Resolusi Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke-18

7 June 2016

 Berakhirnya Kongres Nasional pada 5 Jun 2016 lalu di Shah Alam, telah diputuskan resolusi seperti berikut;

1. PSM menolak Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
2. PSM menuntut kepada kerajaan supaya membatalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan
(GST).
3. Kerajaan perlu laksanakan Tabung Pemberhentian Kerja.
4. Kerajaan harus menghapuskan sistem kontrak yang memangsakan dan memiskinkan pekerja.
5. Kerajaan harus melaksanakan gaji minimum RM1500.
6. Kerajaan harus mengeluarkan permit kerja kepada 2.5 juta pekerja migran tanpa dokumen dan menjamin hak pekerja migran. Hentikan pengambilan pekerja migran yang baru.
7. Miliknegarakan semula kemudahan asas yang sudah diswastakan, seperti bekalan air, elektrik, pendidikan dan sebagainya.
- Hentikan segala usaha memperbadankan/menswastakan hospital kerajaan.
- Hospital kerajaan tidak patut mengenakan bayaran tinggi sehingga membebankan lagi rakyat.
8. Tolak diskriminasi terhadap pekerja migran yang berdokumen sah dan tanpa dokumen dalam sektor kesihatan awam.
9. Laksanakan pendidikan percuma untuk semua rakyat sehingga ke tahap universiti. Hapuskan PTPTN. Kerajaan harus menyekat peningkatan jumlah kolej swasta yang bermotifkan keuntungan.
10. Kerajaan harus membela nasib petani yang menjadi mangsa pembangunan.
11. Kerajaan harus melaksanakan skim pencen untuk semua rakyat yang menjangkau usia persaraan.
12. Kerajaan harus memastikan harga rumah berada di paras yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh rakyat miskin.
13. Hentikan projek-projek yang memusnahkan alam sekitar, seperti lombong bauksit, loji penjanaan kuasa nuklear, penambakan laut, pembinaan Lebuhraya EKVE yang menjejaskan kawasan tadahan air dan hutan simpanan, dan sebagainya. Kerajaan harus ambil serius tentang ancaman perubahan iklim dan pencemaran alam sekitar seperti jerebu yang berulang-ulang setiap tahun.
14. PSM mengecam tindakan kerajaan negeri Sarawak yang menghalang kemasukan aktivis politik dari Semenanjung secara selektif. Halangan imigresen yang berunsur politik perlu dihentikan.
15. Mansuhkan undang-undang yang diskriminasi gender dan orientasi seksualiti. Jamin hak asasi manusia dan maruah semua orang termasuk golongan LGBT.
16. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus bersikap adil, berkecuali dan tegas dalam memastikan pilihanraya yang adil dan bersih. Kurangkan umur layak mengundi di negara kita kepada 18 tahun.
17. Kerajaan Persekutuan dan semua kerajaan negeri (termasuk kerajaan Pakatan Harapan) perlu menghapuskan tol di lebuhraya.
18. Tingkatkan pengangkutan awam. Perlu perluaskan pengangkutan awam ke kawasan pendalaman secara percuma. Harga tambang pengangkutan awam perlu diturunkan.
19. Kerajaan Malaysia harus menandatangani dan mengesahkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terhadap Penderaan.
20. Mansuhkan akta-akta yang zalim yang menyekat hak asasi manusia dan menghakis ruang demokrasi, termasuk Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Majlis Keselamatan Negara, Akta Pencegahan Keganasan (POTA), Akta Kesalahan Keselamatan (SOSMA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan sebagainya.
21. Pihak polis perlu hentikan amalan “tukar gari” (penangkapan berulang ke atas seseorang dengan alasan pertuduhan berlainan).
22. Kerajaan harus mengambil langkah untuk mengawal inflasi. Harga barangan runcit dan harga makanan di kedai makanan harus dikurangkan.
23. Kerajaan perlu mengambil langkah untuk membantu peniaga kecil semasa krisis ekonomi dengan mengurangkan kerenah birokrasi.
24. Kerajaan harus meningkatkan jumlah wang untuk bantuan kebajikan kepada golongan OKU.
25. Hentikan politik perkauman.

 

Kongres PSM