KENYATAAN PSM - 18 MAC 2016 - POLIS MEMBATALKAN KURSUS KILAT MARXISM !

18 March 2016

10pagi tadi, perwakilan PSM telah mengadakan satu perjumpaan dengan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Tuan ACP Zaini Che Din. PSM diketuai oleh Setiausaha Agung parti A.Sivarajan, Penyelaras Kursus Marxism S.Arutchelvan, AJK Pusat PSM Sdr V.Selvam dan dua orang lagi ahli PSM.

                                                                                   

ACP Zaini Che Din memaklumkan kepada perwakilan PSM bahawa polis tidak membenarkan Kursus Marxism yang dicadangkan diadakan pada 20hb. Mac 2016 atas sebab keselamatan awam. Beliau juga tidak memberikan sebarang notis secara hitam putih tetapi apabila ditanya undang-undang apa yang digunakan untuk membatalkan program ini, beliau mengatakan beliau menggunakan Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah (CPC). Beliau juga mengatakan bahawa terdapat 107 aduan polis telah dibuat keatas program anjuran PSM dan Polis juga akan membuat sekatan jalanraya ke lokasi tempat program tersebut. Beliau juga mencadangkan kemungkinan PSM boleh menganjurkan program sebegini di Universiti-universiti pada masa kelak.

 

PSM berpendirian bahawa

 

1.         Pembatalan program ini oleh pihak Polis adalah satu pencabulan kepada hak kami sebagai sebuah parti berdaftar menjalankan aktiviti-aktiviti dan merupakan satu pencabulan kepada hak kebebasan bersuara, berfikir dan berhimpun secara aman.

 

2.         PSM juga kecewa kerana pihak polis telah akur kepada pihak-pihak yang membuat bantahan terhadap kursus ini melalui aduan polis. Ini adalah satu preceden yang buruk dimana pihak-pihak lain boleh memobilisasi ratusan aduan polis untuk membatalkan sebuah program yang tidak melanggar sebarang undang-undang dan dibuat secara dalaman (indoor).

 

3.         Memandangkan pihak polis telah membatalkan program ini dan juga pihak KPN sebelum ini sudahpun mengugut akan mengambil tindakan keatas peserta yang menyertai program ini, maka Jawatankuasa Pusat PSM mengambil keputusan untuk membatalkan/menangguh kursus ini pada hari Ahad ini. Keputusan ini diambil demi untuk menjaga keselamatan 78 orang peserta yang sudahpun mendaftar untuk kursus ini.

 

4.         Selain daripada itu, PSM juga tidak mahu memberi sebarang alasan untuk pihak-pihak tertentu termasuk pihak polis untuk mengalihkan pandangan rakyat kepada isu ini memandangkan kami tahu ada isu-isu yang lebih besar melanda negara seperti isu rasuah, salahguna kuasa, krisis ekonomi dan perpecahan dalam parti pemerintah.  

 

5.         PSM juga dalam proses berbincang dengan Peguam dan bercadang menyaman Ketua Polis Negara kerana membuat fitnah bahawa Kursus ini adalah untuk menghidupkan fahaman komunis. Kenyataan KPN ini dibuat sebelum satu siasatan dibuat oleh polis dan juga kemungkinan besar bertanggungjawab atas aduan-aduan polis yang dibuat terhadap kursus ini. Untuk rekod, ini bukan kali pertama PSM menyaman Ketua Polis negara dimana pada tahun 2012, PSM telah menyaman KPN  kerana atas tuduhan yang lebihkurang sama iaitu PSM bercadang menghidupkan PKM dan berperang dengan yang Dipertuan Agung. PSM menang persetujuan di luar mahkamah dan dibayar RM 200,000 oleh Kerajaan Malaysia sebagai gantirugi.

 

6.         Kerajaan Malaysia mengadakan hubungan diplomatic dan perniagaan dengan semua negara Komunis malah parti-parti Komunis dari Cina, Vietnam dan Cuba juga dijemput oleh UMNO untuk setiap persidangan agung UMNO. Adakah tindakan ini satu langkah merestui fahaman komunis ? Mengapakah tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap UMNO ? Mengapakah IGP tidak mengeluarkan tweet apabila mereka direstui dan dijemput dengan tangan terbuka ? Bukankah ini hipokrasi ?. PSM cukup kecewa kerana alasan-alasan lama zaman perang dingin yang lapuk masih digunakan untuk membatalkan satu program ilmiah padahal Karl Marx telah dimartabatkan sebagai pemikir teragung zaman millinium oleh BBC online.

 

7.         PSM juga meminta maaf kepada para peserta yang sudahpun mendaftar untuk kursus ini. Pihak kami akan mencari jalan lain untuk menjalankan kursus ini contohnya melalui on-line dan sebagainya dan ia akan dimaklumkan pada masa terdekat ini. Memang terdapat ratusan ribuan tulisan mengenai Marxism dalam laman web dan juga buku-bukunya boleh dipinjam dari perpustakaan awam.        

 

Sebagai sebuah parti sosialis yang berdaftar, PSM mempunyai tanggungjawab menyebarkan fahaman dan idelogi sosialis di kalangan rakyat sebagai satu alternative kepada fahaman-fahaman ekonomi lain yang sedia ada. PSM berpendirian bahawa sistem kapitalis yang sedia ada membinasakan alam sekitar, memiskinkan majoriti rakyat demi kesejahteraan 1% yang maha kaya. Maka biarlah rakyat menilai samada PSM dan ideloginya relewan di negara kita. Rakyat tidak patut disekat hak untuk berfikir dan membuat keputusan mereka sendiri.

 

Bagi Pihak Jawatankuasa Pusat

 

 

S.Arutchelvan

Penyelaras Kursus Marxism Kilat

Ideologi