Undi PSM Buat Apa

Undi PSM Buat Apa

25 October 2017

Undi PSM buat apa, bukan boleh tubuh kerajaan pun? Ketika artikel ini ditulis, PSM baru sahaja selesai mengadakan jelajah memperkenalkan calon pilihanraya untuk negeri Perak dan Pahang. Kini jelajah bersambung ke negeri Selangor dan bakal merebak pula ke negerinegeri seterusnya. Banyak maklumbalas positif dan negatif hasil daripada jelajah ini. Banyak pujian, sokongan moral serta banyak juga cacian dan serangan label. Pujian atau cacian tidak pernah menjadi faktor kepada gerak kerja PSM untuk berkhidmat kepada rakyat. Biarlah dipuji setinggi langit mahupun dicaci seteruk mana pun, kerja tetap jalan seperti biasa. Membawa nama sosialis sebagai entiti pergerakan bukan perkara mudah. Ada pemerintah yang sentiasa memprovokasi, ada agamawan yang sedia setset fatwa hafalannya untuk dihambur, bahkan di kalangan sama-sama "kidal" pun cemuhan diberikan kerana merasakan PSM bukanlah kidal yang tulen. Kalaulah para penggerak parti ini jenis terasa hati, termakan dengan kata-kata dan kejian luar, nescaya tidaklah parti ini melangkah ke tahun yang ke-19nya. Khidmat demi khidmat menjaga kebajikan dan melawan penindasan membuatkan masyarakat makin boleh menerima dan memberikan keyakinan terhadap perjuangan sosialis. Penerimaan itu membawa kepada fasa baru, iaitu kesanggupan parti membawa suara rakyat di badan perundangan negara dan negeri. Maka melangkahlah PSM ke medan pilihanraya. Setelah berkali-kali dunia sosialis tanah air dihempas ombak dan tenggelam timbul samada dari serangan luar mahupun kehilangan keyakinan penggerak sendiri dengan nama sosialis yang berhantu itu akhirnya sosialis muncul semula di persada politik negara. Beberapa siri pilihanraya umum yang lalu disertai PSM dengan mengadakan pakatan pilihanraya bersama parti-parti pembangkang. Setelah pengkhianatan dan pembulian serta pembawakan politik parti pembangkang yang saling tak tumpah seperti seteru mereka, maka perwakilan dan delegasi PSM membawa haluan parti untuk menyertai pilihanraya umum kali ini dengan berdiri atas kaki sendiri dan bertanding lebih banyak kerusi. Katakanlah PSM menang semua kerusi yang ditandingi, apakah boleh tubuhkan kerajaan? Jawapannya ya. Kerajaan baru dengan pembawaan politik sihat dan berlumba-lumba memberi khidmat dapat ditubuhkan. Tetapi bukan pilihanraya ini. Perubahan itu satu proses, ia bukan seperti mimpi yang hanya perlu bermodal tidur dan dengkur lalu segalanya menjadi indah dan mudah. Sengaja saya selitkan sejarah parti untuk menunjukkan bagaimana parti ini maju dari masa ke semasa. Melangkah dari fasa ke fasa. Dari era "taboo" dan tak boleh disebut ibarat Voldermort sehinggalah bertanding atas kekuatan sendiri. Ini semua proses untuk membawa kepada perubahan. Teras kepada proses ini adalah berkhidmat kepada rakyat. Maka jawab kembali soalan itu, apakah dengan mengundi PSM pilihanraya kali ini, lalu para Wakil Rakyat itu nanti konsisten untuk berkhidmat dengan jujur dan telus, mengisytihar harta tahunan sebagai insiatif menolak rasuah, menghadapi isu-isu dengan prinsip dan bermaruah tidakkah pada pilihanraya-pilihanraya akan datang dengan pertambahan jumlah kerusi bertanding memungkinkan terbinanya sebuah kerajaan? Oh lambat lagi, baik "menangkan" pembangkang yang dah "ready" (bersedia) ambilalih kerajaan sekarang. Ya benar lambat lagi, memang perjuangan seperti ini tidak mengghairahkan mereka yang mengidap ejakulasi pramatang yang sentiasa mahukan segalanya segera. Ya boleh menangkan pembangkang sekarang ini. Dalam keadaan pembangkang agak kuat ketika 2008 dan 2013 pun masih belum bersemayam di Putrajaya, inikan pula saat selemah ini, menangkah nanti? Ya, pembangkang kononnya dah bersedia untuk ganti kerajaan sekarang. Lihatlah persiapan mereka, kerusi-kerusi adalah milik parti di mana ia diisi oleh anak bini menantu dan kroni. Bukanlah perkara aib untuk lompat dan lobi wakil rakyat lain melompat parti. Kerusi juga sewenangnya boleh dikosongkan demi komplot merebut kekuasaan dengan langkah ini dan itu. Mereka dah bersedia dengan mengumpul kekayaan luar biasa dan bermewah. Cara mereka bersedia punyalah sama sehingga tak ada beza dengan kerajaan sedia ada. Apa yang berubah jika menang nanti hanyalah jenama. Jika itu perubahan yang dimahukan, silakan.

 Nik Aziz Afiq

Sosialis

Related Articles