PSM, NGO demo turunkan harga rumah

Press Clipping

Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan sekumpulan aktivis NGO hari ini berkumpul di Putrajaya bagi menyatakan bantahan terhadap kos perumahan yang mahal di kawasan bandar, terutamanya di Kuala Lumpur.

Kumpulan 30 orang itu berkumpul kira-kira sejam di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bermula jam 10.30 pagi sambil melaungkan pelbagai slogan supaya harga rumah diturunkan.

Mereka melaungkan slogan seperti "orang kaya banyak rumah, orang miskin tiada rumah" dan membawa sepanduk bertulis "rumah untuk hidup bukan untuk untung" dan "haramkan spekulasi harga rumah".

Sebuah memorandum turut dihantar kepada menteri bertanggungjawab Datuk Abdul Rahman Dahlan yang diterima oleh seorang wakil kementerian.

Sementara itu, PSM juga turut membangkitkan dakwaan kegagalan projek seperti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang didakwa masih gagal mencapai matlamat.

“Harga rumah yang dikatakan mampu milik pada saya tidak begitu mampu milik," kata ahli parlimen Sungai Siput Dr Michael D Jeyakumar, yang mengetuai perhimpunan itu kepada pemberita hari ini.

Sementara itu, memorandum yang dimajukan kepada kerajaan turut membangkitkan beberapa itu, antaranya:

  • Menggesa memberi geran kepada rumah tanpa geran di kawasan bandar supaya masalah seperti gelandangan dapat diselesaikan.
     
  • Menggesa kerajaan menubuhkan badan amanah tidak bermotifkan keuntungan untuk membina rumah yang selesa dengan harga munasabah.
     
  • Menggesa pihak berkuasa tempatan mengambil alih pengurusan rumah pangsa bawah harga RM150,000 seunit sebagai langkah memulihkannya daripada menjadi “sarang kemiskinan”.

Memorandum itu disokong 32 NGO, antaranya Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan jawatankuasa hak sivil dan Pemuda Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).

Tanah & Perumahan