Pendirian Berprinsip Terhadap RUU 355

24 November 2016

  1. Adalah hak tiap komuniti di Malaysia untuk menentukan kaedah komuniti itu ingin mengamalkan agamanya. Tetapi tiap komuniti juga bertanggungjawab untuk memastikan amalan agamanya tidak menjejas atau menyekat hak-hak komuniti- komuniti lain.

 

  1. Berdasarkan pada prinsip (1), jika masyarakat Islam di Malaysia percaya memperkasakan kuasa Mahkamah Syarie adalah sebahagian pada tanggungjawab mereka sebagai Umat Islam, komuniti lain harus mengelak daripada menghalang mereka.

 

  1. Komuniti-komuniti bukan Islam berhak untuk
  • Diberitahu implikasi kelulusan RUU 355 terhadap mereka;
  • Memohon hak dan kebebasan mereka tidak terjejas
  • Memohon mekanisme yang boleh mengendalikan pertindihan antara system Syarie dan system Sivil secara yang adil dan lancar jika berlakunya pertindihan.

 

  1. Proponen RUU 355 harus sedar bahawa komuniti-komuniti bukan Islam khuatir hak mereka akan dicabuli. Perasaan khuatir ini adalah berkaitan dengan beberapa insiden dan isu yang telah bertimbul sebelum ini umpamanya
  • Kes Indira Gandhi di mana suaminya dibenarkan oleh system Syarie untuk menukarkan agama anak mereka tanpa pengetahuan dan izin Indira;
  • Kes Kalimah Allah;
  • Masalah yang dihadapi oleh mereka yang ingin membetulkan tafsiran mereka sebagai Muslim dalam kad pengenalan kerana mereka telah mengamalkan agama yang lain sejak kecil;
  • Insiden-insiden rampasan mayat oleh Jabatan Agama;
  • Dan lain lagi.

 

  1. Proponen RUU 355 juga harus sedar bahawa adanya orang beragama Islam yang khuatir pemerkasaan kuasa mahkamah Syariah akan menyusahkan mereka. Mereka khuatir institusi agama Islam yang wujud sekarang belum cukup matang untuk mengendalikan kepelbagaian dalam kefahaman agama dalam masyarakat Islam di Malaysia. Mereka takut mereka akan ditekan dan dianiyayai jika pindaan RUU 355 diluluskan.

 

  1. Antara keraguan mereka adalah kemungkinan Fasal 23 dalam Enakmen Hudud Kelantan berkaitan Irtidad akan diperbolehkan oleh RUU 355. Mengikut fasal ini sesiapa yang dengan sengaja, tanpa dipaksa melakukan sesuatu ataupun mengatakan sesuatu yang bertentangan dengan Rukun Islam, Rukun Imam atau perkara Halal/Haram akan dianggap seorang yang melakukan kesalahan Irtitad dan boleh dipenjarakan untuk jangka masa seperti ditentukan oleh Mahkamah Syariah dan hartanya boleh dirampas. 

Ada orang beragama Islam yang rasa definasi Irtidad adalah terlalu longgar dan mungkin akan membawa kepada penindasan terhadap mereka yang berlainan sedikit dalam fahaman.

 

  1. Cara yang terbaik untuk mengendalikan kekhuatiran dan keraguan yang digariskan di poin 4, 5 dan 6 adalah melalui perbincangan. Beberapa antara perkara yang disentuh boleh diselesaikan jika kita duduk berbincang.

 

  1. Oleh kerana ini, saya telah pada 22/9/16, mengemukakan satu Usul untuk menunda pengundian terhadap RUU 355 supaya proses penerangan dan perbincangan boleh dilaksanakan. Malangnya, Usul saya ditolak oleh Yang Di Pertua Dewan.

 

  1. PSM berpendapat bahawa keputusan membawa RUU 355 ke Dewan Rakyat untuk diundi tanpa mengadakan proses perbincangan yang mendalam terlebih dahulu adalah satu tindakan kurang bertanggungjawab yang berpotensi memecahkan masyarakat majemuk kita. PSM berpendapat keputusan untuk memaksa pengundian terhadap Usul ini adalah didorong oleh keperluan politik kolompok tertinggi di UMNO.

 

  1. PSM menyeru rakyat Malaysia untuk bertenang. Rakyat Malaysia harus berkerjasama untuk memastikan permainan politik UMNO tidak menyebabkan ketegangan di antara kaum dan agama di Malaysia.

 

  1. Rakyat Malaysia harus memahami prosesnya -
  • Jika Usul Dato Seri Hadi menerima 51% undi dalam sesi pengundian, RUU 355 akan dirujuk ke suatu jawatankuasa khas yang akan mengubahsuai dan membaikinya.
  • Komuniti bukan Islam mempunyai hak untuk memohon perbincangan dengan jawatankuasa tersebut untuk mengemukakan kekhuatiran yang kita ada.
  • Perbahasan terhadap RUU 355 tidak akan berlangsung pada sesi parlimen ini. Bacaan kedua mungkin akan berlaku pada sesi parlimen yang lain.
  • Kelulusan RUU 355 tidak akan membawa pada pemotongan tangan.

 

  1. Rakyat Malaysia harus memaham bahawa pihak atasan sentiasa mencuba untuk memecahkan kita supaya mereka dapat terus tadbir. Pihak penjajah British telah memakai perkauman untuk memecahkan perpaduan rakyat yang berjuang untuk Merdeka. Elit UMNO sedang cuba memakai agama untuk memecahkan kita dan terus berkuasa. Kita harus berbincang isu ini, tetapi kita mesti berjaga-jaga hujah kita tidak menyakiti hati pihak-pihak lain. Ini tanggungjawab kita semua. Dan jika pemimpin parti-parti politik memakai perkataan yang boleh menyakiti pihak lain, kita bertanggungjawab untuk menegur dan hentikan mereka.         

 

Dr Jeyakumar Devaraj (PSM)

Ahli Parlimen Sg Siput

23/11/2016

 

Agama, RUU355