Surat terbuka kepada MP PAS

10 April 2014

Yang Berhormat,

Saya sedar saya tidak mempunyai sebarang hak untuk memberi “nasihat” kepada sesiapa Ahli Parlimen. Tetapi saya rasa adalah tanggungjawab saya sebagai seorang aktivis politik untuk berkongsi pandangan saya dengan YB supaya kita dapat memajukan perjuangan PR dan PSM untuk menjatuhkan pemerintahan BN.

Saya khuatir dengar melalui media bahawa beberapa orang pemimpin PAS ingin membentangkan Usul Persendirian (Private Member’s Bill) untuk membolehkan perlaksanaan Hudud di Negeri Kelantan.

Saya terima bahawa se bahagian umat Islam percaya perjuangan untuk melaksanakan Hudud adalah antara kewajipan mereka sebagai seorang beragama Islam. Dan Perlembagaan Persekutuan memang menyatakan bahawa semua rakyat Malaysia harus diberi kebebasan untuk mengamal agamanya seperti dipercayainya. Daripada itu, wujudlah ruang untuk berhujjah bahawa adalah hak masyarakat Islam untuk menuntut Hudud dipakai untuk kendalikan kes-kes jenayah yang melibatkan orang Muslim.

Masalah dengan pendekatan ini adalah Malaysia adalah sebuah Negara majmuk di mana lebih kurang 37% bilangan penduduk bukan beragama Islam. Rakyat bukan Islam khuatir perlaksanaan Hudud akan melibatkan dan menyusahkan mereka. Antara soalan yang ditanya olehmasyarakat bukan Islam adalah

  • Jika satu kes jenayah melibatkan seorang Islam dan seorang bukan Islam, kes ini akan didengar di mahkamah mana? Adakah orang Islam yang terlibat berhak untuk paksa kes ini ke Mahkamah Syariah?
  • Jika ada kes yang melibatkan seorang bukan Islam dan satu institusi Islam seperti Bank Islam, manakah Mahkamah yang akan dengar kes ini?
  • Apakah nilai (weightage) yang akan diberi pada seorang saksi yang bukan Islam dalam perbicaraan kes di Mahkamah Syariah?

Keraguan dan kekhuatiran masyarakat bukan Islam bukan khayalan tanpa asas. Kerana ada beberapa kejadian di mana perlaksanaan kuasa Jabatan Agama, Mahkamah Syariah atau NGO Islam telah menyebabkan ketidakadilan terhadap pihak bukan Islam. Satu umpama adalaah kes S Deepa di Seremban – suaminya, Izwan Abdullah, telah memeluk Islam dan dengan itu mansuhkan perkahwinan antara mereka.

Selepas itu, suami telah membawa anak-anak mereka yang berumur 5 dan 8 tahun ke Pusat Dakwah Islam untuk menukarkan agama mereka ke Islam tanpa pengetahuan ibu mereka. Selepas itu Mahkamah Syariah telah memberi hak menjaga anak kepada bapa.

Pada saya, peristiwa ini amat mengecewakan. Saya bukan pakar dalam mana-mana agama, tetapi saya percaya bahawa intipati agama adalah keadilan dan perasaan sayang pada manusia (compassion). Dalam kes cerai ini

  • Mengapakah Pusat Dakwah Islam mengizinkan penukaran agama dua anak itu tanpa menyiasat terlebih dahulu? Mengapa tidak memanggil isteri untuk medapat penjelasannya?
  • Mengapa Mahkamah Syariah memberi hak custody pada bapa tanpa meneliti lebih dalam?
  • Bukannya lebih adil untuk menyelesaikan perkahwinan antara S Deepa dan suaminya di dalam kerangka undang-undang civil kerana itulah di mana kontrak perkahwinan mereka diwujudkan?
  • Mengapakan institusi dan badan-badan Islam rela membenarkan diri mereka diperalatkan oleh suami yang nampaknya membalas dendam terhadap isteri yang dicerai?
  • Dan mengapa tiada suara menegur daripada pihak ulama, peguam syarie dan pemimpin PAS?

Satu lagi contoh kes-kes yang menimbulkan ketidakpercayaan terhadap keadilan untuk masyarakat bukan Islam di bawah sistem Syarie adalah caranya permohonan untuk membetulkan tafsiran agama dikendaliakan. Individu-individu yang didaftarkan sebagai Islam tetapi dibesarkan mengikut agama lain menghadapi banyak masalah mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah untuk membetulkan status mereka. Mereka diminta hadir kursus kaunselling untuk 3, atau 6 bulan atau pun lebih lama lagi. Kadang kala mereka diarah mengulangi sesi kaunselling 2 atau 3 kali.

Perkara-perkara seperti ini telah menimbulkan kekhuatiran dalam masyarakat bukan Islam bahawa perlaksanaan undang-undang Islam akan menyusahkan mereka. Adakah pihak-pihak di dalam PAS yang berhasrat membawa Usul terhadap perlaksanaan Hudud di Kelantan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk menangani keraguan dan kekhuatiran orang bukan Islam? Jika anda pernah mengambil pendirian tegas terhadap ketidakadilan dalam kes-kes seperti di sentuh di atas tadi – berkaitan penceraian dan pembetulan taksiran agama – masyarakat bukan Islam mungkin sedia terima perlaksanaan undang-undang Islam tidak akan menyusahkan mereka.

Tetapi pada masa ini majoriti besar masyarakat bukan Islam rasa takut dan khuatir. Ini situasi sebenarnya.

Sekarang, marilah kita pandang dari segi politik

  • Jika beberapa MP PAS membawa Usul ini ke parlimen, dan DAP berdiam, sudah tentu DAP akan hilang sokongan bukan Melayu dalam PRU 14. So sudah tentu DAP akan membantah dengan keras dan bersaing bersama MCA untuk menonjol diri sebagai pelindung masyarakat bukan Islam. Dalam proses ini jurang Antara 2 pihak akan menjadi lebih lebar.
  • Jika walaupun dibantah oleh DAP, PAS teruskan dengan usaha usulkan Akta membolehkan perlaksanaan Hudud di Kelantan, ada kemungkinan besar PR akan retak ke dua. Inilah outcome yang dinanti-nantikan oleh BN! Itulah sebabnya mereka sedia membenarkan Usul persendirian ini.
  • Jika selepas bantahan DAP dan mungkin bukan Islam di PKR, PAS menarik balik Usul tersebut, sokongan bukan Islam untuk PAS akan menurun, dan mungkin sokongan orang Melayu untuk DAP akan turun juga. Tetapi impaknya dari sudut memenang kerusi adalah lebih teruk untuk PAS kerana margin kemenangan adalah jauh lebih besar untuk MP DAP.

Adanya satu perpatah dalam Bahasa Inggeris yang berbunyi – Politics is the Art of the Possible. Adalah “possible” untuk kita menewaskan BN dan bina satu Negara di mana jurang antara miskin dan kaya dikurangkan, di mana pemimpin hidup secara sederhana, di mana politik perkauman dikawal, di mana ketelusan pemerintahan dipelihara, di mana kebebasan system kehakiman dikembalikan dan sebaginya. Bukankah ini semua selaras dengan ajaran Islam?

Saya harap YB boleh berbincang perkara ini dengan rakan-rakan lain supaya kita dapat buat satu keputusan yang baik untuk rakyat Malaysia. Bukannya lebih baik kita berjuang untuk apa yang “possible” dan menangguh isu perlaksanaan Hudud ke satu masa selepas kekhuatiran masyarakat bukan Islam ditangani?

Saya boleh dihubungi melalui – [email protected] atau 019 5616807 – jika YB ingin bertukar pandangan, saya rela dengar. Kerana hanya jika kita dapat memahami perasaan dan posisi satu sama lain, barulah kita akan berjaya membina kesefahaman dan perpaduan.

Akhirnya saya ingin memohon maaf jika apa yang ditulis oleh saya ataupun perkataan yang dipakai menyinggung hati sesiapa. Itu bukan tujuan saya – saya hanya mahu PR memantapkan diri hingga sanggup menukarkan kerajaan yang sedia ada.

Salam Perjuangan!
Jeyakumar Devaraj

Agama, Hudud