Cara PR tangani krisis MB amat memalukan

Press Clipping

PETALING JAYA: Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr.Nasir Hashim mewakili PSM apabila beliau memberitahu bahawa parti tersebut yakin dengan kebijaksanaan Sultan Selangor dan akan akur kepada perlembagaan negeri Selangor yang berpaksikan amalan demokrasi.

“Kelayakan samada seorang calon itu sesuai memegang jawatan menteri besar (MB) seharusnya diserahkan kepada parti yang memiliki majoriti jelas di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Amalan demokrasi di Malaysia akan diperkasakan hanya jika semua pihak yang terlibat menghormati sistem Raja Berpelembagaan yang menghadkan kuasa Raja kepada tugasan-tugasan tertentu.

Andaikata tidak ada majoriti yang jelas, maka satu persidangan khas DUN harus dipanggil untuk memilih MB yang baru,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya DUN gagal menyelesaikan kemelut ini, maka satu pilihanraya negeri harus dipanggil untuk membolehkan rakyat mengundi parti dan seterusnya MB dipilih secara amalan biasa.

“Jawatankuasa Pusat PSM yang bermesyuarat pada 22 Ogos 2014 juga berpendapat cara Pakatan Rakyat (PR) menangani krisis MB amat mendukacitakan dan memalukan.

“Sepatutnya tiga parti yang membentuk kerajaan di Selangor ini bermesyuarat terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan terbuka bersifat tikam menikam dan menjadikan proses membuat keputusan begitu sukar sekali,” katanya.

PSM juga berpendapat cara PKR mengatur Langkah Kajang dan memilih bakal MB tanpa terlebih dahulu berbincang dengan rakan-rakan dalam PR turut menyumbangkan kepada kemelut krisis MB Selangor.

“PSM juga berpendapat Tan Sri Khalid Ibrahim seharusnya undur dan letak jawatan memandangkan beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

“Namun kami juga berpendapat walaupun Khalid menjadi fokus utama, tetapi kepimpinan PR juga harus bertanggungjawab atas calon-calon dan tingkahlaku mereka. Khalid ialah pilihan PR sebagai calon MB selepas PRU13 dan jika ianya suatu pilihan yang salah maka PR harus bertanggungjawab,” akhiri beliau.

 
Pakatan Rakyat