ADUAN POLIS OLEH GABUNGAN PETANI & PENTERNAK KAMPAR

ADUAN POLIS OLEH GABUNGAN PETANI & PENTERNAK KAMPAR

26 November 2017

TERHADAP: Pemaju Premier Supreme Sdn Bhd untuk menghentikan perlaksanaan pengusiran melalui Notis Bailif Mahkamah Tinggi Ipoh sementara kes masih di Mahkamah Rayuan, Putrajaya.

Seramai 15 petani dan penternak dari kawasan Batu Puteh Kampar telah mengusahakan kegiatan pertanian dan penternakan di kawasan ini lebih 30 tahun. Pada 10/08/2017 petani kampar telah kalah dalam kes di Mahkamah Tinggi Ipoh lawan pemaju Premier Supreme Sdn Bhd. Walaubagaimana pun petani kampar telah membuat Rayuan di Mahkamah Rayuan pada 23/08/2017.

Kes Rayuan petani Kampar telah disebut pada 28/09/2017 dan Mahkamah Rayuan menetapakan untuk pengurusan kes pada 29/11/2017. (Dilampirkan bukti kes di Mahkamah Rayuan, Putrajaya). Sementara kes masih di Mahkamah Rayuan, pihak pemaju telah memberikan Notis pengusiran melalui Bailif Mahkamah Tinggi Ipoh pada 20/11/2017 dan hanya memberi Tujuh (7) hari sehingga 27/11/2017 untuk petani Kampar keluar dari kawasan pertanian dan penternakan mereka dan jika tidak akan menggunakan kekerasan. (Dilampirkan Notis Perlaksanaan Bailif bertarikh 20/11/2017).

Kami Gabungan Petani dan Penternak Kampar akan mempertahankan kawasan pertanian petani kerana kes mereka masih di Makamah Rayuan, Putrajaya. Walaupun pemaju mendakwa tanah tersebut hakmiliknya tetapi harus difahamkan segala pokok-pokok, sayur-sayuran, ikan-ikan dan barang-barang berharga di atas tanah tersebut adalah milik para petani atas usaha dan perbelanjaan beratus ribu harta mereka.

Pihak pemaju tidak boleh memusnahkan harta mereka tanpa sebarang pampasan yang munasabah. Pihak pemaju melalui peguamnya telah meminta cadangan penyelesaian daripada petani Kampar. Pada 21/11/2017 melalui surat peguam petani Kampar telah mencadangkan Tiga (3) cadangan penyelesaian kepada pihak pemaju tetapi pihak pemaju begitu angkuh tidak bersetuju dengan sebarang cadang mahupun tidak memberi cadangan balasan dari pihak mereka. (Dilampiran surat cadangan penyelesaian bertarikh 21/11/2017 melalui peguam petani Kampar dan surat balasan pihak pemaju melalui peguamnya bertarikh 22/11/2017).

Walaupun Petani kampar telah lebih 10 tahun membuat permohonan memiliki tanah kerajaan tetapi segala permohonan mereka tidak pernah diluluskan oleh Pejabat Tanah Kampar mahupun Negeri walaupun kerajaan negeri sedar akan kewujudan petani di tanah tersebut. Tetapi Pemaju Premier Supreme begitu mudah memperolehi kelulusan dan pemilikan pada tahun 2012.

Kami Gabungan Petani membuat laporan polis ini untuk memaklumkan kepada pihak polis bahawa kami akan mempertahankan segala harta di atas tanah tersebut daripada dimusnahkan oleh pihak pemaju. Setiap harta di atas tanah tersebut adalah hasil titih peluh dan pengorbanan generasi kami dahulu hingga kini. Kini kes di Mahkamah Rayuan dan pihak pemaju harus menghentikan segala pengusiran melalui penguatkuasaan sehingga perbicaraan rayuan berjalan sepenuhnya.

Para petani masih bersedia untuk beerbincang dengan pihak pemaju kerana ia melibatkan periuk nasi dan sumber pendapatan petani. Kami Gabungan Petani dan Penternak Kampar akan mempertahankan hak kami terhadap hasil dan barang-barang di atas tanah tersebut jika diceroh dan dimusnahkan oleh pihak lain. Sekian laporan kami.