Tuntut sistem cukai yang adil dan progresif

Tuntut sistem cukai yang adil dan progresif

29 January 2018

Sistem percukaian yang adil dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan kemakmuran bersama dalam masyarakat kita.

Percukaian progresif membolehkan golongan yang lebih kaya menyumbang lebih pendapatan mereka, supaya kekayaan itu dapat digunakan untuk menyediakan perkhidmatan asas kepada seluruh rakyat, maka kekayaan masyarakat dapat diagihkan semula dengan cara ini dan golongan yang miskin dapat memperbaiki hidup mereka.

Namun, di bawah dasar ekonomi neoliberal yang diamalkan kerajaan negara kita sejak zaman pemerintahan Mahathir sehingga kini, sistem percukaian progresif dihakis dan digantikan dengan sistem percukaian regresif. Percukaian regresif memaksa golongan miskin membayar nisbah cukai yang lebih tinggi berbanding golongan kaya. Kadar cukai terhadap golongan mahakaya dikurangkan, sedangkan rakyat biasa dipaksa membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bersifat regresif.

Golongan mahakaya dapat mengelakkan diri daripada membayar cukai, termasuk membawa keluar kekayaan mereka untuk disembunyikan di tempat berlindung cukai di luar negara, sementara rakyat marhaen terpaksa menanggung kos hidup yang semakin meningkat dan dibebankan lagi dengan cukai GST.

Golongan mahakaya menggunakan kelemahan sistem cukai untuk menjadikan mereka lebih kaya, tetapi rakyat marhaen yang menanggung sengsara. Jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin semakin melebar akibat sistem percukaian yang tidak adil.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) memperjuangkan sistem percukaian yang progresif demi mewujudkan sebuah masyarakat yang adil dan saksama.

Saranan PSM untuk sistem percukaian yang progresif dan adil:
i. Hapuskan cukai GST yang memiskinkan rakyat.
ii. Tingkatkan secara beransur-ansur kadar cukai pendapatan untuk Banjaran Pendapatan Bercukai yang tertinggi (> RM 1,000,000).
iii. Kembalikan cukai warisan harta, iaitu cukai yang dikenakan ke atas tinggalan harta pusaka dan ke atas pemindahan aset dalam kalangan golongan kaya yang bernilai berjuta-juta.
iv. Perkenalkan cukai keuntungan modal atau cukai transaksi kewangan, iaitu cukai yang dikenakan ke atas keuntungan daripada urusniaga saham dan derivatif kewangan. Pendekatan ini dapat juga membendung aktiviti spekulasi kewangan yang mengancam kestabilan ekonomi.
v. Perkenalkan cukai keuntungan modal dan cukai progresif ke atas kekayaan dan barangan mewah yang dikumpulkan oleh golongan mahakaya.
vi. Kawalselia dan kenakan cukai ke atas transaksi kewangan, iaitu cukai yang dikenakan ke atas keuntungan daripada urusniaga saham dan derivatif kewangan. Pendekatan ini dapat juga membendung aktiviti spekulasi kewangan yang mengancam kestabilan ekonomi.
vii. Ketatkan langkah-langkah dan undang-undang cukai bagi membendung pengelakan cukai daripada golongan mahakaya dan korporat besar.

PSM telah terlibat dalam usaha menggerakkan Gabungan Bantah GST.


#PSM
#Sosialis
#BersamaMembinaKuasaRakyat
#BinaKuasaRakyat


 

GST