Apakah Yang Telah Dilakukan Oleh Ahli Parlimen Sungai Siput?

Apakah Yang Telah Dilakukan Oleh Ahli Parlimen Sungai Siput?

24 March 2018

Prestasi Ahli Parlimen Sg Siput

Satu lagi penggal parlimen akan tamat tidak lama lagi, dan rakyat Malaysia akan turun mengundi. Adalah wajar semua pengundi di Malaysia bertanya – apakah yang telah dilakukan oleh wakil rakyat yang saya pilih 5 tahun dulu? Adakah saya puas dengan apa yang dia telah lakukan dengan kuasa yang pengundi kawasan ini telah beri padanya?

 

Untuk memudahkan proses evaluasi ini bagi Kawasan Sg Siput, saya ingin beri ulasan ringkas terhadap usaha saya dan pasukan saya untuk kotakan janji-janji yang kami beri semasa kempen Pilihan Raya 13. Apa yang saya berjanji pada tahun 2013 adalah

  • Saya akan turun ke padang untuk memahami masalah-masalah yang dihadapi oleh rakyat Sg Siput dan

o   Mengambil langkah untuk menyelesaikan masalah mereka

o   Membentang isu-isu ini di Parlimen

o   Mengorganisasi rakyat dan pakai kuasa rakyat untuk cuba selesaikan masalah-masalah ini.

  • Saya akan memberi maklumbalas kepada rakyat Sg Siput berkaitan usaha-usaha saya
  • Saya akan membawa satu budaya politik baru

o   Elak daripada memainkan isu perkauman

o   Elak daripada pakai posisi politik untuk jadi kaya

o   Menghormati kebijaksanaan orang ramai

 

Saya biasanya “turun ke padang” melalui

- Lawatan ke pasar pagi dan pasar petang dua kali sebulan (pada puratanya) untuk mengedarkan risalah terhadap isu-isu rakyat;

- Respon dengan kadar segera dan melawat sesiapa yang menghubungi kami berkaitan masalah di kawasan mereka (seperti kebakaran, banjir, pengusiran paksa, dll). Nombor telepon saya dan pasukan saya diedarkan seluas-luasnya di kawasan Sg Siput;

- Pusat Servis Ahli Parlimen di Tmn Orkid, Sg Siput. Saya sendiri menerima kes di Pusat Servis sekurang-kurangnya sekali seminggu.

- Lawatan ke rumah-rumah 100 hingga 130 keluarga berpendapatan rendah untuk mengedarkan sumbangan kecil setiap Hari Raya, Tahun Cina Baru dan Deepavali;

- Kehadiran ke Jamuan Kahwin dan Upacara Perayaan Kuil dan Persatuan bila dijemput.

 

Melalui kaedah-kaedah ini, saya dan pasukan PSM di Sg Siput telah mengenalpasti 5 masalah umum yang dihadapi oleh masyarakat Sg Siput iaitu

   a/ Pengusiran petani dan penternak yang sedang mengusahakan tanah kerajaan

   b/ Pendapatan rendah di kalangan orang Melayu di kampong-kampong tradisi

   c/ Tiada cukup rumah kos rendah di Sg Siput

   d/ Masalah banjir di Lasah-Lintang, di tepi Sg Buloh, di Tmn Muhibbah dan di Tmn Kledang Fasa 2D.

   e/ Masalah pembalakan berdekatan kampong Orang Asli.

Berikut adalah laporan ringkas terhadap langkah-langkah yang diambil oleh saya dan pasukan PSM Sg Siput berkaitan 5 isu ini.

 

I.                   Masalah Umum yang Dihadapi Rakyat Sg Siput

A: Pengusiran petani dan penternak yang mengusahakan tanah kerajaan

  1. Kami telah menubuhkan jawatankuasa tempatan di kalangan tiga komuniti petani yang hadapi masalah pengusiran – iaitu Padang Tembak, Air Hitam dan Rimba Panjang (belakang Lafarge) – dan membantu mereka membawa isu mereka ke perhatian Pejabat Tanah dan Menteri Besar Perak.
  2. Turun ke kawasan untuk menghalang usaha pengusiran. Dan melaporkan Aduan-Aduan Polis untuk mempertahankan hak petani.
  3. Menfailkan kes di Mahkamah Taiping untuk petani Padang Tembak (Telah dapat bantuan Dato Ambiga untuk kes ini.)
  4. Telah membentang Bil Persendirian di Parlimen untuk meminda Kanun Tanah Negara untuk wujudkan perlindungan untuk petani tanpa geran. Pindaan saya mencadangkan penubuhan Lembaga Tanah Pertanian yang baru untuk memastikan kepentingan petani dan penternak tidak dicabuli oleh projek pembangunan (tetapi Bil Persendirian ini dihalang oleh Speaker)
  5. Melaksanakan kempen tandatangan untuk beri tekanan pada Menteri Besar untuk bertindak lebih adil terhadap petani dan penternak. Petisyen dengan 1900 tandatangan telah diberi kepada MB pada 25/1/2018.

 Kami masih sedang meneruskan dengan usaha ini kerana kami percaya bahawa untuk kepentingan generasi yang akan datang -

  • Adalah amat penting bekalan makanan untuk rakyat kita tidak terjejas.
  • Pertanian dan penternakan berkaitan bekalan makanan harus dipelihara dan dikekalkan.
  • Jika tanah perlu untuk sekolah, rumah, kilang ataupun projek “pembangunan” lain, lebih baik untuk pakai tanah estet besar dengan membayar mereka pampasan yang berpatutan.

 

B. Pendapatan rendah di kalangan orang Melayu di kampong tradisional

1. Saya telah melawat ke kampong-kampung Melayu untuk mendapat pemahaman punca-punca kemiskinan di kalangan orang kampong. Kami telah mengumpul data terhadap 135 buah keluarga untuk menyiasat masalah ini. Hasil kajian ini, satu Kertas Kerja disediakan.

2. Bila laporan ini dibentang dalam Kongres PSM pada tahun 2016, ahli PSM telah memutuskan bahawa satu kajian peringkat nasional harus dilaksanakan. Ekoran itu kami telah melawat ke Kedah (jumpa pesawah), Terengganu (nelayan) dan Pahang (FELDA) untuk mengumpul lebih data lagi.

3. Daripada tinjauan dan siasatan kami, kami dapati bahawa antara punca utama untuk kemiskinan masyarakat desa adalah

- Lambakan pekerja asing tanpa dokumen di kawasan desa yang mengurangkan peluang bekerja dan juga menekan gaji pekerja kontrak di sektor pertanian ke paras rendah;

- Fenomena “Pagar makan padi” di mana sebahagian besar daripada peruntukan kerajaan untuk bantu komuniti luar bandar dimakan oleh agensi ataupun kontraktor yang ditanggungjawabkan untuk melaksanakan program-program itu;

- Memperniagakan kemudahan asas yang meningkatkan kos hidup harian;

- Sistem ekonomi antarabangsa yang memeras petani dan pekerja di Dunia Ketiga dengan menekan harga komoditi ke paras yang rendah.

4. Antara syor yang dikemukakan oleh Task Force PSM adalah

  a/ Untuk mengendalikan lambakan pekerja asing

  • Pengambilan pekerja asing dari negara asal mereka harus dikendalikan oleh kerajaan dan bukan oleh pihak swasta yang hanya mahu menambahkan untung;
  • Hak pembelaan diri bagi pekerja asing harus ditingkatkan supaya mereka tidak terpaksa larikan diri daripada tempat kerja (dan menjadi PATI);
  • Pemilik/Pengurus majikan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen harus dipenjarakan.

   b/ Untuk kendalikan fenomena “Pagar makan padi”

  • Pengerusi JKKK harus dipilih oleh orang kampong dan bukan oleh ADO (Pembantu Pegawai Daerah) ataupun Ketua Bahagian parti politik. Barulah JKKK dapat memainkan peranan semak dan imbang secara yang berkesan.
  • Semua maklumat berkaitan projek bagi orang kampong harus dimuatkan dalam laman web Pejabat Daerah tempatan supaya JKKK dapat memantau sama ada kontraktor buat kerja betul atau sedang cuba menipu dengan menghasilkan projek yang tidak berkualiti;

   c/ Memperkuatkan sistem perlindungan sosial. Antara syor spesifik kami adalah

  • Kerajaan harus membayar caruman perkeso untuk semua petani, penternak dan nelayan yang mengeluarkan bekalan makanan untuk rakyat kita. Ini hanya akan memerlukan bayaran RM 150 juta setahun tetapi ianya wujudkan perlindungan untuk keluarga petani setaraf dengan pekerja kilang.
  • Skim pencen warga emas untuk semua rakyat Malaysia yang 70 tahun ke atas dengan kadar RM 300 se bulan.

   d/ Berwaspada dengan perjanjian-perjanjian “perdagangan” antarabangsa supaya tidak menghakiskan lagi kepentingan rakyat biasa.   

5. Idea-idea ini telah dibentang oleh saya dalam Dewan Rakyat dalam beberapa ucapan dasar. Hasil kajian ini juga dikongsi dengan NGO, para akademik dan juga MP parti-parti Pakatan Harapan dalam dua sesi Perbincangan Meja Bulat.

6. PSM sedang cuba memainkan peranan dalam wujudkan satu jaringan nasional di kalangan pesawah, pekebun kecil, nelayan dan peneroka FELDA untuk mengetengahkan isu-isu mereka.

 

C. Perumahan Kos Rendah untuk Rakyat Sg Siput

C-1: Permohonan skim rumah kos rendah

Kami telah memperolehi Borang Permohonan rumah kos rendah daripada laman web Kerajaan Negeri Perak. Adalah dinyatakan dalam borang ini bahawa hanya keluarga dengan pendapatan bulanan di bawah RM 3000 yang masih tiada rumah sendiri yang boleh memohon di bawah skim ini. Skim PPR ini akan membekalkan rumah teres dengan kos RM 40,000. Kami telah menggalakkan keluarga berpendapatan rendah untuk memohon dan telah mengemukakan 120 pemohonan ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak pada bulan Oktober 2016.

Malangnya, kerajaan Negeri Perak hanya meluluskan skim PPR di satu kawasan sahaja di Perak dalam 5 tahun yang lalu dan tidak beri sebarang respon pada permohonan 120 orang ini. Oleh itu, kami telah menubuhkan jawatankuasa para pemohon untuk terus menguruskan permohonan ini dengan menghubungi pihak SUK dari masa ke semasa.

 

C-2: Geran untuk Peneroka Bandar

(Peneroka bandar = penduduk kampong yang tidak mempunyai geran untuk tanah di mana rumah mereka didirikan.)

Kami telah melakukan kajian rumah ke rumah di 9 buah kampong peneroka bandar di Sg Siput – nama-nama penduduk serta semua ahli keluarga dicatit, pelan lokasi rumah dilukis dan sejarah kampong direkod. Di 5 daripada kampong ini, (Kg Bengali, Kg Sg Buloh, Kg Jln Lintang, Kg Belakang Shin Chung dan Kg Veerasamy) tanah adalah milikan kerajaan negeri manakala di 4 kampung yang baki (Kg Perak Hydro, Kg Gopal, Kg Bahari dan Kg Kapor) tanah adalah dimiliki oleh individu swasta.

Permohonan kami untuk 5 kampung yang diwujudkan atas tanah kerajaan adalah untuk geran tanah terhadap tanah yang diduduki diberikan kepada penduduk supaya mereka tidak perlu berpindah dan keluarkan jumlah duit yang besar untuk membina rumah baharu. Untuk 4 buah kampong atas tanah swasta permohonan kami adalah skim Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) supaya keluarga terlibat dapat berpindah ke kawasan baharu.

Malangnya, walaupun penduduk 9 buah kampong tersebut telah menghantar surat dan memorandum berulang kali, kerajaan negeri hanya meluluskan permohonan 24 orang penduduk di kampong Veerasamy (ada 60 orang penghuni kesemuanya di Kg Veerasamy). Langsung tiada jawapan kepada penduduk-penduduk di 8 buah kampong yang lain. Pada pertengahan tahun 2017 kami menubuhkan jawatankuasa bersama antara 9 buah kampong ini untuk mendesak Menteri Besar Perak untuk memberi respon kepada permohonan mereka.  

 

Tuntutan kami adalah – skim perumahan kos rendah untuk keluarga-keluarga berpendapatan rendah di Sg Siput harus dilaksanakan sebelum semua tanah berdekatan bandar dipakai untuk rumah harga tinggi yang diluar keupayaan rakyat biasa.

 

D. Masalah banjir di Lasah-Lintang, di tepi Sg Buloh, di Tmn Muhibbah dan di Tmn Kledang Fasa 2D.

Banjir kerap melanda Sg Siput dalam 5 tahun yang lalu. Kami telah turun ke kawasan-kawasan yang terlibat semasa banjir untuk dapat memahami punca-puncanya dan untuk menawar bantuan yang kami sanggup beri. Kami juga telah melawat Jabatan Pengairan dan Salinan (JPS), Pejabat MPKK dan Pejabat Perhutanan, dan juga mengadakan perbincangan dengan jurutera projek perumahan untuk memahami langkah-langkah yang diambil oleh mereka untuk elak daripada banjir. Kami juga telah memakai drone untuk memerhati kawasan di hulu Sg Buloh dan Sg Bemban. Pada amnya, punca banjir di 4 kawasan ini adalah

  • Pembangunan tanah (pembalakan, pembukaan ladang baru dan projek perumahan) yang menyebabkan

o   Pemendapan sungai

o   Peningkatan nisbah air yang memasuki sungai dalam 2 jam pertama selepas hujan

o   Penutupan kolam-kolam yang sebelum ini berfungsi sebagai kolam tadahan selepas hujan lebat.

  • Kegagalan kerajaan untuk terus membersihkan dan mendalamkan sungai yang terlibat.
  • Kegagalan Kerajaan Negeri mengambil langkah untuk menangani hakisan tanah di kawasan hulu sungai. 

 

Syor-syor kami untuk mengatasi banjir di Lintang-Lasah

    a/ Hentikan pembalakan di Ulu Lasah dan memulihkan tebing sungai di kawasan yang telah dibalak untuk mengurangkan hakisan tanah dan pemasiran sungai

    b/ Membina kolam tadahan air di ladang di Ulu Chior Lasah.

    c/ Terus mendalamkan sungai dari pekan Lasah ke kuala antara Sg Pelus dan Sg Perak

    d/ Wujudkan kolam tadahan air untuk anak sungai di kawasan pekan Lintang.

    e/ Membaiki pintu flap untuk longkang yang masuk Sg Pelus di kawasan pekan Lintang. Bina pelindung konkrit untuk pintu flap supaya tidak dirosakan oleh kayu balak yang dihanyut oleh air sungai.

    f/ Memindahkan 12 rumah di Kg Tok Sirat ke lokasi yang lebih tinggi.

 

Syor-syor berkaitan Sg Buloh

     a/ Tubuhkan jawatankuasa bersama yang melibatkan MPKK, JPS, Perhutanan dan Pejabat Tanah untuk mengkaji dan mengendalikan isu ini.

     b/ Wujudkan kolam tadahan air di ulu Sg Buloh

     c/ Hentikan pembalakan di Ulu Sg Buloh dan memulihkan tebing-tebing sungai.

     d/ Mendalamkan Sg Buloh secara berterusan dan membawa pasir jauh sedikit daripada tebing sungai.

 

Cara mengatasi masalah banjir di Tmn Muhibbah

  a/ Membina satu lagi saluran longkang di simpang Jln Dato See Khoon Lim dan Jln Kilang.

  b/ Wujudkan satu kolam tadahan di kawasan sebelah Sekolah Wahab.

  c/ Mendalamkan Sg Sintang

  d/ Membina satu batasan untuk menahan air sungai daripada melimpah ke dalam Taman Muhibbah.

 

Syor-syor mengatasi banjir di Tmn Kledang

a/ membesarkan longkang berdekatan bukit di belakang taman.

b/ Memulihkan tebing anak sungai untuk mengurangkan pemasiran longkang

c/ Wujudkan kolam tadahan di tepi ladang untuk memperlahankan aliran air anak sungai.

 

Kami telah menghantar surat dan memorandum ke Menteri Besar Perak, tetapi YAB tetap enggan untuk berjumpa dan berdialog. Kami telah berjumpa dengan JPS, MPKK dan Perhutanan tetapi mereka tidak ada kuasa untuk melaksanakan langkah-langkah yang cukup berkesan. Kami telah menganjurkan petisyen-petisyen tandatangan untuk banjir di kawasan Sg Buloh dan juga di Tmn Muhibbah.

 

 

 

 

E. Masalah Orang Asli Pos Piah

Pada bulan Jun 2017 kami didekati oleh masyarakat Orang Asli Pos Piah yang menghadapi pencerobohan tanah adat mereka oleh syarikat kayu balak. Kami telah membantu mereka sediakan surat dan menemani mereka ke Jabatan Perhutanan. Tetapi Pejabat Perhutanan tidak melayani mereka.

Pada bulan Ogos 2017 sebelas antara mereka ditangkap ekoran aduan polis palsu yang dilaporkan oleh Renjer Jabatan Perhutanan. Kami telah berkejar ke Gerik pada tengah malam untuk bersama mereka dan membantu aturkan pembelaan peguam bagi mereka (di Mahkamah Taiping pada hari keesokannya). Selepas itu kami membantu mereka menghantar surat kepada Menteri Besar, dan juga aturkan mesyuarat dengan Menteri Alam Sekitar di Kuala Lumpur.

Oleh kerana masalah mereka belum ditangani oleh Menteri Besar Perak, kami sekarang sedang menggalakkan kampong-kampung Orang Asli di Perak yang menghadapi masalah yang sama untuk bersidang untuk merancang strategi bersama.

 

F. Kemudahan Awam untuk rakyat Sg Siput

i/ Perpustakaan Bandar Sg Siput

  • Kami telah melawat Pengarah Perpustakaan Perak dan beliau telah berjanji membekalkan buku dan kakitangan untuk memulakan Perpustakaan di bandar Sg Siput sekiranya satu bangunan dikhaskan untuk tujuan ini.
  • Kami telah mencadangkan kepada ADO Sg Siput dan YDP MPKK untuk memakai tingkat atas Kompleks Sentosa, Sg Siput sebagai Perpustakaan sementara tetapi cadangan ini ditolak.
  • Satu kempen tandatangan dilancarkan dan lebih daripada 1500 tandatangan di kutip. Memorandum dengan tandatangan ini dihantar ke Menteri Pelancongan dan Budaya, YB Dato Seri Nazri. Beliau kata cadangan membina Perpustakaan di bandar Sg Siput telahpun dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia 11.
  • Kami sedang menunggu.

 

Ii/ Perkhidmatan keretapi untuk rakyat Sg Siput

  • Oleh kerana hanya ada satu tren dari utara dan satu lagi dari selatan yang berhenti di Sg Siput kami telah melawat Pengurus Keretapi di Ipoh untuk membincang isu ini, dan telah hantar surat ke KTM Malaysia.
  • Satu kempen tandatangan diadakan di mana 320 tandatangan dikutip dan diserahkan kepada Pengurus KTM Intercity di Kuala Lumpur pada pertengahan tahun 2017.
  • Perkhidmatan keretapi bagi Sg Siput telah ditingkatkan selepas itu ke 3 tren dari utara dan 3 tren dari selatan setiap hari.

 

II.                Kes-kes Peribadi

Selain daripada 7 isu di atas yang melibatkan beberapa ratus rakyat Sg Siput, saya dan pasukan saya didekati oleh rakyat Sg Siput untuk bantuan menangani pelbagai masalah peribadi termasuk

  • Permohonan Perkeso dan Kwsp
  • Isu-isu perubatan
  • Masalah di tempat kerja
  • Masalah dengan bank kerana tunggakan dalam bayaran pinjaman perumahan
  • Permohonan untuk bantuan kebajikan
  • Nasihat berkaitan pendidikan
  • Masalah kerakyatan dan ketiadaan sijil kelahiran
  • Masalah longkang, jalan berlubang, lampu jalan raya dll
  • Pergaduhan dengan jiran, peceraian, dan penangkapan oleh polis
  • Penipuan oleh syarikat insuran
  • Dll lagi.

Kami menerima lebih kurang 50 kes baharu setiap bulan dan dapat membantu menyelesaikan sebahagian besar daripada kes-kes ini. Kami memang serius dalam usaha ini dan azam mencari jalan untuk mengatasi masalah yang diadu. Dalam 5 tahun yang lalu kami telah ambil

Tindakan Mahkamah

·         Menfailkan kes terhadap Menteri Dalam Negeri kerana menolak permohonan kerakyatan bagi seorang anak yang bapanya warga Malaysia atas alasan perkahwinan dengan ibunya (seorang warga Filipina) tidak didaftarkan pada takat anak itu dilahirkan. (Permohonan dibuat 3 kali dan tiap kali ditolak) ;

·         Menfailkan kes terhadap Jabatan Pendaftaran kerana enggan mem”bin”kan seorang anak dengan nama sebenar bapanya kerana dilahirkan hanya 5 bulan 2 minggu selepas tarikh nikah;   

·         Menfailkan dua kes di Tribunal Perkeso (Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial) berkaitan penolakan tuntutan 2 orang ahli. (Kami menang satu kes dan kalah kes kedua);

·         Menfaikan beberapa puluh kes di Pejabat Buruh dan Jabatan Perhubungan Perusahaan berkaitan masalah di tempat kerja;

·         Membantu beberapa orang pesakit menfailkan aduan rasmi terhadap layanan perubatan yang tidak memuaskan.

 

Ibu Tunggal

Ibu tunggal merupakan golongan yang amat memerlukan bantuan. Kami telah menggalakkan beberapa NGO untuk bergabung dan melaksanakan program untuk membantu golongan ini. Pakatan NGO ini telah menyewa 5 buah rumah untuk memberi perlindungan untuk ibu tunggal yang memerlukan penginapan. 50 orang ibu tunggal telah diberi penginapan dalam tempoh 5 tahun yang lalu. 36 telah meninggalkan rumah perlindungan selepas dapat stabilkan situasi mereka. 5 antara mereka telah meninggal dunia. Pada takat ini 9 ibu tunggal dengan 6 orang anak-anak mereka sedang berlindung dalam 5 buah rumah ini. Saya menyalurkan RM 1500 daripada gaji saya ke projek ini setiap bulan. (Gaji saya sebagai Wakil Rakyat adalah RM 25,500 sebulan. Lebih daripada RM18,000 disalurkan setiap bulan untuk kerja politik dan kawasan. Saya (seperti semua ahli parlimen pembangkang) tidak menerima satu sen pun daripada Peruntukan Kawasan RM 1 juta setahun yang diberi pada semua Wakil Rakyat BN!

 

Kami juga telah memperolehi bantuan segabungan NGO dari Kuala Lumpur untuk membekalkan barang-barang makanan berjumlah RM 150 sebulan sekeluarga untuk 20 orang ibu tunggal lain. Projek ini telah bermula pada Disember 2017 dan persetujuan kami dengan gabungan NGO KL adalah untuk meneruskan projek ini selama 1 tahun sebelum buat keputusan samada mahu teruskan ataupun tidak.

 

Kami telah bawa isu kesengsaraan ibu tunggal ke perhatian PSM Pusat dan satu kajian nasional diadakan di mana semua cawangan PSM diminta buat temuduga dengan beberapa orang ibu tunggal di kawasan mereka untuk mendapat tahu masalah-masalah yang dihadapi oleh mereka. Hasil kajian tersebut Meja Wanita PSM Pusat telah sediakan Kertas Kerja dan anjurkan Diskusi Meja Bulat terhadap isu ini. Keputusan perbincangan ini dipanjangkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.    

 

 

III.             Isu-Isu Rakyat yang Dibentang Di Parlimen

Saya serius terhadap kehadiran Parlimen dan sentiasa cari ruang untuk mengemukakan isu-isu rakyat biasa semasa debat dalam Parlimen. Sebagai contoh usaha ini, dalam Tahun 2017 saya telah membentangkan isu-isu seperti yang berikut di Parlimen :

  • Isu kewarganegaraan kanak-kanak tanpa dokumen lengkap
  • Syor untuk memperluaskan perlindungan Perkeso untuk orang yang bekerja bersendirian seperti perniaga kecil, pemandu teksi, penoreh getah, pekerja kontrak dll
  • Cadangan memperketatkan undang-undang supaya kawal usaha orang maha kaya (billionaire) menyembunyikan pendapatan mereka di Tax Haven (tempat berlindung cukai) untuk elak membayar cukai ke kerajaan Malaysia.
  • Mempersoalkan kebijaksanaan Skim Pesakit Membayar Penuh di Hospital-Hospital Kerajaan. Saya tanya jika skim ini akan wujudkan pertindihan kepentingan bagi doktor pakar di mana mereka mengabaikan pesakit yang tidak membayar. 
  • Penipuan terhadap pekerja “cleaner” di sekolah-sekolah kerajaan oleh kontraktor-kontraktor.
  • Membantah Pindaan Akta Perbadanan Harta Intelek kerana ragu pindaan ini akan menjadikan Agensi yang luluskan Paten lebih mesra pada syarikat besar yang mahu memakai paten untuk mewujudkan monopoli untuk ubat-ubat.
  • Kelambatan dalam pembedahan “bypass’ untuk penyakit jantung. (Saya menerima aduan bahawa tarikh pembedahan ditetapkan 10 bulan dari tarikh rujukan ke Hospital Serdang) 
  • Sokong dengan penuh Skim Insurans Pekerja.
  • Isu tiada simpanan yang mencukupi untuk tempoh masa selepas pencen.
  • Isu kos rawatan perubatan dan harga rumah melambung tinggi
  • Isu hutang berat yang membebani graduan universiti.
  • Spekulasi dalam tanah dan rumah yang meningkatkan kos rumah untuk rakyat
  • Keperluan mencabar pendekatan neoliberal yang memperniagakan segala keperluan asas. Pendekatan ini meningkatkan kos memperolehi kemudahan ini.
  • Isu orang-orang pelarian
  • Baucar untuk subsidi baja. Kerana sekarang, ramai pesawah mengadu bahawa baja yang dibekalkan secara percuma kepada mereka tidak berkualiti. Orang tengah (syarikat Bumiputra) yang diberi tanggungjawab untuk menyampaikan subsidi baja kepada 170,000 pesawah tidak buat kerja mereka dengan baik.
  • Padang ragut untuk penternak di keliling bandar-bandar kita.
  • Mempersoalkan langkah-langkah yang sedang diambil untuk membangunkan tenaga yang boleh diperbaharui di Malaysia. Saya mengesyorkan usaha ini tidak diserahkan 100% kepada pihak swasta. Kerajaan harus memainkan peranan langsung dalam usaha membangunkan penjanaan kuasa elektirk daripada tenaga matahari dan angin.
  • Sistem kontrak menjejaskan kepentingan dan jaminan kerja beribu-ribu pekerja tempatan. Sistem kontrak harus dikawal.
  • Saya telah mengesyorkan perjanjian ekonomi antarabangsa dipakai untuk mencapai matlamat sosial seperti gaji yang lebih tinggi di semua negara yang terlibat dalam perjanjian itu. Kelebihan cadangan ini adalah pasaran dalaman di semua negara terlibat akan berkembang dan ini akan menjana pasaran untuk bisnes, meningkatkan pelaburan dan peluang kerja dan cukai yang dikutip oleh kerajaan juga akan bertambah. Perlumbaan ke paras terendah di antara negara-negara ASEAN dalam persaingan mereka untuk FDI (Pelaburan Asing) mesti dihentikan!

Saya telah menyuarakan perkara-perkara yang sama rupa setiap tahun sejak 2008. Sila rujuk buku-buku perbahasan yang kami telah keluarkan dalam 3 bahasa setiap tahun jika ingin tahu secara spesifik terhadap isu-isu yang dibawa oleh saya ke Parlimen.

IV.            Budaya Politik Baru

  1. Kami menolak politik perkauman dan agama. Walaupun dari masa ke semasa kami mengendalikan isu-isu yang berkaitan agama, kami elak dari mempolitikkan isu itu, tetapi cuba mencari ruang untuk mewujudkan persefahaman.
  2. Kami adakan Pengisytiharaan Aset Ahli Parlimen setiap tahun sejak 2008. Kami percaya memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen adalah suatu amanah, dan kuasa berkaitan dengannya harus dipakai untuk tujuan umum sahaja.
  3. Kompilasi ucapan-ucapan saya di Parlimen dikeluarkan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Cina dan Bahasa Tamil tiap tahun sejak 2008 dan diedarkan kepada rakyat Sg Siput dengan percuma. Ini adalah selaras dengan kepercayaan kami bahawa rakyat biasa berhak untuk mengetahui apa yang dikatakan atas nama mereka di Parlimen. Kami juga percaya rakyat Malaysia cukup bijak untuk memahami isu-isu nasional. Adalah tanggungjawab parti-parti politik untuk menceritakan isu-isu politik dalam bahasa yang boleh difahami oleh orang biasa. (Dan laporan ini adalah satu lagi usaha kami untuk memberi maklumat yang relevan kepada rakyat.)

 

Penilaian Keseluruhan      

Anda sekalian dijemput melakukan penilaian tersendiri terhadap prestasi saya dalam 5 tahun yang lalu. Adakah anda puas dengan usaha-usaha saya untuk

  • Mengendalikan masalah-masalah rakyat Sg Siput
  • Mengetengahkan isu rakyat di Parlimen
  • Memberi maklumbalas pada rakyat Sg Siput
  • Mewujudkan budaya politik baru di negara ini.

 

Memang benar saya tidak dapat menabur banyak wang kepada kuil/rumah ibadat dan persatuan ataupun memberi kontrak lumayan kepada golongan bisnes. Tetapi adakah itu peranan utama seorang Wakil Rakyat? Inilah soalan utama yang anda harus putuskan – apakah peranan sebenar seorang Wakil Rakyat?

 

Adakah peranan Wakil Rakyat untuk menjadi kaya-raya melalui kontrak, peruntukan kerajaan, pembalakan dan rasuah, supaya dapat memberi sebahagian daripada kekayaan itu kepada rakyat sebagai sedekah?  Inilah pendekatan Wakil Rakyat daripada BN. Ataupun adakah peranan sebenarnya wakil rakyat lebih dekat pada apa yang saya telah cuba melakukan dalam 5 tahun yang lalu? Ini adalah pendekatan PSM. Pendekatan mana yang berpotensi wujudkan masa depan yang lebih cerah untuk anak cucu kita? Anda harus memutuskan.

 

Akhirnya saya ingin memohon maaf atas sebarang kesilapan/kelemahan saya dan pasukan saya dalam mengendalikan masalah rakyat Sg Siput, dan mengucapkan terima kasih atas peluang ini untuk mewakili anda di Parlimen. 

 

Jeyakumar Devaraj

8/3/2018

Dr. Jeyakumar, Sg Siput