PSM: Perjanjian perdagangan akan binasa sektor kesihatan awam

PSM: Perjanjian perdagangan akan binasa sektor kesihatan awam

29 January 2018

PETALING JAYA: Parti Sosialis Malaysia (PSM) memberi amaran sektor kesihatan awam akan mengalami kesan dahsyat jika kerajaan kekal berminat menandatangani perjanjian perdagangan bebas antarabangsa.

Merujuk laporan mengenai komitmen Malaysia terhadap Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata, perjanjian seumpama itu akan membawa bencana kepada kemudahan kesihatan awam.

Katanya, kerajaan sudah berdepan masalah akibat penghijrahan pakar ke sektor swasta dan perjanjian perdagangan bebas akan memburukkan lagi keadaan.

“Pakar dan jururawat bagus di hospital kerajaan akan berkurangan kerana mereka akan berhijrah ke sektor swasta disebabkan gaji lebih baik,” katanya sambil menambah mudah untuk hospital swasta mengenal pasti kakitangan perubatan kerajaan yang baik dan mengambil mereka.

“Itu sebabnya salah satu perkara yang PSM minta ialah pembekuan sektor perubatan swasta. Semakin ia berkembang, lebih ramai kakitangan akan diambil daripada kerajaan.

“Sekarang kita perlu menunggu lama sebelum menemui seorang pakar di hospital kerajaan. Ia hanya akan bertambah teruk.”

Jeyakumar ialah ahli Parlimen Sungai Siput dan seorang doktor.

Rabu lalu, PSM mencadangkan “Piagam Rakyat” bagi menentang perjanjian perdagangan bebas yang dianggapnya tidak adil dan memanfaatkan syarikat besar.

Perjanjian itu termasuk RCEP yang dianggap Putrajaya sebagai pengganti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), selepas Washington yang dipimpin Donald Trump menarik diri tahun lalu.

RCEP yang diterajui Asean bertujuan menyepadukan ekonomi 16 negara di Asia dan Oceania.

Jeyakumar berkata, ia akan membuka jalan kepada syarikat antarabangsa menubuhkan hospital yang akan mendapatkan lebih banyak paten dan hak cipta.

“Mereka kemudiannya boleh datang dan menubuhkan sebuah hospital dan anda tidak boleh tolak. Jika anda kata tidak, ia bermakna anda merampas hak mereka sebagai pelabur dan mereka boleh saman negara.

“Hospital antarabangsa swasta besar ini akan membawa beberapa pakar dari luar negara dan mencuri kakitangan dari semua hospital kerajaan dengan menawarkan gaji dan manfaat lebih baik.”

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam baru-baru ini berkata, bilangan profesional perubatan meninggalkan sektor awam meningkat setiap tahun akibat jurang gaji antara sektor swasta dan kerajaan.

Jeyakumar berkata, PSM turut menggesa penolakan terhadap sebarang cubaan memperkukuhkan perlindungan harta intelek melampaui ketetapan di bawah Perjanjian Perdagangan Berkaitan Harta Intelek (Trips), perjanjian antarabangsa antara negara anggota Pertubuhan Perdagangan Sedunia.

“Idea yang pengetahuan boleh dimiliki syarikat yang kemudiannya menggunakan pemilikan untuk mewujudkan monopoli dan meningkatkan harga ubat-ubatan ke tahap melampau meluatkan kami.

“Pengetahuan adalah sesuatu yang dibina daripada satu generasi ke generasi seterusnya. Ya, wawasan cemerlang dan kerja keras perlu diberikan ganjaran, tetapi tentunya bukan hak monopoli selama 20 tahun.”

FTA & TPPA