“Punca masalah ekonomi bukannya produktiviti rendah, tetapi pengagihan kekayaan yang tidak adil” - Dr. Jeyakumar Devaraj PSM mengkritik Bank Dunia

“Punca masalah ekonomi bukannya produktiviti rendah, tetapi pengagihan kekayaan yang tidak adil” - Dr. Jeyakumar Devaraj PSM mengkritik Bank Dunia

9 January 2018

Dalam satu surat terbuka kepada Victoria Kwakwa, Naib Presiden Bank Dunia untuk rantau Asia Timur dan Pasifik, Dr. Jeyakumar Devaraj, AJK Pusat PSM, telah menyatakan kekecewaannya terhadap kenyataan yang diberi oleh pegawai tinggi institusi kewangan tersebut dalam satu wawancara yang disiarkan dalam akhbar The Star pada 1 Januari lalu. (pautan laporan: https://www.thestar.com.my/…/full-integration-is-key-to-su…/)

Walaupun Victoria Kwakwa mengatakan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia yang lembap dan ketidaksamarataan yang semakin serius merupakan antara cabaran utama yang dihadapi dunia hari ini, tetapi beliau tidak mengenalpasti secara khususnya punca yang menyebabkan kewujudan cabaran ini. Sebaliknya, Kwakwa mencadangkan bahawa ASEAN patut meningkatkan integrase perdagangan dengan mengurangkan halangan bukan tarif, memperbaiki nutrisi dan melabur dalam modal insan, supaya meningkatkan produktiviti yang didakwa sedang merosot.

Dr. Jeyakumar bersetuju dengan cadangan meningkatkan nutrisi dan melabur dalam penaiktarafan kemahiran, namun beliau meragui kesahihan kenyataan bahawa peningkatan produktiviti di ASEAN tidak berkembang. Dr. Jeyakumar bertanya, “bukankah cara ahli-ahli ekonomi aliran utama mengukur produktiviti itu yang bermasalah?” Formula pengiraan untuk produktiviti adalah output (disukat dengan harga barangan yang dikeluarkan) dibahagikan dengan jam kerja yang diperlukan untuk menghasilkan barangan itu. Namun, Dr. Jeyakumar mengungkitkan hakikat bahawa jika menggunakan formula sebegini, seorang pekerja biasa di barisan pengeluaran dalam kilang yang mengeluarkan semikonduktor di Lembah Silicon Amerika Syarikat adalah 15 kali ganda lebih “produktif” berbanding seorang pekerja dalam kilang yang serupa di Bayan Lepas, Pulau Pinang – proses pengeluaran yang sama, mesin yang serupa, output yang lebih kurang sama apabila menyukatnya dalam jumlah komponen yang dikeluarkan sehari oleh seorang pekerja, tetapi “produktiviti” di Bayan Lepas adalah 15 kali lebih kurang berbanding Lembah Silicon, kerana harga barangan yang dikeluarkan di Bayan Lepas adalah 15 kali lebih rendah berbanding kilang di California. “Jadi, adakah produktiviti itu benar-benar masalahnya?” tanya Dr. Jeyakumar.

Dr. Jeyakumar menanya kenapa Bank Dunia mengelakkan daripada membincangkan isu yang sebenar. “Anda ada data ekonomi dalam jumlah yang besar, dan anda ada ramai orang yang sangat pintar menjadi kakitangan anda. Tetapi, kenapa menyembunyikan isu yang sebenar?”

“Saya pasti Bank Dunia sedar bahawa lebih 70% perdagangan antarabangsa dikuasai oleh 200 syarikat korporat terbesar di dunia, dan mereka menggunakan pekerja bergaji rendah di Asia untuk mengeluarkan barangan dengan murahnya, tetapi menokok tambah harganya 300-500% sebelum menjual barangan tersebut dalam pasaran AS atau Kesatuan Eropah, maka memperoleh keuntungan yang luar biasa dan mereka akan menyembunyikannya pula di tempat berlindung cukai.”

“Bank Dunia semestinya juga sedar bahawa, dalam sejak 30 tahun yang lepas ini, memindahkan pengeluaran dari AS dan Kesatuan Eropah ke luar pesisir ke ekonomi Asia dengan gaji rendah, telah menyebabkan pengurangan pendapatan agregat rakyat pekerja di negara-negara maju. Pada masa yang sama, persaingan yang digerakkan oleh syarikat multinasional besar di kalangan kilang-kilang di Asia telah menekan gaji pekerja Asia di paras yang rendah. Hasil bersih daripada ini adalah kebantutan dalam permintaan agregat. Ini menjadi penghalang kepada pelaburan selanjut dalam membekalkan barangan dan perkhidmatan kepada rakyat biasa kerana kuasa beli mereka telah dihadkan. Tahap pelaburan yang rendah menyebabkan penciptaan peluang kerja yang kurang dan pengangguran kronik,” demikian kata Dr. Jeyakumar.

“Kecenderungan untuk membeli barangan dan perkhidmatan berkurangan dengan peningkatan pendapatan. Orang yang sangat kaya akan cuba melabur sebahagian besar pendapatan tambahan mereka, sedangkan separuh populasi yang lebih miskin akan menghabiskan apa-apa pendapatan tambahan. Apabila orang yang kaya tidak dapat melabur lebih dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan (oleh sebab kelembapan dalam pertumbuhan permitaan), mereka mencari cara lain, dan maka anda mendapat gelembung pasaran saham dan aset kewangan lain, di samping kenaikan mendadak dalam harga tanah dan hartanah (di mana ini akan menambahkan lagi kesengsaraan rakyat 80% terbawah, kerana rumah menjadi semakin tidak mampu dimiliki!),” Dr. Jeyakumar mengulas lebih lanjut.

“Jadi, Cik Kwakwa, adakah anda setuju bahawa terlalu banyak pendapatan dunia jatuh dalam tangan segelintir kecil minoriti yang mingkin hanya 0.1% daripada populasi dunia, dan ini merupakan punca utama kepada kelembapan dalam pertumbuhan ekonomi, pengangguran yang kronik, harga hartanah yang melambung tinggi dan keadaan pasaran kewangan seperti kasino?” begini kata-kata Dr. Jeyakumar kepada Naib Presiden Bank Dunia. “Jika kita setuju dengan ini, maka langkah seterusnya menjadi mudah. Kita perlu mencari jalan untuk mengagihkan pendapatan dunia dengan lebih adil. Cadangan Bernie Sanders untuk meningkatkan gaji minimum and ‘mengenakan kelas jutawan membayar bahagian cukai mereka yang sewajarnya’, adalah sesuatu yang baik untuk permulaan. Ini bukan sahaja memperbaiki kualiti kehidupan jutaan rakyat kita, ianya juga akan merangsang permintaan agregat, mewujudkan peluang pelaburan, pertumbuhan peluang pekerjaan dan membolehkan kerajaan mengurangkan hutang negara di samping membelanja lebih dalam jaringan kebajikan sosial. Ini akan menjadi kitaran yang baik. Perusahaan kecil dan sederhana (SME) dan peniaga lain yang jujur juga akan mendapat faedah.”

“Integrasi negara-negara ASEAN yang selanjutnya boleh menjadi sebahagian daripada solusi yang disebut di atas, tetapi ianya perlu sebagai satu integerasi yang ingat pada keperluan untuk membendung pengelakan cukai oleh golongan jutawan dan keperluan untuk menghentikan serta menterbalikkan ‘perlumbaan ke bawah’ (race to the bottom) dari segi gaji dan piawaian alam sekitar.” Banyak negara Asia dan Afrika yang miskin terperangkap dalam perlumbaan ke bawah kerana kerajaan negara ini terdesak untuk menarik pelaburan asing.

“Amat bagus jikalau anda menunjukkan kebenaran ini kepada pemimpin politik ASEAN semasa lawatan anda ke sini, dan memulakan perbincangan yang serius tentang bagaimana cara-cara yang dicadangkan oleh Bernie Sanders itu dalam diperkenalkan secara berperingkat. Ramai pemimpin politik kami kagum pada institusi anda dan anda sepatutnya boleh memberi bantuan besar kepada rakyat biasa ASEAN! Namun sebaliknya, anda memilih untuk menyembunyikan kebenaran dan mengelirukan lagi minda pemimpin politik kami yang sudah pun bercelaru. Sayangnya sekali, melindungi golongan mahakaya telah menjadi salah satu fungsi Bank Dunia. ”

 

bank dan dunia