ORANGE DAY: BASMI KEGANASAN SETIAP LAPIS GOLONGAN WANITA

ORANGE DAY: BASMI KEGANASAN SETIAP LAPIS GOLONGAN WANITA

27 November 2017

Pengenalan dan Objektif Orange Day

“Orange Day” merupakan satu kempen yang diasaskan oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha meningkatkan kesedaran untuk menentang dan mencegah keganasan terhadap golongan wanita termasuk kanak-kanak. Dikendalikan dan diketuai oleh kempen UNiTE Global Youth Network, “Orange Day” menyeru para aktivis, badan NGO, kerajaan dan rakan PBB untuk memobilisasi rakyat dan menyuarakan isu-isu yang relevan untuk mencegah dan menamatkan keganasan terhadap wanita dan kanak kanak perempuan, bukan sahaja sekali setahun iaitu pada 25 November tetapi disetiap hari ke – 25 untuk setiap bulan. Sebagai warna terang dan optimis, oren mewakili masa depan bebas daripada keganasan terhadap wanita dan kanak kanak perempuan.

Kes kes keganasan domestik global semakin parah 
Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan adalah salah satu pelanggaran hak asasi manusia yang cukup berleluasa dan tragik seakan tiada penghujung di dunia ini. Masyarakat masih menganggap keganasan 
rumah tangga/domestik masih lagi sebagai suatu hal ehwal peribadi. Mentaliti umum dan stigma serta kurang pemahaman tentang isu keganasan domestik menyebabkan masyarakat termasuk mangsa mengambil pendekatan yang 
pasif terhadap isu ini. Namun sebenarnya, keganasan domestik adalah satu tanggungjawab sosial yang memerlukan kerjasama dan perhatian masyarakat sekeliling.

Kelangsungan budaya patriarki dalam mengukuhkan ketidaksamaan gender merupakan akar kepada permasalahan ini sehingga keganasan domestik berterusan berlaku bukan sahaja di negara dunia ketiga malah berlaku secara
global. Menurut Menteri Wanita Paraguay, Ana Maria Baiardi ketika ditemubual stesen radio ABC Cardinal, sekurang- kurangnya seorang wanita terbunuh setiap enam hari secara purata di Paraguay berpunca daripada kes keganasan rumahtangga malah terdapat 23 kes pembunuhan wanita 
dilaporkan dalam tempoh enam bulan, dengan lapan daripadanya telah disahkan berpunca daripada keganasan domestik.

Diikuti negara Itali, seorang peguam juga mantan Ahli Parlimen, Giulia Bongiorno bersama rakannya, Michelle Hunziker seorang penyampai televisyen menganjurkan kempen mendesak pihak berwajib untuk memberi elaun surirumah kepada golongan surirumahtangga. Beliau menyatakan laporan kematian surirumah yang maut di premis rumahtangga kerana diskriminasi ekonomi (economic violence) yang berpunca dari jenayah domestik sangat membimbangkan negara itu.
Manakala di Malaysia, menurut Kajian Pusat Penyelidikan Wanita dan Gender Universiti Sains Malaysia (USM) mendapati 9 peratus atau 800 ribu wanita di semenanjung Malaysia yang mempunyai pasangan mengalami masalah keganasan domestik.

Peranan sosioekonomi & ketiadaan dasar proaktif dalam mencapai kesamarataan jantina; Usul Meja Wanita PSM
Kasmini (1997) mengaitkan penderaan dengan golongan status ekonomi sosial rendah. Walaupun penderaan boleh berlaku dalam semua lapisan masyarakat, namun golongan berpendapatan rendah lebih terdedah kepada permasalahan ini dan sukar untuk bangkit membela diri kerana kekangan ekonomi termasuk pengasinagn sosial yang merumitkan mangsa untuk mengakses keadilan. Dalam kebanyakan kes penderaan yang dilaporkan mangsa didapati menghadapi masalah tekanan hidup dan hidup dalam kemiskinan. Kesan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup amat mencengkam hidup masyarakat bawahan tambah membimbangkan lagi apabila pendera terlibat dengan masalah penagihan alkohol dan dadah. Maka wanita dijadikan objek untuk melepaskan tekanan kaum lelaki, bagaikan span yang menyerap kemarahan kaum proletariat yang dieksploitasi oleh majikan (borjuis kapitalis).

Marx menyatakan bahawa penindasan wanita dalam keluarga adalah salah satu cabang alienisasi kapitalisme. Wanita adalah instrumen terpenting yang berfungsi untuk survival kapitalisme; - Kilang percuma yang menghasilkan tenaga buruh melalui tenaga buruh domestik mereka (kerja rumahtangga) yang tidak dibayar. Selain menjadi pusat mensosialisasikan generasi pekerja masa depan, wanita juga menjalankan tugas memberi perkhidmatan kepada pekerja semasa (suami mereka!). Golongan surirumah bagaikan tentera simpanan buruh murah, berkhidmat sebagai buruh domestik yang menjadi komponen penting dalam menyempurnakan rantaian ‘cycle’ keuntungan kapitalisme. Eksploitasi domestik terhadap kaum wanita bukan sahaja memanfaatkan golongan pemodal malah memberi kelestarian kepada budaya patriarki. Ini membuktikan logik bahawa sebenarnya tenaga kerja dan keuntungan yang dikaut diluar sana adalah sumbangan wanita secara percuma meskipun secara tidak langsung (indirect).

Atas dasar kesedaran ini, Meja Wanita Parti Sosialis Malaysia telah mengusulkan supaya kerja rumahtangga (homemaking) diiktiraf sebagai satu pekerjaan dan wajib dibayar upah. 
Rujuk https://www.facebook.com/psm.sosialis/posts/892935020865756

Penyelesaian kepada ketidaksamaan jantina adalah dasar dan polisi ekonomi. Kita perlu menolak kapitalisme untuk menghapuskan patriarki termasuk segala dasar dan polisi yang mendokong patriarki perlu dimansuhkan, khususnya polisi yang mengangkat lelaki sebagai ‘watak primer’ dalam dokumentasi pendaftaran dan sebagainya.

Ada sebahagian yang berpendapat bahawa untuk wanita keluar dari rantaian penindasan domestik, mereka harus keluar bekerja diluar premis rumahtangga sebagai langkah membebaskan diri. Sejauh mana kebenaran tanggapan? Realitinya, wanita bekerja juga tidak bebas dari cengkaman penindasan. Pekerja wanita sering didiskriminasi oleh organisasi/majikan dalam soal kenaikan pangkat, gaji hinggalah kepada keperluan asas (bilik laktasi dan pusat asuhan kanak kanak misalnya). Wanita bekerja menghadapi beban berganda – kerja tugasan untuk majikan, kerja mengurus rumah & anak yang tidak dibayar dan kondisi keluarga tetap patriarkal jadi siapakah yang lebih mendapat manfaat dari wanita bekerja? - Lelaki mendapat manfaat dari pendapatan berbayar wanita, kerja emosi dan tenaga buruh domestik mereka selain majikan (pemodal).

Justeru menyedari hakikat ini, Meja Wanita Parti Sosialis Malaysia membuat satu usul mendesak kerajaan untuk menyediakan Pusat Jagaan Kanak-Kanak di Tempat Kerja (On Site Daycare) termasuk Bilik Laktasi lengkap untuk wanita bekerja. Kemudahan ini wajib disediakan di setiap premis jabatan kerajaan, GLC, GLIC, sektor korporat di seluruh negara ATAU sekurang-kurangnya menyediakan perkhidmatan pengasuh di rumah. Rujuk https://www.facebook.com/psm.sosialis/posts/886233224869269

Malangnya, semasa pembentangan bajet 2018, Perdana Menteri hanya mewajibkan perlaksanaan Pusat Penjagaan Kanak Kanak di tempat kerja kepada premis PBT yang baru dibina bermula di sekitar kawasan Lembah Kelang.

Kelemahan akta, badan berwajib dan organisasi yang perlu diperbaiki dalam menangani keganasan domestik

- Akta keganasan rumahtangga 1994 perlu digubal, menjadualkan khidmat kaunseling mandatori kepada pendera.

- Cuti bergaji selama 10 hari dan majikan diwajibkan menguruskan kaunseling dan proses perlindungan kepada pekerja wanita yang menjadi mangsa keganasan domestik.

- Mengurangkan birokrasi dan komplikasi dari segi prosedur terhadap mangsa untuk memudahkan akses keadilan dan perlindungan.

- Pendedahan tentang maklumat badan perlindungan wanita, langkah-langkah yang perlu diambil oleh wanita sekiranya menghadapi keganasan domestik bermula di peringkat atas sekolah menengah sebagai langkah awal (Tingkatan 4 ke atas) termasuk kursus pra perkahwinan yang komprehensif untuk muslim dan non-muslim.

- Kerajaan wajib memberi peruntukkan tahunan yang sewajarnya kepada pusat pusat perlindungan keganasan domestik, disamping memperbanyakkan lagi penubuhan pusat perlindungan wanita diseluruh negara.

- Memansuhkan prosedur berbasiskan patriarki seperti proses penukaran sekolah dan pendaftaran kelahiran. Menggubal akta kesamarataan jantina dan memasukkan CEDAW dalam undang –undang tempatan.

Kempen dan usaha memerangi keganasan domestik tehadap wanita tidak harus terhenti sempena Orange Day sahaja. Pihak kerajaan dan unit badan berkuasa harus bebas dari orientasi patriarki semasa menjalankan tugasan dalam mendepani kes keganasan wanita dan kanak-kanak perempuan. Proses mencapai kesamarataan jantina dan memecah tembok patriarki dalam norma sosial memerlukan usaha bersepadu dari pihak berwajib, kesedaran serta keprihatinan masyarakat termasuk rangka kerja undang-undang.

Apa tindakan anda sekiranya melihat seorang wanita diperlakukan dengan kasar oleh lelaki di depan mata sendiri?
Adakah anda akan bertindak atau hanya berdiam diri?

Disediakan Oleh
Nurhayyu Zainal
Penyelaras Meja Wanita