Memorandum Bantahan Atas Tindakan Jabatan Perhutanan kepada Tanah Adat dan Adat Resam Orang Asli Gua Musang Kelantan

Memorandum Bantahan Atas Tindakan Jabatan Perhutanan kepada Tanah Adat dan Adat Resam Orang Asli Gua Musang Kelantan

1 March 2017

 

 

 

Kami dari Kg2 Orang Asli dan organisasi masyarakat sivil , parti politik dan juga rakyat prihatin mengemukakan bantahan terhadap tindakan kejam dan biadap Jabatan Perhutanan keatas Orang Asli Semenanjung Malaysia.

 

Pada 23hb.Januari 2017 dan pada 6hb.Februari, 2017 yang lalu , Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menjalankan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Perhutanan merobohkan blockade yang didirikan oleh Orang Asli demi mempertahankan kemusnahan hasil hutan  mereka yang telah mereka pelihara dan bergantung sejak beberapa ratus tahun yang dulu.

 

Melalui kenyataan akhbar Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) bertarikh 24/1/2017, kami difahamkan bahawa Operasi bersepadu tersebut  turut dibantu oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Batalion 8 Pasukan Gerak Am (PGA) Pengkalan Chepa, Kelantan dan pasukan Polis DiRaja Malaysia Kelantan.

 

JPNK memberikan alasan bahawa blokckade- blockade yang didirikan oleh Orang Asli adalah dalam kawasan Hutan Simpana Kekal di kompartmen 245 Hutan Simpan Balah, kompartmen 260 Hutan Simpan Perias dan kompartmen 27 Hutan Simpan G. Stong Selatan.

Jabatan Perhutanan mengatakan bahawa, blockade tersebut yang didirikan melanggar Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) kerana status kawasan yang didirikan halangan (blockade) dan pondok-pondok adalah merupakan kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal dan bukannya kawasan perkampungan mereka yang sebenarnya.

 

Jabatan Perhutanan Bermaharajalela dengan Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993)

 

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan dengan restu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, nampaknya bermaharajalela dengan Akta 313, Akta Perhutanan Negara 1984. Tidak kah mereka sedar bahawa semua Akta perlu patuh dan harus selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, 1957? Tiada mana-mana Jabatan Kerajaan Persekutuan atau Negeri yang boleh bertindak atau membentuk mana-mana perundangan, polisi dan mengeluarkan lesen pengeluaran hasil hutan yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan peruntukkan khas kepada Orang Asli dibawah Artikel 8. Kesamarataan (Equality) dimana 8(1) Semua orang adalah sama rata disisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata disisi undang –undang

 

Perkara 8(5)(c) mengangkat hak khas kepada Orang Asli dengan menyatakan bahawa

 

“Perkara ini tidak menidaksahkan atau melarang (c) apa-apa peruntukkan bagi perlindungan, kesentosaan atau pemajuan orang asli Semenanjung Tanah Melayu( termasuk perizaban tanah) atau bagi perizaban bagi orang asli suatu perkadaran yang munasabah daripada jawatan-jawatan yang sesuai dalam perkhidmatn awam.

 

(any provision for the protection, well being or advancement of the aboriginal peoples of the Malay Peninsular(including the reservation of land) or the reservation to aborigines of reasonable proportion of suitable positions in public service)

 

Perlu ditegaskan bahawa Perlembagaan Persekutuan mengatasi kuasa Undang-undang statutori dan undang-undang am (The Constitution supersedes both statutory law and the common law ).

 

Tindakan Jabatan Perhutanan yang bertentangan dengan Akta Orang Asli  1954 (Akta 134)

 

Tambahannya pula , menurut Perenggan 2 (iii & iv), Seksyen 6 (Kawasan OA), Akta Orang Asli  1954 (Akta 134); telah jelas dinyatakan bahawa:

 

(iii)       tiada tanah boleh diberi hakmilik, diberikan, dipajakkan atau selainnya dilupuskan

kepada orang yang bukan orang asli yang biasanya bermastautin di dalam kawasan

orang asli itu atau kepada mana-mana perusahaan komersial tanpa berunding dengan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli ; dan

 

(iv)       tiada lesen bagi pemungutan hasil hutan di bawah mana-mana undang-undang

 

bertulis yang berhubungan dengan hutan boleh dikeluarkan kepada orang yang bukan orang asli yang biasanya bermastautin di dalam kawasan orang asli itu atau kepada mana-mana perusahaan komersial tanpa berunding dengan Ketua Pengarah dan dalam memberikan apa-apa lesen sedemikian bolehlah diperintahkan supaya suatu kadar tertentu buruh orang asli diambil kerja.

 

Jelas melalui Akta OA 1954 seperti di atas bahawa pajakan pembalakan tidak boleh diberikan tanpa kelulusan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.   Jika Ketua Pengarah sendiri bersetuju untuk permit pembalakan, bagaimanakah beliau boleh memberikan kelulusan tanpa berunding dengan penduduk OA di situ?

 

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan bertindak melanggari Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan , 1957.

 

Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan juga melanggari peruntukkan Artikel 77 Perlembagaan Persekutuan dimana “ Badan Perundangan sesuatu Negeri berkuasa membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang tidak disebut satu persatu dalam mana-mana senarai yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, iaitu yang bukan suatu perkara yang berkenaan dengannya Parlimen berkuasa membuat undang-undang. “ bermaksud  oleh kerana kebajikan Orang asli disenaraikan dalam perkara 16 (Jadual Kesembilan) senarai Persekutuan, maka pihak Kerajaan Negeri atau Jabatan Perhutanan Negeri tiada kuasa untuk membuat apajua tindakan yang bercanggah atau menjejaskan bidang kuasa Kerajaan Persekutuan ini .

 

Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Perhutanan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan ini jelas telah menjejaskan kebajikan, cara hidup dan adat resam Orang Asli dan juga pada 6hb.Februari , 2017apabila semua pondok TERMASUK BALAI ADATyang didirikan oleh Orang Asli dirobohkan dengan bulldozer dan dibakar!

 

Jabatan Perhutanan memperlekehkan Orang Asli

Kenyataan media Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan yang menyatakan bahawa “blockade tersebut yang didirikan melanggar Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) kerana status kawasan yang didirikan halangan (blockade) dan pondok-pondok adalah merupakan kawasan berstatus Hutan Simpanan Kekal dan bukannya kawasan perkampungan mereka yang sebenarnya”  merupakan satu kenyataan yang bersifat jahil ! 

 

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan nampaknya tidak faham atau secara sengaja menafikan cara hidup Orang Asli yang telah hidup berturun temurun merayau dihutan sekeliling kampong penempatan mereka untuk mencari produk hutan. Tanah adat Orang Asli bukan sahaja setakat perkampungan mereka tetapi merangkumi semua tanah yang digunakan sebagai hutan rayau, termasuk kubur nenek moyang yang diwujudkan beratus tahun dahulu.

 

HS Balah dan HS G Stong Selatan merupakan kawasan kediaman OA. Memecahkan kedua-dua HS tersebut mengikut kompatmen dan kemudian menuduh OA tidak mendiami mana-mana kompatmen menunjukkan perbuatan terdesak JPNK untuk menghalalkan pembalakan

 

Jabatan Perhutanan Salahguna Kuasa Penahanan yang diperuntukkan dalam Perkara 88, Akta Perhutanan Negara, 1984.

Penahanan seramai 54 Orang Asli oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan yang telah dibuat pada 29hb.November,2016 dan penahanan seterusnya pada bulan Januari , 2017 semasa blokckade dirobohkan merupakan suatu penyalahgunaan kuasa. Peruntukkan kuasa penahanan Perkara 88, Akta Perhutanan Negara, 1984 menyatakan dibahawa

 

Kuasa menangkap, menyita dan menyiasat 88.

 

(1) Seorang pegawai hutan yang berpangkat tidak rendah daripada Pengawas Hutan atau seseorang pegawai polis boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang dia mempunyai alasan untuk mempercayai telah melakukan suatu kesalahan hutan, jika orang itu enggan menyatakan nama dan alamatnya atau menyatakan suatu alamat di luar Malaysia atau terdapat alasan yang munasabah bagi mempercayai bahawa dia telah menyatakan nama palsu atau alamat palsu atau dia mungkin akan melarikan diri; dan boleh menyita apa-apa benda yang difikirkannya perlu disita berhubungan dengan keterangan yang perlu bagi membuktikan berlakunya mana-mana kesalahan itu.”

 

Adalah jelas ianya untuk orang luar yang mungkin  akan mencuri dan melarikan diri hasil hutan dan sebagainya.  Bagaimanakah Orang Asli yang telah tinggal dihutan tersebut beratus tahun lamanya sebagai penjaga hutan sanggup diklasifikasikan sebagai “orang yang enggan menyatakan nama dan alamatnya atau menyatakan suatu alamat di luar Malaysia atau terdapat alasan yang munasabah bagi mempercayai bahawa dia telah menyatakan nama palsu atau alamat palsu atau dia mungkin akan melarikan diri;oleh pegawai Jabatan Hutan !

 

Melalui kenyataan akhbar pada 24/1/2017, JPNK cuba menjustifikasi penangkapan OA dengan merujuk kepada penangkapan 2 orang bukan OA (pemberita) akibat pencerobohan HS Galas. Kami berpendapat JPNK keliru akan apa yang sedang berlaku di kawasan blockade. Di kawasan blockade, isunya ialah berkenaan OA yang tidak bersetuju dengan tindakan JPNK memberikan permit membalak tetapi bukan berkenaan OA bertindak menceroboh hutan.

 

 

Kami juga berharap JPNK dapat membuktikan kenyataan mereka bahawa blokade telah menjejaskan aktiviti ekonomi harian OA dari kawasan itu. Kami percaya JPNK sudah tertipu dengan beberapa individu OA yang mengelar diri mereka sebagai wakil komuniti OA blokade tetapi memberikan gambaran salah terhadap apa yang sedang berlaku di kawasan blokade. Individu ini juga kekadang memegang jawatan Batin dan Penghulu JAKOA. JPNK boleh mendapatkan gambaran yang lebih jelas dari wakil-wakil Jaringan Kampung OA Semenanjung Malaysia (JKOASM) yang mempunyai wakil OA yang tinggal dalam komuniti OA blokade.

 

 

Justeru itu, kami hadir ke Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menuntut agar ;

 

1.      Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Kelantan menghentikan dengan segera segala tindakan/Operasi keatas Orang Asli yang mendirikan blockade di hutan Gua Musang.

 

2.      Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8(5)(c ) yang memberikan hak istimewa kepada Orang Asli terutamanya dalam isu perizaban tanah dan tanggungjawab menjaga kebajikan Orang Asli yang jatuh dibawah perkara 16 (Jadual Kesembilan) senarai Persekutuan , maka pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia harus nasihati JPNK untuk patuh kepada skop kuasa Persekutuan ini dan tidak tunduk kepada kemahuan pembalak dan kerajaan negeri Kelantan.

 

3.      Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia menghentikan segala tindakan penguatkuasaan dan membatalkan segala lesen/permit pengeluaran kayu balak dan hasil hutan sehingga pengazetan rizab Orang Asli dilaksanakan selaras dengan Akta Akta Orang Asli, 1954, Aborginal Peoples Act, 1954 ( Akta 134) dimana pihak Kerajaan Negeri seharus boleh mengazetkan kawasan yang diduduki oleh Orang Asli sebagai kawasan Orang Asli dan kawasan simpanan ‘reserve’, Seksyen 6 dan 7. 

  

4.      JPSM dan JPNK berhenti menipu masyarakat Malaysia dengan alasan bahawa:

a.      OA yang sedang membuat blokade di hutan Gua Musang sedang dipengaruhi oleh orang luar

b.      Kebanyakkan OA di hutan Gua Musang menyokong pembalakan

c.       Sokongan OA kepada blokade telah semakin berkurangan

Bolehkah JPSM & JPNK menafikan ribuan tandatangan OA di kawasan blokade yang menyokong blokade?

 

Sekian,

Orang Asli