Penduduk B40 Cameron Highlands tuntut penyelesaian untuk masalah rumah

Penduduk B40 Cameron Highlands tuntut penyelesaian untuk masalah rumah

29 January 2018

17 Januari 2017, Putrajaya

Penduduk-penduduk daripada keluarga 40% berpendapatan paling bawah (B40) di Cameron Highlands telah mengadakan protes di hadapan Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada hari ini, menuntut temujanji dengan pihak Perdana Menteri untuk menyelesaikan isu rumah mampu milik yang dihadapi mereka. 

Ini merupakan kali ketiga penduduk B40 dari Cameron Highlands datang ke JPM untuk membawa tuntutan supaya masalah perumahan mereka dapat diselesaikan. Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) yang ditubuhkan PSM Cameron Highlands telah datang ke JPM pada 5 Disember lalu untuk mendapatkan temujanji untuk membincangkan masalah mereka seperti yang dijanjikan pegawai JPM sebelum itu, tetapi gagal menemui mana-mana pegawai kanan dari JPM walaupun mereka tunggu dari waktu pagi sampai petang. 

Oleh itu, JRM telah bercadang untuk berkhemah pada hari ini untuk menunggu sehingga JPM memberikan temujanji untuk berbincang dan menyelesaikan masalah mereka. 

Berikutan protes yang diadakan di hadapan JPM pada hari ini, penduduk akhirnya dapat berjumpa dengan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Seelan. Penduduk telah diberitahu bahawa isu tersebut telah diambilalih oleh Seelan selepas mereka hadir di JPM pada 5 Disember yang lepas. Aneh sekali, penduduk Cameron Highlands hanya mendapat perkara ini lebih sebulan selepas mereka hadi ke JPM dan pada hari ini apabila mereka bercadang untuk berkhemah sampai dapat temujanji. 

Pihak JPM telah bersetuju untuk mengadakan perjumpaan susulan pada 29 Januari akan datang dan pihak JRM akan membawa senarai keluarga B40 yang memerlukan rumah untuk semakan. Pihak JPM juga pada dasarnya bersetuju untuk membina rumah yang disubsidi kerajaan untuk kumpulan B40 di Cameron Highlands ini. 

Ini merupakan satu perkembangan yang positif selepas desakan yang berterusan daripada penduduk Cameron Highlands. 

Suresh Psm, Setiausaha PSM Cameron Highlands, telah hadir bersama dengan penduduk Cameron Highlands pada hari ini semasa protes di hadapan JPM. 

******

Latar belakang isu

Banyak keluarga golongan B40 telah tinggal di Cameron Highlands untuk puluhan tahun, tetapi sampai sekarang hanya menyewa atau mendirikan rumah di atas tanah kerajaan (peneroka bandar). Harga rumah terlalu mahal di Cameron Highlands dan syarat-syarat pembelian rumah PR1MA yang tidak munasabah menyebabkan mereka terpinggir.

Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) sudah menghantar beberapa pucuk surat kepada Perdana Menteri untuk meminta temujanji s, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan. Beberapa surat yang dihantar kepada Perbadanan PR1MA juga tidak mendapat jawapan.

JRM bersama dengan penduduk Camerron Highlands telah hadir di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 24 Oktober 2017 untuk mendapatkan temujanji berjumpa PM tetapi telah diminta pulang oleh Setiausaha Politik PM, Jailani Ngah, melalui pegawainya, Wan Mohd Azizol. Wan Mohd Azizol telah berjanji untuk menghantar satu salinan surat temujanji melalui e-mel dan juga melalui pos, tetapi sampai sekarang JRM tidak mendapat sebarang surat sehingga sekarang.

Berikutan kegagalan Jailani Ngah dan Wan Mohd Azizol dari JPM memberikan temujanji, sebanyak 38 keluarga yang menganggotai JRM telah membuat aduan polis di IPD Cameron Highlands pada 13 November 2017.

Pada 5 Disember 2017, penduduk Cameron Highlands mengadakan protes di hadapan JPM untuk meminta supaya satu tarikh temujanji diberikan, tetapi dari waktu pagi sampai pejabat JPM ditutup, mereka masih tidak diberi apa-apa surat temujanji.