PSM dapat tambah nilai pada sistem politik Malaysia

PSM dapat tambah nilai pada sistem politik Malaysia

25 October 2017

Parti Sosialis Malaysia (PSM) melancarkan Kempen Jelajah PSM untuk memperkenalkan program PSM kepada lebih ramai rakyat. Hasrat PSM adalah untuk menyampaikan pada rakyat Malaysia bahawa betapa pentingnya kehadiran parti politik berideologi sosialis di arena politik Malaysia. Saya ingin menghuraikan 5 cara utama penglibatan PSM di politik Malaysia menambahkan nilai kepada proses politik di Malaysia.

1. PSM membawa suara akar umbi. Adalah DNA PSM untuk turun padang ke kawasan dan wujudkan perhubungan dengan lapisan -lapisan masyarakat yang miskin dan terpinggir untuk mendapat tahu masalah-masalah mereka. Oleh itu, PSM tahu secara mendalam isu-isu berkaitan dengan peneroka bandar yang tiada geran tanah, petani kecil yang mengusahakan tanah kerajaan, pekerja ladang, penghuni rumah pangsa kos rendah, pekerja kontrak di sekolah dan hospital kerajaan, pemandu lori, Orang Asli, pekebun kecil getah, pesawah padi, nelayan, pekerja migran dan sebagainya. Memang parti-parti lain keluarkan kenyataan dari masa ke semasa berkaitan golongan-golongan ini, tetapi PSM adalah parti yang amat rapat dengan golongan ini dan memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Jika seorang atau dua orang wakil PSM masuk ke Dewan Undangan Negeri ataupun Parlimen, suara golongan B40 akan lebih kedengaran di situ. Ini akan memantapkan sistem politik di negara kita – isu-isu lapisan yang miskin akan dibawa kepada perhatian umum.

2. PSM tegas menolak politik perkauman. 60 tahun politik berdasarkan parti dan tuntutan bersifat perkauman telah menjadikan hampir semua warga Malaysia berfahaman separa-rasis. Oleh itu, memainkan isu etnik adalah kaedah termudah untuk menjadi “popular” dan mendapat sokongan orang ramai. Tetapi, PSM mengelak daripada pendekatan mudah ini. Ini kerana pendekatan rasis adalah jalan buntu. Ia tidak membawa kita ke arah penyelesaian masalah rakyat kerana penyelesaian itu memerlukan kerjasama rakyat majmuk yang terpinggir dalam usaha mencabar sistem ekonomi yang berpihak pada golongan yang mahakaya.

3. Perkara yang ketiga adalah, PSM memahami bahawa pemimpin politik adalah penjana korupsi di negara kita. Ini kerana sistem politik berdemokrasi negara kita memerlukan dana – untuk membuka pejabat, untuk mengupah orang sebagai pekerja penuh masa, untuk mengadakan program, untuk kenderaan, untuk bahan-bahan bacaan dan sebagainya. Di Malaysia, tidak ada peruntukan daripada dana umum kepada semua parti politik di bawah satu sistem yang saksama. Oleh itu, pemimpin politik terpaksa cari dana itu, dan ini melipatgandakan pengaruh kaum mahakaya terhadap proses politik negara dan juga membuka ruang untuk amalan salahguna amanah rakyat untuk menyeleweng wang kerajaan. PSM memahami bahawa pemimpin politik seperti Ho Chi Minh ataupun Tok Guru Nik Aziz adalah “pengecualian” dan kita tidak boleh membentuk sistem politik kita atas harapan pemimpin-pemimpin yang berintegriti seperti mereka akan memegang jawatan tertinggi. PSM percaya bahawa sistem politik kita harus dibentuk untuk manusia biasa. Namun, setiap manusia biasa mempunyai potensi menjadi “jahat” jika diberi terlalu banyak kuasa, dan sekiranya tiada sistem semak dan imbang (check and balance). Satu antara semak dan imbang yang perlu adalah, pengisytiharan aset peribadi setiap tahun oleh wakil rakyat. Ini akan bantu mencegah salahguna kuasa di kalangan pemimpin kita. Satu lagi adalah pendirian bahawa sesiapa yang ingin menjadi kayaraya tidak patut menceburi dalam bidang politik sebaliknya carilah bidang lain. Pemimpin politik harus mengelakkan diri daripada menggunapakai posisinya sebagai ADUN atau ahli parlimen untuk mencari wang!

4. Perkara yang keempat, PSM menambah nilai ke sistem politik negara kerana kami benar-benar percaya pada rakyat. Kami tidak menganggap rakyat sebagai satu kelompok yang kurang bijak yang harus dipermainkan dengan janji-janji manis dan hujah-hujah rasis untuk mendapat sokongan mereka. PSM percaya rakyat biasa boleh memahami isu-isu nasional yang penting jika kita ambil masa untuk menerangkan pada mereka. Itulah sebabnya PSM selalu mengedarkan risalah kepada rakyat berkaitan pelbagai isu – GST, Gaji Minimum, Skim Insurans Pekerjaan, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), banjir, GATCO, Skim Pesakit Bayar Penuh di Hospital Kerajaan dan banyak lagi isu. Kami mengeluarkan penerangan isu ini dalam beberapa bahasa kerana PSM percaya bahawa rakyat biasa cukup bijak untuk memahami isu sebenar, mengambil bahagian dalam perbincangan isu-isu ini dan membuat keputusan yang matang. PSM juga bergantung pada kuasa rakyat untuk mengatasi masalah. Di mana-mana situasi, prosedur operasi standard (SOP) PSM adalah untuk menghimpunkan rakyat dan menubuhkan satu jawatankuasa untuk meneliti dan mengendali isu itu. Selepas itu, kami cuba menggabungkan jawatankuasa dari beberapa kawasan dalam satu jaringan supaya mewujudkan tekanan yang lebih berkesan. PSM tidak bergantung pada kepandaian pemimpin PSM, tetapi percaya pada Kuasa Rakyat. Peranan PSM adalah untuk melahirkan dan memantapkan kuasa ini.

5. Satu lagi keistimewaan PSM adalah kami berfikir “di luar kotak” (outside the box). Kebanyakan pemimpin politik daripada parti-parti lain terperangkap di dalam kotak pemikiran neoliberal yang percaya pada laungan Margaret Thatcher bahawa “tiadanya alternatif” (There is no alternative). Para Sosialis percaya bahawa “sebuah dunia yang lebih baik adalah berkemungkinan” (A Better World is Possible) dan wujudnya alternatif yang lebih baik daripada model pembangunan neoliberal yang telah diterima oleh pemimpin kedua-dua pilah BN dan Pakatan Harapan.

Umpamanya,

· kami percaya bahawa penswastaan kemudahan asas mesti diberhentikan dan dimiliknegarakan oleh kerajaan secara berperingkat.

· kami percaya bahawa eksploitasi terhadap negara sedang membangun oleh 100 buah syarikat terbesar di dunia masih berterusan walaupun era penjajahan sudah tamat 50-60 tahun yang lalu. Eksploitasi sekarang beroperasi melalui manipulasi harga jualan barangan, di mana barangan buatan Afrika dan Asia ditekan ke paras amat rendah, tetapi barangan buatan syarikat terbesar dijual dengan harga yang semakin tinggi.

· Kami bantah persetujuan perdagangan bebas seperti TPPA yang terlalu berat sebelah kepada golongan yang mahakaya sehingga menyekat ruang kerajaan negara dunia ketiga dalam membantu sektorsektor rakyat yang terpinggir dan miskin.

· Kami mengesyorkan untuk memantapkan kerjasama ekonomi antara negara-negara Afrika dan Asia. Kami mahu menghidupkan balik Semangat Bandung 1955. Pendek kata, PSM membawa analisis dan pendirian yang berlainan kepada pentas perdebatan politik negara. PSM merupakan nafas baru kepada sistem politik Malaysia. Walaupun langsung tiada kesempatan untuk PSM menubuhkan kerajaan selepas PRU-14, kami ingin memainkan peranan penting dengan mempertengahkan isu, analisis, kaedah bekerja dan pendirian seperti yang disimpulkan di atas. Inilah sebabnya kami berpendapat bahawa penglibatan PSM dalam PRU-14 adalah untuk kebaikan rakyat negara kita, PSM boleh memain peranan penting dalam proses merakyatkan sistem politik negara kita dan menjadikannya lebih inklusif dan demokratik lagi. 

Dr. JayaKumar

MP Sungai Siput

Politik