2018 – Pilihanraya dan hari-hari selepasnya

2018 – Pilihanraya dan hari-hari selepasnya

3 January 2018

Mengikut The Economist, ramalan untuk tahun 2018 bagi Malaysia adalah, “dalam jangkamasa pendek, persiapan untuk pilihanraya akan menguasai keadaan politik. Walaupun pilihanraya tidak perlu dipanggil sebelum bulan Ogos 2018, kami percaya bahawa Parlimen akan dibubarkan lebih awal, untuk membolehkan pilihanraya diadakan sebelum bulan April 2018. Memandangkan Pembangkang berpecah kepada dua kumpulan, nampaknya Barisan Nasional mempunyai peluang yang baik untuk menang tanpa mengira bila pilihanraya dipanggil. Kami meramalkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) sebenar untuk tahun 2017 sebagai 5.8%, akan menurun ke purata 5.3% antara tahun 2018-2022.

Pandangan daripada The Economist di atas memang satu ramalan yang mempunyai kewibawaannya dan sesuatu yang nampaknya realistik, kecuali sesuatu yang luarbiasa berlaku antara sekarang hingga PRU.

Tahun 2018 adalah tahun pilihanraya. Apabila Najib ditanya akhbar semasa Perhimpunan Agung UMNO, dia berkata tidak ada apa-apa kejutan, PRU kena dipanggil sebelum bulan Jun. PRU juga tidak boleh dipanggil lebih lambat, kerana Anwar Ibrahim akan dibebaskan dan beliau masih mampu memainkan peranan untuk membawa pembangkang bersama. Maka, spekulasi ramai orang bahawa PRU akan dipanggil pada bulan Mac mempunyai justifikasi yang munasabah.

Saya cukup yakin bahawa keputusan PRU sudahpun ditentukan oleh SPR melalui manupulasi persempadanan semula dan daftar pengundi. Maka, pemenang PRU akan ditentukan sebelum pilihanraya sendiri, walaupun ramai orang akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk pergi mengundi pada hari mengundi dengan harapan supaya membawa satu perubahan. Mungkin hanya mereka yang bercadang untuk memulaukan pilihanraya (boikot) tidak akan terasa tertipu.

Di bawah ini, saya hendak mengutarakan lima perkara yang memang akan menghampakan mereka yang yakin bahawa perubahan boleh berlaku melalui peti undi dalam PRU ini.

1. Kerajaan dan Pendaftar Pertubuhan (ROS) adalah di bawah kawalan penuh Kerajaan BN. Adakah mereka akan membenarkan Gabungan Parti Pakatan Harapan didaftarkan sebagai satu parti atau dibenarkan menggunakan logo bersama sebelum PRU? Jika mereka tidak dibenarkan logo bersama, maka mereka akan bertanding mengikut logo apa? Adakah parti Amanah dan parti Bersatu akan berani menggunakan logo parti masing-masing yang mungkin tidak popular di kalangan orang ramai? Maka apakah logo yang akan dipromosi menjelang PRU? Adakah PH mempunyai cukup masa untuk mempromosi logo bersama jika ia dibenarkan pada saat terakhir? Jika PH tidak dibenarkan, adakah parti-parti dalam PH terutamanya AMANAH dan BERSATU mempunyai masa yang cukup untuk mempromosikan logo mereka masing-masing?

2. Undi luar bandar meliputi 125 daripada 222 kerusi dalam Parlimen. Daripada 125 kerusi ini, 78 kerusi adalah kerusi majoriti Melayu yang dikatakan dalam PRU ini akan menjadi penentu siapa yang akan ke Putrajaya. Adakah undi orang Melayu ini dapat dimenangi oleh Pakatan Harapan? Pada tahun 2008 dan 2013, dengan PAS tegar bersama Pakatan Rakyat pun, mereka tidak mampu menang PRU atau menakluki kawasan Melayu, dan sekarang tanpa PAS dalam Pakatan Harapan, apakah prospek mereka akan mendapat lebih undi berbanding tahun 2008 dan 2013? Untuk makluman, undi orang Melayu kepada BN telah meningkat dari 54% pada PRU 2008 kepada 63.7% pada PRU 2013. Dalam dua pilihanraya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar selepas PRU-13 dan setelah AMANAH bertanding, kombinasi undi parti pembangkang ini masih kurang untuk mengatasi UMNO. Bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Sungai Besar, BN memperolehi 16,800 undi, manakala kombinasi undi PAS dan AMANAH pula hanyalah 14,511. Bagi Parlimen Kuala Kangsar pula, jumlah undi calon UMNO adalah 12,653 berbanding dengan kombinasi calon PAS dan AMANAH yang sebanyak 10,567. Maka persoalan adalah tanpa PAS bersama PH, sekarang bagaimana PH akan mendapat lebih undi Melayu?

3. Mahathir amat popular di kawasan bandar tetapi ini hanya meliputi 43 daripada 222 kerusi yang pastinya Pembangkang boleh menang. Persoalan adalah dapatkah Mahathir menarik pengundi luar bandar dan juga pengundi dari Sabah dan Sarawak? Dapatkah Tun Mahathir membuat apa yang gagal dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan Tengku Razaleigh sebelum ini? Tengku Razaleigh pernah mengetuai Parti Semangat 46 bersama Rais Yatim dan Shabery Cheek. Parti Melayu Semangat 46 pula bekerjasama dengan PAS, BERJASA, HAMIM, dan KIMMA untuk menubuhkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan bertanding dalam PRU 1990 dan PRU 1995, tetapi gagal menundukkan UMNO-BN. Begitu juga Anwar Ibrahim yang menubuhkan Parti Keadilan untuk melawan UMNO, tetapi gagal juga. Jika dikatakan dua orang ini bukan Presiden UMNO, maka kita boleh ambil contoh Onn Jaafar – Presiden Pertama UMNO. Onn Jaafar telah menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) pada tahun 1951, tetapi malangnya parti tersebut tidak mendapat sokongan orang Melayu dan kemudiannya pada tahun 1954, beliau menubuhkan Parti Negara untuk bertanding dalam pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu pertama pada tahun 1955. Sama seperti Parti Bersatu yang dipimpin Mahathir sekarang, Parti Negara menyekatkan keahlian bukan Melayu dalam satu percubaan untuk mendapat sokongan daripada orang-orang Melayu. Namun, parti tersebut gagal memenangi sebarang kerusi dalam PRU. Maka persoalan adalah dapatkah Mahathir membuat apa yang gagal dilakukan olehOnn Jaafar, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim?

4. Mahathir berkata bahawa polisi Najib adalah “cash is king” (wang tunai itu raja).Ini tidak banyak berbeza dengan zaman Mahahtir di mana pembangkang sering memanggilnya 3M – Money (wang), Machinery (jentera) dan Manipulation (manipulasi media). Maka ada spekulasi bahawa, untuk menang, Mahathir akan menggunakan Daim Zainuddin dan kapitalis-kapitalis yang akur kepadanya seperti Vincent Tan, Anatha Krishnan dan lain-lain lagi untuk membeli pengundi supaya bersaing dengan wang yang akan ditaburkan kepada Pasukan Najib. Jika ini adalah pertandingan, maka sudah tentunya Najib sebagai parti pemerintah akan dapat lebih wang daripada kapitalis-kapitalis yang bersamanya, termasuk yang dari Arab dan Negara China. Maka, timbulnya persoalan bahawa PRU ini akan ditentukan siapa ada lebih wang. Apakah jawapannya, Najib atau Mahathir?

5. Selepas DAP dan PAS berpecah, ia juga telah mengakibatkan hampir semua kerusi akan ditigapenjurukan. Kewujudan AMANAH akan memastikan PAS dan DAP langsung tidak boleh bersama kembali, kecuali jika AMANAH kembali kepada PAS. Pandangan rakyat adalah tiga penjuru akan membantu Barisan Nasional, maka dengan senario begini, adakah rakyat akan mempunyai minat untuk turun mengundi seperti dua pilihanraya yang lalu, atau adakah mereka mungkin kurang berminat untuk turun mengundi? Adakah kekurangan jumlah yang keluar mengundi akan membantu BN atau Pembangkang?

Saya rasa lima sebab di atas cukup untuk spekulasi apakah prospek untuk tahun 2018. Kemenangan BN akan menyebabkan perkara begini berlaku selepas PRU: Untuk mendapatkan balik wang yang dibelanjakan dalam PRU, kerajaan BN akan menggunakan pelbagai cara untuk mengurangkan faedah kepada rakyat dan akan mengenakan pelbagai bayaran untuk rakyat membayar balik. Kerajaan BN juga akan menjual lebih aset negara kepada kapitalis dalam dan luar Negara untuk menangani keadaan ekonomi yang murung dan ini akan memberi masalah berterusan kepada rakyat terutamanya masyarakat kelas menengah dan B40. 
Jika PH menang secara mengejut, ia akan menyebabkan ketidakpastian politik di mana BN akan cuba berkuasa dengan mencetuskan pelbagai masalah, seperti mempermainkan isu perkauman dan lain-lain untuk membolehkan mereka mengenakan darurat demi menyelamatkan mereka, seperti apa yang berlaku pada tahun 1969.

Jadi, kemenangan BN secara penipuan ini sudah pastinya akan menyebabkan ramai rakyat yang kecewa dan hilang semangat serta harapan. Mungkin juga ilusi tentang Mahathir juga akan lenyap. Ini juga mungkin akan menyebabkan pertelingkahan dalaman antara PKR semakin meruncing. Ia juga mungkin akan menyebabkan PAS semakin berpecah dari dalam jika mereka hilang kuasa di Kelantan? Adakah kekucar-kaciran keadaan politik ini dapat mewujudkan satu reaksi hebat dan sihat untuk membentuk satu gerakan dan kuasa ketiga yang lebih pro-kiri dan progresif? Adakah anak-anak muda seperti API dan kolektif anak muda lain dapat membara dan menyemarakkan satu politik baru untuk Malaysia?

Bagi PSM, kami melihat perubahan biasa tidak berlaku dari awan yang cerah dan langit yang biru. Setiap konflik politik dan ekonomi merupakan satu masalah sistem yang tidak dapat menampung dan membiayai kehendak rakyat majoriti. Ini akan menyebabkan pertempuran kelas antara yang kaya dengan yang miskin. “Bersama membina kuasa rakyat” adalah laungan perang kami untuk memajukan perjuangan rakyat ke depan bersama dengan masyakarat marhaen dan kolektif-kolektif dan kumpulan-kumpulan progresif yang mahukan Malaysia untuk semua dan bukan 1% terkaya.

Antara perjuangan yang akan menjadi kritikal pada tahun depan adalah perjuangan menuntut gaji minimum RM 1500, kerana ini adalah tahun untuk menyemak semula gaji minimum. PSM juga akan melaksanakan satu program membasmi kemiskinan luar bandar dan terlibat terus dalam kerja-kerja mengorganisasi untuk pembangunan luar bandar. Perkara ketiga adalah cabaran untuk sama-sama membentuk satu gerakan melawan politik perkauman. Hanya satu gerakan pelbagai kaum dan agama yang bersatu berlandaskan solidariti kelas yang mampu berlawan dengan gerakan perkauman atau fasis di negara tercinta ini 

oleh S. Arutchelvan

Pilihanraya