Tanah: ’40 tahun boleh tunggu, 10 tahun tidak boleh?’ kata MB Pahang

Tanah: ’40 tahun boleh tunggu, 10 tahun tidak boleh?’ kata MB Pahang

19 December 2017

Dalam video yang di muat naik di Facebook PSM, Datuk Seri Adnan Yaakob dirakam meminta kira-kira 18 orang penduduk pulang selepas jurucakap penduduk, Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands Suresh Kumar, mempertikaikan kelewatan kerajaan negeri menguruskan isu penduduk yang lebih 40 tahun berkebun di tanah bermasalah itu.

Adnan menjelaskan bagi kawasan Cameron Highlands sahaja terdapat 4,000 permohonan. Menurut menteri besar, urusan pentadbiran tanah diuruskan 20 orang penolong pegawai tanah (settlement officer), dan prosedur berkaitan termasuk menyukat boleh mengambil masa 2 tahun setengah.

“Bukan mereka (19 penduduk) sahaja, mereka (penolong pegawai tanah) perlu berjumpa orang lain juga,” kata Adnan, sebelum ditekan penduduk. “Tunggulah, sabarlah, dulu mereka (kerajaan) tidak ambil tahu, sekarang kita ambil tahu.”

“40 tahun boleh tunggu, 10 tahun tidak boleh tunggu? Awak banyak pandai cakap, sila balik. Okay? Bye. Vanakam (selamat tinggal), nandri (terima kasih),” kata Adnan, selepas seorang penduduk tidak dapat menerima penjelasan beliau.Suresh ketika dihubungi berkata kejadian itu berlaku semalam. Menurut beliau, penduduk sekitar Cameron Highlands seperti di Brinchang, Tanah Rata dan Blue Valley mula menyuarakan isu hak milik tanah sejak 2008, berkenaan isu tanah untuk rumah, bertani dan gerai.

Menurut aktivis PSM itu, dalam isu tanah untuk bertani, penduduk meminta tanah berkeluasan 1-3 ekar, manakala isu tanah untuk rumah, penduduk meminta tanah berkeluasan 600 kaki persegi.

Tambahnya lagi, daripada 17 isu tanah yang dibawa ke perhatian Adnan sejak 2008, hanya 5 masalah sahaja yang berjaya diselesaikan dalam tempoh hampir 10 tahun itu.

“Masih ada 12 lagi yang belum selesai. Kami rasa tidak puas hati dengan kelewatan kerajaan Pahang selesaikan isu ini,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, penduduk terkesan diundang semula untuk bertemu pihak kerajaan negeri hari ini. “Dengan syarat saya tidak hadir,” kata Suresh.

Menurut beliau, penduduk dalam pertemuan tadi diberi satu tempoh masa di mana masalah mereka akan diselesaikan. “Dia kata bulan 3 tahun depan, semua isu tanah ini diselesaikan.”