Alternatif Kiri Pilihan Rakyat

Alternatif Kiri untuk PRU14

8 May 2017

Walaupun Parti Sosialis Malaysia (PSM) masih merupakan sebuah parti yang sangat kecil, tetapi PSM sentiasa menggunakan sumber yang terhad dalam parti untuk melakukan kerja-kerja akar umbi, membina kuasa rakyat dari bawah untuk membawa perubahan sosial yang bermakna kepada rakyat marhaen, dan mengemukakan visi politik kiri untuk membina sebuah masyarakat yang adil serta sejahtera untuk semua.

PSM bukannya parti yang bermusimkan pilihanraya. PSM sentiasa berkhidmat untuk rakyat akar umbi yang memerlukan bantuan dan mengatur perjuangan untuk menuntut hak rakyat, tanpa mengharapkan undi semasa pilihanraya. Agenda politik PSM amat jelas, iaitu memperkasakan rakyat untuk memperjuangkan masyarakat yang benar-benar bebas, demokratik, adil dan sejahtera. Hanya rakyat yang sedar dan berorganisasi secara demokratik dari bawah, barulah kita boleh mewujudkan perubahan sosial yang dapat mengembalikan kuasa kepada rakyat dan mewujudkan susunan sosio-ekonomi yang adil lagi saksama.

Penglibatan PSM dalam pilihanraya berhasrat untuk mengangkat aspirasi rakyat marhaen dan visi masyarakat alternatif yang berasaskan prinsip kesamarataan, keadilan sosial dan persaudaraan sesama manusia. Sama ada menang atau kalah, PSM tetap akan memperjuangkan nasib rakyat marhaen. Namun, kemenangan yang membolehkan wakil rakyat PSM memasuki Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN), pastinya akan memberangsangkan lagi usaha perjuangan rakyat marhaen.

PSM juga bersedia menawarkan calon pilihanraya yang berkualiti, iaitu calon yang bersih, berani, berprinsip dan berjiwa rakyat. Sekarang ini, PSM mempunyai seorang ahli parlimen sahaja dalam Dewan Rakyat, tetapi ahli parlimen PSM, Dr. Jeyakumar Devaraj PSM, telah menunjukkan teladan wakil rakyat berhaluan kiri yang bermutu tinggi, dan melakukan banyak usaha untuk memperjuangkan kepentingan rakyat marhaen. Bayangkanlah kalau kita ada lebih ramai lagi wakil rakyat PSM, semestinya akan membawa lebih impak kepada politik negara kita yang masih didominasi golongan elit politikus pada takat ini.

Perwakilan politik kiri dalam Parlimen dan DUN boleh menjadi pelengkap kepada perjuangan rakyat untuk perubahan dasar. Namun, tanpa mobilisasi dan gerakan perjuangan rakyat yang mantap, apa-apa perwakilan politik kiri dalam Parlimen pun tidak akan dapat membawa perubahan yang bermakna.

=======================================

PSM perlukan sumbangan kewangan untuk membiayai gerak kerja parti dan membina kuasa rakyat. Sumbangan ikhlas boleh disalurkan kepada:
Nama akaun: Parti Sosialis Malaysia
No akaun: 512080337313
Alamat bank: Maybank Subang Perdana, Subang, Selangor, Malaysia
Swift Code: MBBEMYKL

Sikiranya ada pertanyaan, sila hubungi [email protected] atau WhatsApp 016 2290460.