Kenyataan Akhbar PSM : 30 Januari 2015 - Apa sudah jadi dengan bantuan kebajikan bulanan untuk keluarga miskin?

30 January 2015

Parti Sosialis Malaysia kecewa mendapat tahu bahawa keluarga-keluarga miskin di seluruh Negara masih belum menerima bantuan kebajikan untuk bulan Januari 2015. PSM menyeru Menteri berkenaan dengan serta merta menyelesaikan isu ini.

Semalam seorang ibu tunggal dengan lima orang anak yang sedang bersekolah datang mengadu kepada kami. Suaminya sedang menjalani hukuman di penjara Taiping kerana kes dadah. Ibu tunggal ini sekarang bekerja sebagai pencuci pinggan di kantin sekolah pada waktu pagi dan sebelah petang pula di kedai makan. Jumlah bantuan kebajikannya sebanyak RM400 sebulan, amat membantunya membiayai keperluan asas untuk keluarganya. Tetapi sampai hari ini 30/1/2015, beliau belum menerima bayaran ini. Bayaran kebajikan bulan lalu diterima pada 19/12/2014. PSM mendapat maklumat daripada JKM bahawa penerima bantuan kebajikan diseluruh negara juga menghadapi masalah yang sama, dan dapat jangkaan bahawa tarikh kemasukan bantuan kewangan seterusnya adalah 5hb Februari 2015

Situasi keluarga ramai ibu-ibu tunggal adalah seperti perpatah kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Bila bayaran bantuan kebajikan dilambatkan mereka menghadapi masalah kewangan yang teruk dan bekalan makanan kepada kanak-kanak mereka juga turut terjejas.

Adakah kelambatan ini berkaitan dengan banjir yang berlaku baru-baru ini di beberapa negeri di Malaysia? Ini bukan satu alasan yang boleh diterima! Andaikata inilah alasan maka PSM ingin menyoalkan mengapa peruntukan yang dikhaskan untuk miskin tegar disalurkan kepada mangsa banjir? Mengapa tidak menyalurkan peruntukan lain umpanya elaun Menteri?

PSM mahu Jabatan Kebajikan menyelesaikan masalah ini dengan segera dan juga mengambil langkah-langkah untuk pastikan ia tidak berulang. Taraf moral sesebuah masyarakat boleh dinilai dengan cara bagaimana kumpulan-kumpulan yang termiskin dilindungi .  Prestasi Kementerian Kebajikan dalam melindungi miskin tegar tidak mencerminkan pencapaian yang membanggakan.

 

Jeyakumar Devaraj

Ahli Parlimen Sungai Siput

Ahli Jawatankuasa Pusat PSM

Alam Sekitar