Kurangkan beban kami! Ambil Alih Penyelenggaraan Flat Kos Rendah!

Kurangkan beban kami! Ambil Alih Penyelenggaraan Flat Kos Rendah!

11 October 2016

Kenyataan Akhbar Hari Habitat

8 Oktober 2016

 

KURANGKAN BEBAN KAMI !

AMBILALIH PENYELENGARAN FLAT KOS RENDAH

 

Sempena dengan Hari Habitat Sedunia yang jatuh pada 3hb Oktober 2016, Jawatankuasa Bertindak Flats Kos Rendah Hulu Langat ingin mengambil kesempatan untuk mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa perumahan adalah keperluan asas yang penting untuk setiap lapisan masyarakat. Ianya adalah tanggungjawab kerajaan dan semua pihak yang terlibat untuk mewujudkan perumahan yang selesa dan mampu milik untuk semua golongan masyarakat khasnya masyarakat miskin dan golongan yang berpendapatan rendah. 

 

Hak Perumahan Hak Semua !

Perumahan selesa adalah hak asasi yang diiktiraf di dalam Artikel 25 (1) Deklarasi hak Asasi Sejagat 1948, oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). 

 

Namun, di Malaysia, ramai  mempunyai masalah untuk memiliki sebuah rumah kerana harga rumah yang melambung tinggi dan gaji yang rendah.  Pada tahun 2015, Khazanah Research Institute mendedahkan bahawa harga rumah yang tinggi di Malaysia menyebabkan rakyat biasa tidak mampu memiliki rumah. 

 

Jika mereka yang berpendapatan rendah diberi peluang memiliki rumah, apa yang ditawarkan kepada mereka adalah flat kos rendah dimana wujudnya banyak masalah yang menyebabkan rumah flats tidak sesuai untuk dihuni. 

 

Masalah Flats Kos Rendah

Masalah utama yang sering berlaku di Flats Kos Rendah adalah isu penyelenggaraan, di mana penduduk sendiri perlu bayar sejumlah wang untuk menyelenggara flats dan kawasan bersama (common area) di flats. Manakala di taman perumahan mahupun di lot banglo penyelenggaraan kawasan sekitar rumah dijalankan oleh Majlis Tempatan. Jadi, jawatankuasa flats iaitu Joint Management Body (JMB) terpaksa menghadapi pelbagai kerumitan terutamanya dalam mengutip wang penyelenggaran daripada penghuni flats. Ini menyebabkan keadaaan flats yang tidak terjaga dan uzur. Selain itu, wang yang dikutip ini tidak mencukupi untuk menampung kos sekiranya berlaku kerosakan besar seperti bumbung bocor dan penyelenggaran bangunan. 

 

Kemudahan asas di flats kos rendah juga merupakan satu lagi masalah. Kebanyakan flats tidak mempunyai tempat membuang sampah yang baik, tiada dewan serbaguna untuk menjalankan aktiviti, taman permainan yang uzur, tempat letak kereta yang tidak mencukupi dan pejabat untuk JMB beroperasi. 

 

Tambahan pula, sesebuah JMB memerlukan kos/dana yang tinggi ia perlu membayar yuran insurans dan audit akaun. Bukan itu sahaja, penghuni flats kos rendah juga mengalami kesusahan dalam mendapatkan hak milik strata  kerana isu perundangan yang rumit (Akta Hakmilik Strata 1985). Ini merupakan masalah bagi flats-flats yang lama sebelum pindaan kepada akta tersebut pada tahun 2013. 

 

Tuntutan Penghuni FLAT Kos Rendah

Maka penghuni-penghuni Flats Kos Rendah telah menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Flats untuk mengutarakan  tuntutan bagi menangani masalah yang dihadapi:

Tuntutan tersebut adalah:

§  Penghuni Flat Kos Rendah hanya membayar dua jenis cukai iaitu cukai Tanah (setahun sekali) dan cukai Pintu ( 6 bulan sekali) sepertimana rumah teres kos rendah.
Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah.

§  Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihan corridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dalam kawasan flat dan jalanraya dalam kawasan flat.

2.         Kutipan untuk bayaran bil bagi pengunnaan lampu corridor flat dan air yang digunakansecara bersama harus dimasukkan dalam bil eletrik dan air secara purata dalam bil masing-masing (semua penghuni).

 

3.         Satu peruntukan tahunan seperti Rukun Tetangga diberikan kepada JMB untuk membolehkan mereka melakukan aktiviti sosial dan kebajikan untuk semua penghuni flats demi untuk mewujudkan masyarakat yang lebih bersatu padu. JMBjuga harus dibuka kepada semua penghuni termasuk mereka yang menyewa untuk membolehkan mereka memainkan peranan yang penting dan menyumbang kepada pembangunan flat tersebut.

 

4.         Setiap flat kos rendah wajib mempunyai kawasan dewan serbaguna atau bilik aktiviti untuk masyarakat dimana dewan itu  boleh diuruskan oleh JMB. Jika tiada, maka Kerajaan perlu membina kemudahan tersebut. 

 

5.         Mewujudkan tempat perniagaan dan peluang perniagaan dikawasan flat secara teratur dan tersusun untuk membolehkan masyakarat di flats tersebut terlibat dalam aktiviti mikro ekonomi. Sewa boleh dibayar kepada JMB dan wang ini boleh digunakan untuk mmenyelenggarakan pejabat dan ahli sepenuh masa.

 

6.        Insuran tahunan dan audit tahunan adalah terlalu tinggi dan             pihak JMB tidak boleh membiayainya. Maka dicadangkan proses audit dilakukan melalui satu syarikat audit yang dilantik oleh COB dengan bayaran yuran yang terendah. Syarikat insurans juga diletak di bawah pengawasan COB agar perkhidmatan mereka adalah baik dengan bayaran yang            munasabah.

 Dikeluarkan oleh,

Jawatankuasa Bertindak Flats Kos Rendah Hulu Langat

8 Oktober 2016

Rumah Kos Rendah