10 perkara yang anda mungkin tidak tahu tentang PSM

10 perkara yang anda mungkin tidak tahu tentang PSM

5 April 2018

Kebelakangan ini kadang-kadang ada persepsi orang bahawa PSM parti baru. Ada yang ingat PSM hanya buat beberapa kerja lawan sana dan sini dan langsung tidak ada sumbngan di peringkat Nasional. Ramai pula suka ejek kami sebagai parti nyamuk dan kerja macam NGO. Ada yang merasakan kewujudan PSM tidak relewan langsung dan mendesak PSM gulung tikar.Dibawah kami senaraikan 10 perkara yang anda mungkin tidak tahu tentang PSM 

 

1.         Tahukah anda bahawa PSM mengambil masa selama sepuluh tahun sebelum didaftarkan sebagai sebuah parti politik. Kenapa? Kerana PSM adalah sebuah parti yang disertai aktivis dari tiga kumpulan masyarakat iaitu SWP, CDC dan Alaigal yang mempunyai sejarah dalam penentangan terhadap banyak isu rakyat-rakyat biasa. Menteri Dalam Negeri menyebut PSM sebagai satu ancaman kepada keselamatan negara. PSM kemudiannya menjadi parti yang pertama dalam sejarah Malaysia untuk mengheret kerajaan ke mahkamah dalam isu kebebasan berpersatuan (Freedom of Asssociation)

 

2.         Tahukah anda bahawa PSM adalah parti yang pertama menentang perlaksanaan GST? Protes pertama telah diadakan pada tahun 2004, empat tahun sebelum PSM didaftarkan sebagai sebuah parti politik. Sehingga kini, PSM masih kekal sebagai yang paling tersusun dan paling berani serta radikal menentang GST, dengan lebih 100 aktivis mengepung  Bangunan Kastam seminggu sebelum pelaksanaan GST pada 23 Mac 2015. Lebih seratus  ditahan dan 79 darinya didakwa di mahkamah. Dari 79 orang ini, seramai 44 orang adalah ahli PSM. Parti kecil tetapi ramai ahlinya terlibat dalam aksi langsung.

 

3.         Tahukah anda bahawa parti yang mempunyai kejayaan tertinggi dan sukar ditandingi oleh parti politik lain dalam penyelesaian masalah perumahan pekerja perladangan adalah PSM. Perjuangan PSM dalam hak-hak perumahan untuk pekerja perladangan telah membolehkan pekerja-pekerja ini memperolehi rumah kediaman dan tanah secara percuma. Yang paling utama, hari ini telah wujud polisi di peringkat kebangsaan yang menyatakan bahawa pekerja tidak boleh diarahkan keluar sebelum isu kediaman mereka diselesaikan. Ini adalah satu kejayaan besar kepada komuniti pekerja ladang. 

 

4.         Tahukah anda bahawa PSM telah memainkan peranan utama untuk memastikan Akta Gaji Minima dilaksanakan untuk dinikmati oleh semua hari ini. Sejak 2012, pekerja di Malaysia diweajibkan diberi gaji minima RM900 dan bermula tahun 2016, paras gaji minima telah dinaikkan ke RM1000 untuk Semenanjung dan RM920 untuk Sabah dan Sarawak. Ramai yang tidak tahu bahawa parti yang paling tegas memperjuangkan Akta Gaji Minima seiring dengan MTUC adalah PSM. PSM telah melancarkan kempen sejak dari 2003 melalui JERIT dimana kami juga telah menghantar lebih 50,000 poskad menuntut Akta Gaji Minima dan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen pada 21/9/2006. PSM melancarkan dan menggerakkan kempen tanpa mengenal penat. Banyak forum, demonstrasi besar-besaran, piket umum seluruh negara dan 'road show' telah diadakan sehingga kewujudan Akta Gaji Minima hari ini menjadi realiti dan dapat dinikmati semua orang. Bukan itu saja, PSM juga adalah satu-satunya parti politik yang memperjuangkan tabung pemberhentian kerja dan kami bangga pada hari ini, ianya telah menjadi satu akta dipanggil Skim Insurans Pekerja.

5.         Tahukah anda bahawa PSM memegang rekod sebagai parti yang memainkan peranan secara berterusan dalam memperjuangkan isu penjagaan kesihatan umum? Pada 23 Disember 2004, PSM telah menggerakkan 81 organisasi dan ratusan orang untuk melakukan protes terhadap penswastaan dispensari hospital kerajaan. Pada 4 Disember 2004, Menteri Kesihatan pada masa itu Dr Chua Soi Lek telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menswastakan perkhidmatan dispensari di hospital kerajaan bermula tahun 2005 tetapi disebabkan protes besar-besaran oleh PSM, cadangan itu telah dihentikan. Selain itu, PSM juga mewujudkan satu kesatuan dipanggil Kesatuan Menentang Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan dan antara kempen adalah protes terhadap kewujudan 'private-wings' dan Skim Pesakit Bayar Penuh di hospital kerajaan. PSM juga menjadi parti pertama yang mengheret kerajaan ke mahkamah apabila mereka ingin menaikkan caj perubatan untuk pekerja migran ke 300% kerana langkah tersebut adalah langkah yang salah untuk penjagaan kesihatan secara umum bagi seluruh negara. PSM kekal hingga hari ini sebagai parti yang paling konsisten dalam perjuangan membela kesihatan awam dan menentang konsep pelancongan kesihatan yang menjadikan kesihatan sebagai satu bentuk perniagaan. 

 

6.         Tahukah anda bahawa pada 3 November 2012, PSM menjadi parti pembangkang yang pertama untuk menganjurkan Forum Kebangsaan untuk Pengangkutan Awam di Malaysia yang telah diuruskan melalui satu kumpulan kerja yang dikawalselia oleh PSM dipanggil Kumpulan Kerja untuk Pengangkutan Awam di Malaysia merangkumi CETDEM, Transit, Damai Association, KL Selangor Assembly Hall, PPBM dan SABM. Dalam tahun 2015, satu memorandum telah dihantar ke SPAD untuk menambahbaik dan memberi cadangan berkaitan pengangkutan awam di Malaysia.

 

7.         Tahukah anda bahawa dalam persoalan pekerja migran, PSM telah mengepalai dan mendalami isu ini ketika parti politik hanya merungut tentang situasi ini tanpa berbuat apa-apa. Pada 4 Ogos 2016, the Migrant Workers' Right to Redress Coalition, satu usahasama yang dibentuk dan dimulakan oleh PSM telah menganjurkan perbincanga meja bulat dengan ramai pihak yang terlibat dan dihoskan oleh Jabatan Pengajian Pembangunan, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya. Inisiatif ini telah menarik wakil-wakil dari pihak kerajaan, majikan dan pekerja termasuk pihak kedutaan negara yang berkaitan, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan organisasi-organisasi sosial. Cadangan paling signifikan adalah motif keuntungan seharusnya dielakkan semasa pengambilan dan pengurusan buruh asing. Pengambilan sepatutnya berdasarkan keperluan tenagakerja negara yang sebenar, seharusnya mengutamakan tenaga kerja tempatan, dan juga lain-lain sumber buruh yang ada termasuk buruh tanpa dokumen dan juga pelarian. Sehingga hari ini, laporan ini kekal sebagai laporan paling komprehensif dalam mengetengahkan isu migran di Malaysia.

 

8.         PSM mungkin hanya satu-satunya parti yang mempunyai polisi dan 'blueprint' tentang perdagangan antarabangsa. PSM dengan kerjasama organisasi lain, telah menentang FTA dengan Amerika Syarikat. Baru-baru ini, PSM telah memulakan Piagam Rakyat untuk perdagangan antarabangsa (People's Charter on International Trade Agreements) dan menegaskan akan berjuang melawan segala perjanjian perdagangan yang tidak adil dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat besar, termasuk perkongsian ekonomi serantau yang akan menggantikan Trans-Pacific Partnership Agreement (TPPA) tajaan Amerika Syarikat. Kebanyakan parti politik lain hanya melihat kepada pelaburan domestik dari luar (FDI) tetapi PSM lebih melihat kepada elemen dan kehendak kemanusiaan.

 

9.         Tahukah anda, satu-satunya ahli parlimen ulung PSM iaitu Dr Jeyakumar memegang rekod pengisytiharan harta selama sembilan tahun berturut-turut dan mungkin satu-satunya ahli parlimen yang paling banyak mengemukakkan usul persendirian dalam banyak isu seperti isu tanah, jaminan makanan, penukaran agama, akta perhubungan industri, akta penyertaan sosial dan sebagainya. Beliau juga telah mengemukakan usul tergempar berkenaan keperluan bantuan kemanusian di Rohingya. Dalam tahun 2008, Ahli Majlis tempatan dari PSM menjadi Ahli Majlis ulung diseluruh Negara yang mengisytiharkan harta .

 

10.       PSM sering kelihatan menjuarai perjuangan hak-hak perumahan. Pengerusi parti, Dr Nasir adalah orang yang memperkenalkan terma Peneroka Bandar yang melawan gelaran setinggan yang digunakan oleh kerajaan dan pemaju. PSM telah berjuang dengan jayanya untuk menyelamatkan rumah-rumah kediaman golongan miskin dan membantu mereka mendapatkan tanah dan rumah gantian. PSM juga membentuk gabungan untuk memperjuangkan hak-hak kediaman dan perumahan mampu milik. Hari ini, sekiranya berlaku pengusiran, tak kiralah orang asli, petani, peniaga kecil, PSMlah yang dicari untuk membantu. 

 

Bonus

 

Disamping  PSM adalah parti politik yang pertama di Malaysia yang menentang penggunaan tenaga nuklear sebagai sumber tenaga alternatif. PSM juga mempunyai satu jaringan untuk meningkatkan kebajikan dan traraf hidup penduduk flat kos rendah. Selain itu PSM juga mempunyai analisa mengenai SME dan isu-isu menangani isu lelong rumah orang berpendapatan rendah.

 

PSM parti kecil berjiwa besar. #BersamaMembinaKuasaRakyat . Sekian Terima Kasih