Kernyataan Akhbar: 14 Nov 2014: Incinerator, Teknologi Yang Salah

14 November 2014

Kenyataan Akhbar : 14 November 2014

PAC: 4 Incinerator Yang Dibina Guna Teknologi Salah

 

PSM Cameron bersama penduduk sekitar Blue Valley, Cameron sudah pun menyuarakan bantahan kepada Insinerator di Blue Valley sejak projek ini sedang dibina pada tahun 2008. Bantahan PSM Cameron adalah kerana insinerator bukanlah jalan terbaik untuk menangani sistem pelupusan sampah. RM41 juta telah dibazirkan untuk membina insinerator di Cameron.

Inline image 1

Menurut laporan Ketua Audit Negara 2012 dan PAC (Public Accounts Committee) yang dibentangkan di Parlimen pada 11/11/14, 4 insinerator di Cameron Highlands, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman telah dibina menggunakan teknologi salah. Salah satu kontraktor utama iaitu XCN Technology dikatakan tidak layak diberikan kontrak dan ia tidak seharusnya diberikan melalui pemilihan terus. Pembinaan insinerator di Labuan telah dibatalkan.

Walaupun Insinerator adalah teknologi pelupusan sampah yang lebih baik berbanding ‘landfill’, tetapi ia bukanlah cara terbaik. RM41 juta patut dibelanjakan untuk memulakan kempen ‘Zero Waste’ yang lebih mesra alam.

PSM Cameron setelah menerima aduan dari penduduk di sekitar Blue Valley, telah menulis kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan meminta projek ini diberhentikan segera sehingga perbincangan dengan rakyat diadakan. Namun tiada jawapan yang memuaskan dari Menteri KPKT terhadap aduan kami. Projek ini terus dibina walaupun tentangan diberikan.

PSM Cameron telah berpendapat Insinerator bukan cara penyelesaian untuk bahan buangan di Cameron Hihglands kerana:

1.       Kandungan bahan organik yangtinggi dalam sisa pepejal di Cameron (23-50% jisim)(DEIA oleh ERE CONSULTING GROUP SDN BHD Mac 2009). Sisa pepejal organik ini boleh diuraikan dengan kaedah 'composting'.

2.       Sisa pepejal yang boleh dikitar semula boleh dikumpul dan dihantar ke pusat pengitaran semula.

3.       Rakyat Cameron tidak pernah dilibatkan sama dalam membuat keputusan untuk pembinaan insinerator.

4.       KPKT tidak pernah mempertimbangkan keadaah pelupusan sampah “zero waste” sebelum memilih untuk membina insinerator. Ini tidak dinyatakan dalam laporan DEIA yang dibuat sebelum teknologi ini dilaksanakan.

5.       Apakah polisi kerajaan BN terhadap alam sekitar? Pada satu waktu, kerajaan BN beria-ria mempromosikan Projek 3R (recycle, reuse & reduce). Konsep yang bagus ini hanya sekadar cakap kosong kerajaan kerana apa yang dibuat ialah bertentangan.

6.       Jumlah penduduk di Blue Valley dikatakan hanya 120 orang dari 30 buah keluarga dalam laporan DEIA. Ini adalah salah kerana di Blue Valley terdapat lebih kurang 500 orang dari 100 buah keluarga.

7.       Kerajaan pernah membina insinerator di 4 tempat sebelum ini (Langkawi, Pangkor, Tioman & Labuan) tetapi telah diabaikan kerana kos operasi yang tinggi (Jawapan Parlimen 16 Okt 2008).

8.       Teknologi yang akan digunakan dalam insinerator ini hanya pernah diuji di dalam makmal dan tidak pernah diuji dalam dunia sebenar.

3 syarikat telah berkongsi RM41 juta dari pembinaan insinerator di Cameron iaitu Sumur Mutiara Sdn Bhd, SMEC (M) Sdn Bhd dan XCN Technology Sdn Bhd.

Pengarah XCN Technology, Caleb Khoo Nee Sien juga pernah dihadap ke Mahkahmah pada 6/5/2009 kerana memberi rasuah kepada seorang pegawai Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika pembinaan insinerator di Langkawi.

Apakah telus pemberian kontrak kepada ketiga-tiga syarikat ini? Bagaimana laporan DEIA yang dibuat Ere Consulting Group Sdn Bhd boleh menyokong pembinaan insinerator di Cameron jika ia menggunakan teknologi salah?

PSM Cameron menyarankan kesemua syarikat ini disiasat bersama dengan pegawai kerajaan seperti yang disarankan oleh PAC.

PSM Cameron berharap keghairahan kerajaan BN untuk membina insinerator akan berhenti. Hentikan pembinaan mega-insinerator di Kepong, Selangor dan di Bukit Payung, Johor. Fikirkan konsep 3R secara berkesan! Sudah cukup pembaziran yang dibuat!

Suresh Kumar
Setiausaha
PSM Parlimen Cameron

019-5696964