PSM luluskan resolusi ringankan beban rakyat

Press Clipping

PSM luluskan resolusi ringankan beban rakyat

 
 | June 17, 2014
 

Di antara resolusi yang diluluskan ialah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 seharusnya dibatalkan.

 

PSM001_300x200PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mengadakan kongres ke 16 di Port Dickson Ahad lalu telah meluluskan beberapa resolusi.

Menurut Presiden PSM, Dr. Mohd Nasir Hashim, di antara resolusi yang diluluskan ialah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015 seharusnya dibatalkan.

“Cukai koperat seharusnya dikekalkan dan bukan mengalihkan beban ini kepada rakyat biasa,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan Malaysia perlu mengimplementasikan Akta Gaji minima atau saradiri RM1,500 dengan menghapuskan sistem gaji murah kepada semua warga pekerja termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan juga perlu mewujudkan satu skim pencen untuk pekerja di sektor swasta dan mewujudkan peluang pekerjaan agar dapat membasmi kadar pengganguran di dalam negara.

“Saya juga berharap kerajaan dapat menghentikan semua diskriminasi tanpa mengira agama, bangsa, jantina, dan orientasi seksual,” jelasnya.

Menurut beliau, rakyat juga berhak untuk mendapatkan bekalan air yang bersih. Selain itu, kawal dan kurangkan tarif elektrik domestik yang semakin meningkat.

“Saya mencadangkan kaji balik konsesi pengeluar tenaga bebas (IPP) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) agar tidak membebankan rakyat.

“Subsidi gas lebih RM20 billion yang diberikan kepada IPP hanya memberi keuntungan kepada kapitalis dan kroni pemerintah,” katanya.

PSM juga menyokong penuh tuntuntan Kumpulan NGO Royalti iaitu menuntut hak royalti diberikan kepada negeri Kelantan.

“Hak ini haruslah sama dengan negeri lain seperti Sabah dan Sarawak dan perlu ditingkatkan,” katanya.

 

Kongres PSM