KEMISKINAN MASYARAKAT LUAR BANDAR – PEKEBUN KECIL GETAH

KEMISKINAN MASYARAKAT LUAR BANDAR – PEKEBUN KECIL GETAH

5 December 2017

Pada Kongres Nasional PSM ke 18 pada Jun 2016, satu diskusi panel telah diadakan terhadap isu Kemiskinan Masyarakat Luar Bandar yang masih tidak dapat diatasi oleh Kerajaan Malaysia. Pembentangan panel disusuli dengan sesi perbincangan dalam workshop di mana perwakilan mengambil keputusan bahawa PSM, sebagai sebuah parti kiri nasional, tidak boleh mencadangkan apajua cadangan penyelesaian terhadap ekonomi luarbandar secara terburu-buru tetapi harus turun ke padang untuk meneliti dan memahaminya secara yang mendalam sebelum mengumumkan cadangan kiri untuk mengendalikan isu kemiskinan masyarakat desa.

 

Maka, sejak pertengahan tahun 2016, beberapa lawatan ke kawasan luar bandar dilaksanakan oleh Task Force Khas yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Sg Siput Dr Kumar, SUA PSM Sdr Sivarajan, Sdr Azmin Aziz, Sdr Zamzaidi dan Sdr Suresh Kumar untuk mengumpul data dan cadangan-cadangan penyelesaian dari peringkat akar umbi rakyat marhaen. Kajian telah dijalankan di Sungai Siput, Sik & Alor Setar di Kedah, Kuala Terengganu dan di Jengka, Pahang. Penyiasatan ini belum lengkap kerana isu ekonomi masyarakat desa adalah luas dan kami tidak dapat mengkajinya secara menyeluruh. Tetapi kami telah mengenal pasti beberapa isu utama dan juga pendekatan yang harus diambil untuk menangani mereka.

 

Lawatan ke Sik Kedah

 

Sik merupakan sebuah desa kecil, lebih kurang 100km dari Sg Petani, Kedah. Ianya mempunyai pengundi (sebagai indicator bil penduduk) seramai – 48,000 orang. Daripada itu 80% daripada mereka adakah penoreh getah. Lebih separuh bilangan ini adalah pengusaha sahaja maksudnya, mereka bukan pemilik tetapi mengusahakan kebun orang lain.

 

Pengusaha sahaja, bukan pemilik (tidak memiliki tanah)

Kami mendapati masalah keluasan kebun yang diusahakan adalah factor yang penting. Bagi seseorang pengusaha yang mempunyai kebun seluas 2 relong (1.4 ekar) dengan lebih kurang 300 pokok hanya dapat RM300 sebulan pada pertengahan tahun 2016 kerana

a/ Tuan tanah yang tidak membersihkan tanah dan tiada juga racun dibekalkan kepada pengusaha. Oleh itu prodiktiviti pokok yang mereka toreh tidak begitu mengalakkan.

b/  Subsidi dari Lembaga Getah Negara yang harus dibayar pada pekebun sekiranya harga “cup-lump” (getah beku) adalah di bawah RM 2.20 sekilo.  Tetapi mereka perlu mendaftarkan dengan Lembaga Getah Malaysia dengan memakai geran tanah kebun. Ramai pengusaha tidak dapat daftar kerana tidak memegang geran tanah kebun.

c/ Pendapatan mereka daripada jualan getah beku harus dikongsi dengan pemilik kebun.

 

Pengusaha menyuarakan bahawa hanya jika harga lantai getah meningkat ke paras RM 7.20, barulah ada kemungkinan  mereka boleh melihat pendapatan sekitar RM1,200 sebulan, itu pun perlu dibahagikan kepada pemilik tanah . Maka pengusaha akan dapat RM600 dan pemilik tanah RM600 sebulan. Pendapatan sempurna hanya boleh diperolehi jika keluasan kebun adalah diantara 7 hingga 8 relong.

 

Pemilik (memiliki tanah kebun dan mengusahakannya, menoreh sendiri)

Bagi seorang yang menjadi pemilik tanah dan mengusahakan tanah itu juga, maka pendapatannya juga tidaklah begitu hebat. Jika mereka menpunyai 300 pokok maka mereka kemungkinan memperolehi pendapatan sebanyak RM 700 hingga RM 900 sebulan. Pendapatan ini bukannya pendapatan seorang tetapi pendapatan sekeluarga yang mengusahakan 300 pokok tersebut.  Bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) juga tidak diterima secara konsisten. 

 

Mereka juga menghadapi masalah menguruskan (membuat permohonan dan ‘follow up’) bayaran IPG ini kerana ianya biasa dibantu oleh pembeli dan peraih. Lokasi pejabat Lembaga Getah Negara yang berhampiran juga berada di Sungei Petani juga menyukarkan urusan-urusan ini. ( Sungei Petani adalah 100 km dari Sik, Kedah)

 

Pemilik Kebun

Bagi seorang pemilik kebun pula, yang tidak mengusahakannya (maksudnya ada pengusaha dan hasil dibahagikan 50% ) . Pendapatannya anggaran ialah seperti berikut 

(jika keluasan kebun ialah 7 hingga 8 relong ) ;

Harga getah <RM 5 – pendapatan bulan – RM 700/bulan

Harga getah RM 5 – pendapatan bulan RM800 /bulan

Harga getah RM 7.20 – pendapatan RM 1, 200 sebulan

 

Peraih hasil getah

Peraih hasil getah merupakan orang yang akan pergi ke semua kebun getah untuk mengumpul getah beku daripada pengusaha atau pemilik kebun. Sektor ini nampaknya diceburi oleh kaum muda. Seorang peraih perlu mendapatkan lesen, dimana lesen diberikan untuk peraih setiap sempadan 3 km. Peraih berlesen juga harus mempunyai sebuah tempat mengumpul (yang tidak berhampiran dengan tempat awam dan masjid). Selain daripada peraih yang berlesen ini, terdapat juga beberapa orang peraih yang tidak berlesen, yang bekerja mengumpul hasil dan membawanya kepada peraih yang berlesen.

 

Peraih ini juga didapati membantu para penoreh untuk berurusan dengan Lembaga Getah Malaysia untukj memohin IPG.  Oleh kerana situasi pendapatan yang tidak menentu dan kemiskinan dikalangan penoreh (terutamanya pengusaha) maka peraih ini juga menjadi peminjam wang yang utama kepada mereka untuk menampung kos hidup. Kegiatan ini juga menwujudkan hubungan di antara pengusaha dan peraih, dimana pengusaha itu kekal menjual dengan peraih yang sama kerana telah pinjam wang daripadanya. 

 

 

Kajian Pekebun Kecil getah di Sungai Siput  

1. Saiz kebun getah yang kecil.

Rajah 1 mempamirkan bahawa di antara 28 pekebun getah yang disurvey dalam kajian yang dijalani di Sg Siput pada September tahun 2015, 25 pekebun mengusahakan tanah seluas 3 ekar ke bawah.

 

Rajah 1: Saiz Kebun Getah (N=28)

Keluasan Kebun

Milikan Sendiri

Kongsi 10/6

Bahagi Dua

 

 

 

2 ekar

0

0

2

2

3 ekar

9

4

10

23

5 ekar

0

2

0

2

< 5 ekar

1

0

0

1

 

 

 

10

6

12

28c

 

Masalah kebun kecil berwujud di seluruh negara. Di Perak umpamanya, saiz purata kebun getah adalah 3.98 ekar.

 

3 ekar jika ditoreh 25 hari4 sebulan boleh menghasil 30kg getah sehari. (Tetapi jika kebun tidak dijaga dengan baik, hasil akan berkurangan.) Dengan bantuan subsidi kerajaan5 penoreh akan mendapat RM 2.20 x 30kg x 25 hari = RM1650.

 

2. Amalan “Bahagi Dua”

18 daripada 28 orang penoreh getah yang ditemuduga dalam kajian di Sg Siput mengusahakan tanah orang lain dengan berkongsi hasil mengikut kadar 60:40 (digelar 10/6) ataupun 50:50 (dipanggil “bahagi dua”). Jadi pendapatan sebanyak RM 1650 yang didapati daripada kebun seluas 3 ekar harus di kongsi dengan tuan tanah dan syer penoreh adalah hanya RM 825 sebulan jika dibahagi dua. (Kita juga mesti ambil kira bahawa tidak boleh menoreh jika hujan, dan pada musim menggugur daun pokok getah dari bulan Februari hingga April, hasil torehan adalah amat rendah). Tuan pemilik kebun biasanya bukan orang yang kaya yang memilik berpuluh-puluh ekar tanah. Majoriti antara pemilik hanya memilik satu kebun kecil sahja tetapi oleh kerana uzur tidak dapat mengusahakan kebunnya.

Dua factor ini adalah sebabnya 57.3% daripada 283,249 pekebun getah di Malaysia yang dikaji oleh RISDA pada tahun 2013 memperolehi pendapatan bulanan RM1000 ke bawah, dan 18.7% lagi perolehi pendapatan bulanan di antara RM1001 hingga RM1500. (Appendix 1.9: Pendapatan Bulanan Pekebun Getah 2013.)

 

3. Harga getah yang rendah

Harga getah beku (cup lump) yang dibeli oleh peraih getah adalah ditentukan oleh harga SMR20 di pasaran dunia mengikut kiraan - Harga SMR20 – RM1.00 x 47%6. Masalahnya adalah permintaan untuk getah asli di pasaran antarabangsa kurang daripada jumlah pengeluaran getah di dunia. Pada tahun 2014, jumlah pengeluaran getah asli di perengkat dunia adalah 12.0 juta tan manakala, permintaan global untuk getah asli adalah hanya 11.4 juta tan (sila lihat Appendix 1.2).  Ini menekankan harga SMR20 ke paras RM 5.00 se kilogram (bererti hanya RM1.88 se kilogram getah beku di perengkat desa.) 

 

Pada takat ini Malaysia mengeluarkan 1 juta tonne getah setiap tahun. Kita merupakan pengeluar ke 4 terbesar di dunia – Indonesia, Thailand dan Vietnam mendahului kita. Empat pengeluar terbesar di dunia hanya keluarkan 75% daripada jumlah keseluruhan. Jadi, walaupun jemaah antarabangsa yang digelar “International Tripartite Rubber Council” telah ditubuhkan, adalah amat sukar untuk menyekat pengeluaran getah asli di perengkat antarabangsa sebagai usaha mengendalikan lambakan getah asli di pasaran dunia.

 

 Ada kemungkinan besar permintaan getah diperengkat dunia tidak akan berkembang dengan pesat. Oleh kerana masalah pencemaran alam sekitar, Negara Cina sedang ambil langkah untuk menyekat penambahan kereta di negara itu. Cina merupakan pengeluar kereta terbesar di dunia (hampir 70% daripada getah asli diguna untuk buat tayar kereta).

 

4. Tidak dapat menuntut Bayaran Insentif Pengeluaran Getah (IPG)5

Kerajaan telah mengamalkan satu skim pada tahun 2015 di mana Lembaga Getah Malaysia membayar terus ke akaun bank pekebun getah berdasarkan harga purata getah beku dan jumlah hasil pekebun itu untuk bulan tersebut. Kiraannya adalah: RM 2.20 – harga purata getah beku) x jumlah kg getah beku yang dijual oleh pekebun dalam tempoh bulan itu. Pekebun-pekebun dikehendaki mendaftarkan diri dengan memakai geran kebun dan memohon tiap bulan dengan memakai resit jualannya kepada peraih getah. Dalam kebanyakan kes di mana penoreh bukan tuan pemilik tanah, IPG tidak dituntut oleh mana-mana pihak (kerana satu pihak pegang geran dan pihak yang lain pegang resit jualan getah). 

 

5. Halangan pada mempelbagaikan tanaman

Adanya beberapa orang pekebun getah yang berhasrat menanam pokok buah-buahan seperti durian, langsat, duku, rambutan dan lain. Keluasan tanaman getah di Malaysia telah berkurang 25% dari 1.31 juta ha dalam tahun 2000 ke 0.98 ha pada tahun 2014 (Appendix 1.2). Tetapi mereka yang telah berpindah penanaman buah-buahan sedang menghadapi masalah lambakan buah pada musim buah dan terpaksa buang atau memberi percuma sebahagian besar daripada buah yang dihasilkan. FAMA tidak main peranan yang efektif dalam mempasarkan buah-buahan yang dihasil.

 

6. Kualiti pokok tanaman semula   

Pekebun getah berhak memohon pada RISDA untuk dana7 untuk menanam semula selepas 25 tahun tanaman semula yang terakhir. Masalahnya adalah kerja tanaman semula dilaksanakan oleh kontraktor Bumiputra yang di daftarkan dengan RISDA. Biasanya kontraktor tanam semula harus menjaga pokok getah sehingga berumur 2 tahun. Selepas itu pemilik kebun mengambil alih kerja menjaga. Ada pekebun yang mengadu bahawa kadang-kadang kontraktor mehilangkan diri selepas tebang (dan jual) pokok getah yang lama tanpa meneruskan dengan kerja menanam semula. Ataupun ada kes di mana sebahagian daripada pokok getah yang ditanam tidak berbangsa klone berhasil tinggi. Klone hasil tinggi harus diperolehi daripada nurseri tertentu dengan harga RM7 se anak pokok (seedling). Ada kontraktor yang membeli anak pokok dengan harga yang murah daripada orang lain untuk menjimatkan kos. Ini merupakan satu beban besar pada pekebun kerana dia kena menjaga pokok-pokok selama 5 tahun sehingga matang untuk ditoreh dan baru pada takat itu menyedari hakikat bahawa klone yang kurang kualiti telah ditanam.

 

Seterusnya .. Isu pesawah padi

KEMISKINAN MASYARAKAT LUAR BANDAR – PEKEBUN KECIL GETAH