Kenyataan PSM - 11 Jun 2015 - Siasat Kerajaan Negeri Sembilan Kerana Hina Mahkamah !

10 June 2015

Parti Sosialis Malaysia(PSM) menyeru semua pihak termasuk Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) , Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) , Suruhanjaya Intergriti Malaysia dan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri untuk menyiasat Kerajaan Negeri Sembilan dan juga PKNNS yang bertindak membelakangkan keputusan Mahkamah Rayuan dan terus berniat untuk membuat kerja pembersihan tanah dan cubaan menyerahkan tanah kepada segelintir Peneroka walaupun Mahkamah masih belum selesai memutuskan isu hakmilik tanah tersebut.

Pada 22 April 2015, ADUN Senawang mengemukakan soalan kepada Kerajaan Negeri dalam  sidang DUN tentang penglibatan serta status Kerajaan Negeri di tanah peneroka Gatco. Sebagai balasannya (Secara Bertulis) Kerajaan Negeri mengatakan bahawa tanah ini pada asalnya dipajak kepada Syarikat Gatco. Kini, oleh kerana Syarikat Gatco telah muflis, Kerajaan Negeri telah berunding dengan pemilik sah iaitu Thamarai Holdings  untuk menyerahkan tanah seluas 1206 ekar kepada peneroka.

Namun demikian , Mahkamah Rayuan pada 25 Februari 2014 dengan jelas mengatakan bahawa wujud penyelewengan dalam proses pembelian tanah oleh Tamarai Holdings dan mahkamah meminta kes dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi. Pihak Tamarai Holdings juga telah membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan dan kes ini akan didengar pada 18  Ogas tahun ini. Justeru itu hakmilik tanah tersebut tidak berada pada pihak Tamarai Holdings dan mereka juga tidak mempunyai hak untuk menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri.

Pihak Kerajaan Negeri dan PKNNS pula mengatakan tanah ini sudah menjadi milik mereka dan telah mencucuk papan tanda di kawasan tersebut tetapi sehingga sekarang langsung mereka gagal memberikan sebarang notis kepada penduduk. Tindakan mereka amat mencurigakan kerana :

i.          Carian tanah menunjukkan Tanah yang kini diceroboh masih berada atas nama Tamarai Holdings. Bagaimana Kerajaan Negeri mengatakan ia adalah tanah mereka?

ii.         Kerajaan Negeri dan PKNNS  mengatakan tanah telah diserahkan oleh Tamarai Holdings dan Peguam Tamarai Holdings sendiri mengakui bahawa pencerobohan tidak dilakukan oleh mereka tetapi oleh pihak kerajaan Negeri.

iii.        Bagaimana Tanah tersebut boleh diberikan oleh Tamarai Holdings kepada Kerajaan negeri memandangkan Mahkamah Rayuan telah mempertikaikan pemilikan tanah tersebut oleh Tamarai Holdings.

iv.        Namun motif sebenar adalah untuk membuat untung dengan memotong pokok getah

Kami juga difahamkan pihak kerajaan Negeri dengan beberapa kontraktar swasta dengan perlindungan penuh pihak polis dan RELA membersihkan pokok-pokok getah yang mereka jual untuk keuntungan. Ada lebih 200 aduan polis yang telah dibuat oleh Peneroka megenai isu ini. Motif utama disini nampaknya adalah jelas ada pihak mahu menjual pokok getah untuk mendapat untung. Satu siasatan perlu dibuat siapa yang untung kerana menebang pokok ini, berapakah keuntungan yang diperolehi dan siapakah kontrakter yang terlibat? Pihak penduduk pernah membuat aduan polis bahawa Ketua Pemuda MIC Negeri Sembilan turut diberi kontrak untuk membersihkan pokok-pokok ini. Perniagaan ini amat lumayan.

Kami dengan ini menuntut satu siasatan perlu dibuat segera dan sehingga itu semua pencerobohan keatas tanah tersebut harus dihentikan sehingga Mahkamah persekutuan memberikan satu keputusan.

Pihak Peneroka yang menghalang pencerobohan keatas tanah mereka hanya berbuat demikian kerana setiap pokok getah yang ditebang memberi impak kepada kehidupan mereka. Mereka juga bertindak kerana keputusan mahkamah berpihak kepada mereka. Namun polis menahan mereka yang mempertahankan hak dan membela pihak yang menceroboh hak dan menghina mahkamah.

Kini kami difahamkan Kerajaan Negeri bercadang memberikan sebahagian tanah ini secara percuma kepada segelintir Peneroka disana. Sepatutnya Kerajaan Negeri dan PKNNS menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan. Tindakan Kerajaan Negeri dan PKNNS akan merumitkan lagi isu ini dan tindakan terburu-buru Kerajaan mahu menyerahkan tanah kepada sebahagian peneroka lain juga akan menimbulkan ketegangan dan mengancam keharmonian dan perpaduaan di kalangna para peneroka yang ada di Kg Serampang Indah(Gatco) Negeri Sembilan.

Kami menuntut kedaulatan undang-undang dihormati oleh semua pihak dan satu siasatan perlu dilakukan kerana segala tindak tanduk menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Isu ini cukup berbau rasuah, penyelewengan dan salahguna kuasa. 

Kenyataan dikeluarkan Oleh

S.Arutchelvan

Setiausaha Agung PSM

019-2537791

Tanah & Perumahan