Pilihanraya tempatan teras penting dalam institusi demokrasi

Press Clipping

PSM amat kecewa sekali dengan keputusan Mahkamah Persekutan yang menolak permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk mengadakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan di negeri tersebut.

 

psm logoPETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaysia, Choo Chon Kai berkata sistem kehakiman Malaysia sekali lagi mengecewakan rakyat dengan menafikan hak demokrasi rakyat Malaysia untuk mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan.

“PSM amat kecewa sekali dengan keputusan Mahkamah Persekutan pada 14 Ogos 2014 yang menolak permohonan kerajaan negeri Pulau Pinang dan P. Ramakrishnan (mantan Presiden Aliran) untuk mengadakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan di negeri Pulau Pinang.

“Pilihanraya tempatan merupakan teras yang penting dalam institusi demokrasi di mana rakyat dapat mengundi dan menentukan wakil rakyat dalam majlis tempatan dan juga Datuk Bandar yang bertanggungjawab dalam urusan yang berkaitan rapat dengan kehidupan rakyat tempatan,” kata beliau.

Menurutnya, negara kita pernah adakan pilihanraya tempatan. Namun, rakyat Malaysia telah dinafikan hak demokratik untuk memilih kerajaan tempatan apabila pilihanraya tempatan digantung semasa Darurat September 1964.

“Penggantungan pilihanraya tempatan diteruskan dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976, menjadikan semua Yang Di-Pertua Majlis Tempatan atau Datuk Bandar dan Ahli Majlis Tempatan dilantik oleh Kerajaan Negeri tanpa pilihanraya sehingga hari ini, walaupun negara kita tidak lagi berada dalam apa-apa darurat,” katanya.

PSM mengucapkan syabas kepada kerajaan Pulau Pinang atas usahanya cuba mengembalikan pilihanraya tempatan melalui Enakmen Pilihanraya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Perai) 2012.

“Kerajaan Pulau Pinang tidak patut putus asa dan perlu meneroka cara lain secara kreatif untuk mengembalikan undi ketiga kepada rakyat Pulau Pinang, yang sememangnya akan menjadi teladan untuk diikuti oleh kerajaan tempatan yang lain di seluruh negara,” katanya.

PSM menyeru supaya kerajaan persekutuan dan parlimen Malaysia untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang telah merampas hak rakyat untuk memilih ahli majlis tempatan dan Datuk Bandar atau Yang Di-Pertua Majlis melalui proses demokrasi.