangan dalam satu tahun yang lepas di mana Banjir yang berlaku di negeri-negeri pantai timur adalah yang terburuk. Kita juga melihat banjir kilat di Cameron Highland yang dashyat  dalam sejarah yang meragut  nyawa. Dunia tidak lagi selamat untuk dihuni. Siapakah yang patut bertanggungjawab disebalik kemusnahan alam sekitar ini?

Sejak wujudnya zaman perindustrian pada akhir abad ke 18 dunia telah berdepan dengan ancaman kemusnahan alam sekitar yang teruk. Dalam  200 tahun ini sistem kapitalis telah berjaya mewujudkan masalah alam sekitar yang dashyat yang meragut berjuta-juta nyawa manusia. Hutan ditebang  dan dibakar secara berleluasa tanpa ada hutan ganti. Ini menyebabkan peningkatan dalam pemanasan global  dan kejadian banjir-bajir kilat serta kemusnahan tempat tadahan air. System kapitalis juga telah berjaya menhancurkan bumi dengan menggunakan bahan-bahan nadir bumi yang tinggi radioaktif, kuasa nuklear  dan sebagainya. Asap dari Kilang-kilang, kenderaan dan pembakaran bahan-bahan kimia telah berjaya mencemarkan udara, menipiskan lapisan ozon dan sekaligus menyumbang kepada pemanasan bumi. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu, pada  tahun 2012 sebanyak  7 juta orang meninggal dunia dimana  1 daripada 8 kematian di dunia disebabkan oleh pencemaran udara.

Maka adalah penting untuk hentikan system kapitalis dari terus menghancurkan bumi. Justeru itu Sempena Sambutan Hari Bumi Sedunia 2014, Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut:

  • Segala projek pembangunan mesti diluluskan dengan prasyarat ketat yang menghalang kesan buruk terhadap alam sekitar
  • Gazetkan semua kawasan lapang hijau, zon penampan dan hutan semulajadi agar ianya tidak dirampas dan ditukarmilik untuk tujuan pembangunan.
  • Projek pembangunan setempat hanya dilaksanakan dengan persetujuan penduduk setempat
  • Kajian impak alam sekitar (EIA) secara telus dan bebas daripada pengaruh pihak pemaju dan berkepentingan. Pakar melaksanakan kajian EIA harus dipilih dan diupah oleh Kerajaan sendiri dan bukan oleh Pemaju.
  • Perancangan serius untuk mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan meningkatkan pengangkutan awam yang efisien, murah dan dimiliki oleh kerajaan.
  • Implementasikan sistem yang menyeluruh untuk kitar semula sampah
  • Kaji secara serius penggunaan sumber kuasa alternatif seperti air, angin dan cahaya matahari 9solar) dan batalkan cadangan pembinaan loji nuklear di Malaysia
  • Hentikan  Projek Lynas

 Krisis alam sekitar bukan sekadar bencana alam ia adalah krisis buatan manusia di bawah sistem kapitalisme yang hanya bermotifkan keuntungan dan tidak mementingkan kesejahteraan rakyat sedunia. Jadi sudah masanya untuk selamatkan bumi dan melawan kapitalisme yang akan menghancurkan dunia.

 

Parameiswary.e

Biro Alam Sekitar

PSM

0193055906

Alam Sekitar