PSM yakin Sultan akur majoriti Adun Selangor sokong Wan Azizah

Press Clipping

Parti Sosialis Malaysia (PSM) melahirkan keyakinan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah akan melantik menteri besar berdasarkan sokongan majoriti yang diberikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di negeri terkaya itu.

Pengerusi PSM Dr Nasir Hashim (gambar) berkata, amalan demokrasi di Malaysia hanya akan dapat disuburkan jika semua pihak yang terlibat menghormati sistem raja berpelembagaan yang mengehadkan kuasa raja kepada tugasan tertentu.

“PSM yakin Sultan Selangor dalam kebijaksanaan baginda akan menyanjung dan terus akur kepada perlembagaan negeri Selangor yang berpaksikan amalan demokrasi lalu melantik menteri besar baru di kalangan parti yang mempunyai majoriti jelas di Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Andai kata tidak ada majoriti yang jelas, maka satu persidangan khas DUN harus dipanggil untuk memilih menteri besar baru.

“Jika DUN gagal menyelesaikan kemelut ini, maka satu pilihan raya negeri harus dipanggil untuk membolehkan rakyat mengundi parti dan seterusnya menteri besar dipilih secara amalan biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadap Sultan Selangor esok bagi menjelaskan kedudukannya selepas hilang kepercayaan daripada majoriti Adun negeri itu.

Beliau yang kini Adun Pelabuhan Klang Bebas selepas dipecat PKR 9 Ogos lalu kehilangan sokongan majoriti apabila 30 Adun Pakatan Rakyat (PR) Selangor menyatakan sokongan secara terbuka kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PAS hari ini mengesahkan 13 Adunnya tidak akan menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Dr Wan Azizah sebagai calon menteri besar Selangor walaupun dua Adunnya terdahulu pernah menyatakan sokongan terhadap Adun Kajang itu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata, partinya akan menyerahkan kepada Sultan Selangor menggunakan kebijaksanaan baginda bagi memilih calon menteri besar baru.

Nasir berkata mesyuarat Jawatankuasa Pusat PSM pada minggu lalu berpendapat cara PR menangani krisis menteri besar amat mendukacitakan dan memalukan.

Katanya, parti komponen PR seharusnya bermesyuarat terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan terbuka bagi mengelak keputusan yang berat dijatuhkan kepada Khalid. 

“PSM juga berpendapat cara PKR mengaturkan ‘Langkah Kajang’ dan memilih bakal menteri besar tanpa terlebih dahulu berbincang dengan rakan dalam PR turut menyumbangkan kepada kemelut krisis menteri besar Selangor.

“Langkah Kajang yang dihebohkan pada awalnya sebagai satu langkah menghindar rampasan kuasa Barisan Nasional (BN) juga nampaknya tidak masuk akal dan ia semakin jelas sebagai usaha menyelesaikan pergelutan kuasa dalam PKR,” katanya.

Beliau berkata menjadi harapan PSM agar sebarang tuduhan ke atas Khalid dilakukan secara profesional dan tindakan diambil melalui proses perundangan dan bukan melalui kerenah politik.

Katanya, sikap PKR yang menuduh Khalid mengamalkan rasuah tidak profesional apabila surat tunjuk sebab hanya diberikan selepas tuduhan itu. 

“Ini menggambarkan suatu proses yang tidak baik kepada cara pemerintahan PR yang hendak ke Putrajaya dan menjadi alternatif kepada BN.

“PSM berpendapat Khalid seharusnya berundur dan letak jawatan memandangkan beliau tidak lagi mendapat sokongan majoriti.

“Khalid ialah pilihan PR sebagai calon menteri besar selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan jika ia satu pilihan yang salah maka PR harus bertanggungjawab,” katanya. – 25 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/psm-yakin-sultan-akur-majoriti-adun-selangor-sokong-wan-azizah#sthash.xh8IDVBu.dpuf

Pakatan Rakyat