Kenyataan Akhbar - 25 Jun 2015 : Isu Tanah Gatco Belum Selesai ! 7 Persoalan!

26 June 2015

1. HANYA 36% SAHAJA TERIMA TAWARAN MENTERI BESAR

YAB Menteri Besar mengatakan isu Tanah Gatco sudah selesai. Jumlah Peneroka di skim ini adalah 468. Mengikut kenyataan YAB menteri besar sebanyak 170 sudah setuju walaupun anggaran kamia dalah sekitar 120. Jika pengiraan YAB menteri besar itu adalah benar, maka ini bererti 298 tidak menerima tawaran ataupun 64% tidak setuju. Bagaimana YAB Menteri Besar boleh mengatakan masalah 40 tahun selesai apabila lebih separuh Penroka masih belum setuju.

2. SIAPAKAH R.PAPIYAH UNTUK MEWAKILI KESELURUHAN MASYAKARAT INDIA DI GATCO

Pada  15 Jun 2015, Majlis penyerahan Surat Tawaran dan Cabutan Undi Tanah Pertanian Kg. Serampang Indah, Mukim Serting Hilir, Jempol telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Utama Hj. Muhamad B. Haji Hasan,Menteri Besar Negeri Sembilan di Dewan Besar, Pejabat Tanah dan Daerah Jempol. Mengikut rakaman percakapan Menteri Besar mereka telah membuat keputusan penyerahan tanah seluas 4 ekar kepada peneroka asal dan 2 ekar kepada pembeli. Mengikut beliau kaedah penyelesaian ini adalah berdasarkan persetujuan En. R. Papiyah selaku ketua kaum India dan En. Hamran  Bin Hj. Mohamad Pengerusi JKK Kg.  Serampang Indah. Mengikut cara penyelesaian ini seramai 170 peneroka bersetuju  dengan kaedah ini. Dari jumlah ini, seramai 143 orang adalah peneroka asal dan 27 orang adalah pembeli.

Kenyataan Menteri Besar bahawa cara penyelesaian ini adalah mengikut persetujuan  pemimpin kaum India di Kg. Gatco iaitu En. R. Papiyah. Perkara yang menjadi isu di sini ialah siapakah Papiyah dan kenapa nama beliau digunakan untuk mewakili kesemua peneroka India di Kg. Gatco. Sedangkan seramai 140 peneroka tidak bersetuju dengan pembelian dan cara penyelesaian isu tanah ini seperti yang pernah diutarakan oleh MB pada tahun 2012. R. Papiyah tidak pernah berbincang dengan kumpulan 140 orang peneroka yang mencabar Syarikat Thamarai  di mahkamah. R. Papiyah juga tidak menerima pandangan  dan mengambil tahu keperluan dan kepentingan 140 orang peneroka ini.

Oleh itu, bagamaimanakah Menteri Besar boleh mengatakan bahawa Papiyah adalah pemimpin kaum India untuk mewakili kesemua peneroka di kg. Gatco ini. Memang Benar, Papiyah adalah seorang ketua cawangan MIC di Kg. Gatco di mana kebanyakkan ahlinya adalah sanak saudara dan kawan rapat lebih kurang 40 buah keluarga  yang sering mendapat keuntungan dan pelbagai bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan dan MIC dari masa kesemasa. Inilah kumpulan yang diwakili oleh R. Papiyah dan kumpulan yang member sokongan kepada beliau.

Sekiranya Menteri Besar, Kerajaan Negeri Sembilan ataupun PKNNS ingin menyelesaikan masalah tanah yang melibatkan 140 buah keluarga ini, pihak-pihak ini haruslah berbincang dengan jawatankuasa yang mewakili 140 buah keluarga peneroka. R. Papiyah tidak layak untuk mewakili 140 buah keluarga ini untuk membuat keputusan mengenai masalah tanah ataupun menentukan nasib keluarga peneroka ini.

3. PENYERAHAN TANAH OLEH THAMARAI KEPADA KERAJAAN NEGERI  ADALAH SATU MUSLIHAT MENIPU MENCABAR KEWIBAWAAN  MAHKAMAH

Bagaimana Thamarai boleh menyerahkan tanah ini kepada PKNNS sedangkan ketika keseluruhan tanah ini  iaitu lebih kurang 4000 berada dalam perbicaraan di mahkamah. Tambahan pula keputusan mahkamah  Rayuan pada 25 Februari 2014 yang telah memberi  laluan untuk kes tanah ini dirujuk dan dibicaraan semula di mahkamah Tinggi. Pihak Thamarai dan Singgam and Yong yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini  merayu semula di Mahkam Persekutuan. Dalam keadaan ini bagaimanakah Thamarai boleh menyerahkan tanah seluas 1206 ekar kepada kerajaan negeri. Tindakan pihak Thamarai dan pihak-pihak tertentu ini adalah seolah-olah mencabar kewibawaan mahkamah dan menghina Kuasa Mahkamah.

4. PENEBANGAN KAYU GETAH SECARA HARAM DARI LADANG GATCO

Penebangan pokok getah yang dilakukan oleh sekumpulan perompak yang dimulakan sejak 4 Mac 2015. Aktiviti kecurian kayu ini berlaku dengan giat sehingga ke hari ini. Walaupun peneroka menahan pencerobohan ini dan ratusan laporan polis telah telah dibuat oleh peneroka mengenai kejadian kecurian kayu ini, tetapi pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan malahan mereka memberi perlindungan kepada pencuri kayu dari Ladang Gatco.

Berhubung dengan isu penebangan kayu getah, Pihak Thamarai telah memberi pengakuan secara bertulis dalam suratnya yang bertarikh 3 April 2014 bahawa mereka tidak terlibat pengeluaran kayu tetapi mereka mengaku tanah tersebut adalah hak milik mereka. Pihak yang mengeluarkan kayu getah dari ladang Gatco memacakkan papan kenyataan bahawa tanah-tanah tersebut adalah tanah-tanah kerajaan dan kerajaan sedang  membersihkan kawasan ladang tersebut dan merompak kayu getah dari ladang tersebut. Kedua-dua pihak Thamarai dan PKNNS memutar belitkan isu dan fakta. Memang Nampak percangahan yang cukup jelas.

5.  KAMI BUKAN DIHASUT OLEH PEMBANGKANG

Kenyataan Menteri Besar yang  mengatakan bahawa 140 peneroka yang  mencabar Thamarai di mahkamah selalu difitnah sebagai pembangkang. Beliau juga mengatakan 140 keluarga peneroka ini mengikut cakap pembangkang dan termakan hasutan pembangkang ini adalah tuduhan yang tidak berasas. Di sini bukan soal pembangkang, tetapi sebalikny hak tanah peneroka yang cuba mempertahan dan memperjuangkan jumlah keluasan tanah yang sepatutnya mereka terima. Di kalangan 140 keluarga peneroka juga terdapat beberapa orang ketua cawangan MIC dan Penolong Ketua bahagian PPP bahagian jelebu yang merupakan komponen parti kerajaan. Setiap permohonan dan bantuan untuk medapatkan hak kami, kami selalu sampaikan kepada Mnteri Besar sendiri seperti yang kami buat pada 28 Mac 2012, 8 Ogos 2012. Bagaimana Menteri Besar boleh mengecapkan kami sebagai pembangkang.

6. TINDAKAN TERBURU-BURU PIHAK KERAJAAN NEGERI SEMBILAN MENIMBULKAN KESANGSIAN

Tindakan terburu-buru pihak kerajaan Negeri Sembilan membuat pengudian lot tanah, pemberian surat tawaran serta memberi tempoh masa dua bulan untuk peneroka yang lain untuk menerima tawaran tersebut  menimbulkan kesangsian. Malahan surat tawaran yang dikeluarkan juga tidak mencatatkan beberapa perkara penting seperti yang membawa kesangsian seperti:

1. Tidak mengandungi sebarang spesifikasi tentang pengagihan lot tanah

2. Tidak menyebut tentang jenis pertanian yang boleh dijalankan diatas tanah tersebut

3. Tiada penjelasan atau tujuan pemberian tanah ini diberi

4. Tidak juga menyebut, berapakah premium harus dibayar untuk tanah yang diagihkan

5. Jangkamasa atau tempoh sah Surat tawaran yang diberi

6. Tidak juga menyebut sebarang perkara tentang persetujuan yang diberi oleh Exco Kerajaan Negeri dalam pemberian Tanah ini.

Secara jelas kita boleh melihat bahawa surat tawaran yang diberi adalah hanya untuk melemahkan perjuangan peneroka untuk mendapatkan hak mereka.

Memandangkan tarikh perbicaraan di Mahkamah Persekutuan ialah pada 18 Ogos 2015, tetapi Menteri Besar mengumumkan bahawa tawaran ini hanya dibuka sehingga 15 Ogos 2015, perkara ini jelas menunjukkan pihak kerajaan cuba mendesak peneroka lain untuk menerima tawaran mereka. Sekiranya tidak, peneroka ini tidak akan dapat tanah.  Kenapa tidak Kerajaan Negeri memberi tempoh masa yang lebih iaitu sehingga selesai perbicaraan di Mahkamah Persekutuan. Sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak peneroka, bolehlah mereka memilih cadangan pihak kerajaan. Sekiranya peneroka menang, peluang untuk mendapatkan hak mereka seluas 8 ekar adalah cerah. Ataupun kenapa tidak Kerajaan Negeri berusaha untuk mendapatkan hak yang sepatut diterima oleh peneroka, iaitu 8 ekar.

7. PENEROKA GATCO SEDIA BERJUMPA MB TETAPI ADAKAH MB SEDIA BERJUMPA KAMI ?

Akhirkata kami Para peneroka sedia berjumpa dengan YAB Menteri Besar untuk duduk dan membincangkan isu ini secara terbuka dan mencari satu penyelesaian kepada masalah kami. Isu adalah YAB Menteri Besar menggunakan  agen luar untuk membuat keputusan tanpa perbincangan dengan kami. Kami bersedia berdialog dan kami berharap YAB Menteri Besar juga akan terbuka untuk mengadakan perjumpaa dengan kami.

Kenyataan dari:

Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Gatco

Maklumat lanjut : 019-2537791

Tanah & Perumahan